PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

KADA laksana penggiliran salur air ke sawah

KADA laksana penggiliran salur air ke sawah

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memandang serius masalah bekalan air dihadapi pesawah susulan kemarau yang melanda kawasan penanaman padi di bawah seliaan agensi terbabit.

Pengerusinya, Khalid Abdul Samad, berkata buat masa ini hanya empat pam di Stesen Pam Kemubu 2 berfungsi dengan kemampuan bekalan air sebanyak 350 liter padu air persaat.

Katanya, bekalan air berkenaan untuk diagihkan kepada sawah seliaan KADA di Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Bachok dan Pasir Puteh.

"Jumlah bekalan air ini adalah separuh daripada keperluan sebenar air bagi kawasan terbabit menyebabkan ada kawasan tidak menerima bekalan air.

"Hanya pam di Stesen Pam Kemubu 2 yang boleh digunakan untuk membekalkan air ke sawah disebabkan paras air sungai sudah menurun memandangkan tiada hujan," katanya ketika dihubungi.

Justeru Khalid berkata, sistem penggiliran kini dibuat bagi mengimbangi bekalan air ke sawah.

"Kawasan KADA menghadapi kekangan sumber bekalan air. Bagi menangani masalah ini KADA juga menyediakan 10,000 liter diesel secara percuma untuk fasa pertama di setiap Pejabat KADA Jajahan bagi membantu petani menggunakan pam mudah alih dan telaga tiub yang sedia ada.

"Sehingga kini sebanyak 800 telaga tiub sudah dibina KADA sejak 2019. Dengan pemberian diesel ini petani boleh mendapatkan bekalan diesel itu di Pejabat KADA Jajahan masing-masing untuk kegunaan pam," katanya.

Terdahulu media melaporkan, lebih 2,000 pesawah mendakwa tanaman padi seluas 4,000 hektar terputus bekalan air sejak seminggu lalu dan dikhuatiri tanaman akan musnah tidak lama lagi.

Padi yang kini berusia 50 hingga 60 hari dijangka hanya mampu bertahan seminggu dan sekiranya tidak mendapat bekalan air, tanaman akan rosak dan pesawah akan mengalami kerugian.

Kawasan yang terjejas membabitkan beberapa lokasi di Kota Bharu Utara dan Kota Bharu Selatan termasuk Kampung Aur Duri, Pangkal Pisang, Padang Halban, Badak Mati, Machang Bubuk, Limbat dan Tembesu.

Pengerusi Persatuan Pesawah-Pesawah Kelantan, Zuha Ismail, berkata kesemua kawasan sawah berkenaan bergantung kepada air dari Rumah Pam Kemubu KADA.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search