PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Dewan Rakyat: Insiden lubang benam tiada kaitan dengan banjir kilat

PETALING JAYA – Kejadian lubang benam di Jalan Masjid India Ogos lalu tidak ada kaitan secara langsung dengan banjir kilat yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, lubang benam berkenaan berlaku ketika itu kerana beberapa insiden-insiden selain akibat daripada hujan yang lebat.

“Dalam hal ini, berhubung langkah-langkah pencegahan lubang benam di Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan kajian struktur tanah yang dipantau oleh Task Force Khas di mana ia bermula sejak berlaku insiden di Jalan Masjid India tersebut dan masih lagi dalam proses pelaksanaan kajian dalam peringkat akhir.

“Untuk tindakan jangka pendek, DBKL dan agensi yang terlibat juga telah dan sedang melaksanakan audit integriti aset-aset utiliti yang akan dilaksanakan oleh syarikat-syarikat utiliti, yang dimulakan di kawasan Central Business District (CBD) di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawap soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan strategi jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir kilat dalam kawasan bandar, khususnya di Kuala Lumpur dan langkah-langkah pencegahan tanah jerlus yang semakin membimbangkan.

Jelas Dr. Zaliha, pihaknya turut melaksanakan pemetaan dan ujian integriti bawah tanah di CBD serta kerja-kerja pembaikan dan penggantian untuk komponen aset yang berada dalam keadaan uzur akan terus dijalankan.

“Selain daripada itu, pelaksanaan kerja penyiasatan tanah bagi menentukan struktur lapisan tanah akan menggunakan kaedah Ground
Penetrating Radar (GPR) dan Mackintosh Probe (MP), satu alat yang khusus.

“Seterusnya, ujian geofizik yang sesuai bagi menentukan perkaraperkara yang berikut iaitu (i) Micro Gravity untuk mengesan sama ada
adanya lohong di bawah tanah dan (ii) Ground Settlement Monitoring untuk mengesan pergerakan tanah juga akan turut dijalankan,” jelasnya.

Katanya, bagi tindakan jangka panjang, DBKL akan melaksanakan juga penyiasatan tanah menggunakan Deep Boring (Bore Hole) disertakan dengan ujian makmal.

“DBKL akan mengemukakan laporan geoteknikal oleh Jurutera Awam yang bertauliah pada kadar yang segera untuk kawasan-kawasan pembangunan yang berisiko,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Banjir: Guru, murid SK Kemasik di Terengganu diberi cuti bencana

Kuala Terengganu: Kira-kira 900 murid dan 60 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik, Chukai di Kemaman, yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) diberi cuti bencana.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu Jelani Sulong berkata, cuti bencana itu diberikan selepas sebahagian bilik darjah digunakan sebagai tempat berlindung kira-kira 383 mangsa bencana banjir.

Katanya, SK Kemasik dibuka sebagai PPS sebagai sejak gelombang pertama bencana banjir melanda di daerah Kemaman sejak kelmarin.

"Semua guru serta murid Tahun Satu hingga Enam diberi cuti bencana sehingga keadaan pulih sepenuhnya," katanya.

Selain SK Kemasik, Jelani berkata, satu lagi sekolah iaitu SK Teluk Kalong turut dijadikan PPS tetapi sesi persekolahan diteruskan seperti biasa kerana tidak menggunakan terlalu banyak kelas.

Katanya, sebanyak 90 sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri ini dijadikan PPS untuk menempatkan mangsa banjir.

"Setakat ini, tiada sekolah di negeri ini ditutup disebabkan ditenggelami banjir," katanya.
 
Disiarkan pada: November 21, 2024 @ 4:32pm

Sistem VMS, papan iklan DBKL papar status amaran banjir mulai esok

KUALA LUMPUR – Bermula esok, semua khidmat Sistem Mesej Pelbagai (VMS) atau papan iklan LED di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memaparkan status semasa cuaca dan amaran kemungkinan banjir kilat.

Ia merupakan langkah proaktif amaran awal bagi memastikan rakyat khususnya penduduk Kuala Lumpur dapat bersedia dan mengambil langkah tertentu sekiranya berlaku bencana banjir kilat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Katanya, usaha tersebut mendapat kerjasama daripada MetMalaysia (Jabatan Metrologi Malaysia) dan juga JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran).

“Langkah ini akan dimulakan dengan papan iklan LED di Menara DBKL terlebih dahulu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau pertanyaan Teresa Kok (PH-Seputeh) yang bertanyakan mengenai langkah DBKL untuk mencegah dan menangani banjir kilat di Kuala Lumpur serta senarai projek pembangunan yang telah diluluskan DBKL di kawasan persekitaran kolam takungan banjir sejak 2014.
 

Menurut Zaliha, DBKL turut menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Insiden Awam Kuala Lumpur bersama beberapa agensi lain sebagai langkah bantuan segera dalam tempoh kurang 30 minit daripada waktu terima amaran awal banjir jalan atau banjir kilat di Kuala Lumpur.

Jelas beliau, antara agensi terlibat ialah Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur (JPSKL).

Sementara itu mengulas mengenai isu kolam takungan banjir, Zaliha berkata, terdapat lapan projek pembangunan telah diluluskan di kawasan persekitaran kolam takungan banjir di Kuala Lumpur sejak 2014 melibatkan Kolam Taman Wahyu, Kolam Delima, Tasik Metropolitan Kepong dan Tasik Damai Lake Fields.

“Berdasarkan pemantauan di DBKL di kawasan projek sekitar kolam takungan banjir yang telah diluluskan, didapati paras air masih dalam keadaan terkawal dan masih belum pernah berlaku kejadian banjir di situ,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaliha turut menjelaskan kejadian lubang benam di Jalan Masjid India yang berlaku pada 23 Ogos lalu, tidak ada hubungan secara langsung dengan banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, katanya sebagai langkah pencegahan lubang benam di Kuala Lumpur, DBKL melaksanakan kajian struktur tanah yang dipantau pasukan petugas khas sejak insiden itu berlaku dan proses kajian kini dalam peringkat akhir.

“Untuk tindakan jangka pendek, DBKL dan agensi terlibat sedang melaksanakan audit integriti aset utiliti serta pemetaan dan ujian integriti bawah tanah di kawasan di kawasan Daerah Pusat Perniagaan (CBD) di Kuala Lumpur.

“Selain itu, kerja penyiasatan tanah bagi menentukan struktur lapisan tanah menggunakan kaedah Radar Penembusan Tanah (GPR) dan Mackintosh Probe (MP) serta ujian geofizik iaitu Micro Gravity untuk mengesan kewujudan lohong bawah tanah dan Ground Settlement Monitoring untuk mengesan pergerakan tanah turut dijalankan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

Banjir di Kemaman beransur pulih

Kuala Terengganu: Keadaan banjir di Terengganu yang melanda negeri ini sejak kelmarin beransur pulih apabila hanya 442 mangsa dilaporkan terjejas setakat jam 4 petang ini.

Kesemua mangsa daripada 124 keluarga itu berada di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman.

Ia menunjukkan penurunan berbanding hanya 2,557 mangsa daripada 641 keluarga setakat jam 12 tengah hari.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, hanya daerah Kemaman masih terjejas akibat bencana yang melanda negeri ini sejak kelmarin.

Empat PPS yang masih aktif adalah Balai Raya Meraga Beris yang menempatkan 11 mangsa, Sekolah Kebangsaan Kemasik (383 mangsa), Balai Raya Beris Nenas (19 mangsa) dan Balai Raya Padang Kemunting (29 mangsa).

Banjir di daerah Marang pulih sepenuhnya selepas PPS di Dewan Sivik Wakaf Tapai ditutup.

Ia selepas 13 mangsa daripada empat keluarga yang berada di sana dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing secara berperingkat.

 

Sembilan negeri diramal hujan lebat petang ini

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) melaporkan keadaan hujan lebat dan ribut petir sedang berlaku di sembilan negeri petang ini.

Menurut MetMalaysia, amaran cuaca buruk sehingga pukul 6 petang itu melibatkan seluruh kawasan di Pulau Pinang dan Perak.

“Di Kedah, amaran cuaca buruk itu melibatkan Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Pahang pula melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Raub, Bentong dan Bera.

“Bagi Selangor, cuaca buruk dijangka tertumpu di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak dan Petaling, manakala bagi Negeri Sembilan melibatkan Jelebu dan Jempol,” katanya.

Dalam pada itu, amaran turut diberikan di Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru di Johor, manakala di Sarawak pula melibatkan Kuching (Kuching), Serian dan Samarahan.

Amaran ribut petir juga melibatkan Sabah di Pedalaman (Beaufort, Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat dan Sandakan (Tongod, Telupid dan Kinabatangan). – KOSMO! ONLINE

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search