PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Rakyat Malaysia dijangka berpuasa dalam keadaan hampir tiada hujan, cuaca kering dan panas

Rakyat Malaysia dijangka berpuasa dalam keadaan hampir tiada hujan, cuaca kering dan panas

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca di Malaysia akan menjadi lebih panas dan kering ekoran Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada pertengahan Mac depan.

Ketua Pengarahnya, Mohd Hisham Mohd Anip berkata kawasan utara Semenanjung seperti Perak, Pahang dan Kelantan terutamanya dijangka mengalami litupan awan dan taburan hujan yang berkurangan.

“Ketiadaan hujan dalam tempoh panjang boleh menyebabkan suhu meningkat melebihi 35°C pada waktu siang. Bacaan tertinggi setakat ini dicatat di Felda Teloi Kanan, Baling, Kedah dengan suhu 36.1°C pada 11 Februari lalu.

“Pengaruh La Nina yang lemah ketika ini dijangka membantu mengurangkan impak haba ekstrem berbanding tahun lalu,” katanya menurut Buletin TV3.

Tambahnya, fenomena itu adalah kejadian berulang setiap tahun bermula bulan Februari hingga bulan Mei namun keadaan tahun ini dijangka tidak seteruk berbanding tahun 2024.

Selari dengan kehadiran bulan Ramadan, orang ramai disarankan membuat persediaan menghadapi fenomena ini

MetMalaysia turut memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya gelombang haba dan jerebu dalam tempoh berkenaan.

“Semua pihak dinasihatkan supaya mengambil langkah penjimatan air serta mengelakkan sebarang pembakaran terbuka.

“Kami menyarankan orang ramai mengehadkan aktiviti luar dan sentiasa peka terhadap keadaan cuaca bagi mengelakkan risiko kesihatan akibat cuaca panas,” kata Mohd Hisham.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search