PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Ibu sarat mengandung, sakit jantung redah banjir paras leher

SETIU: Seorang wanita sarat mengandung yang juga pesakit jantung, meredah banjir paras leher sejauh 500 meter bagi menyelamatkan diri.

Menurut Wan Asmila Wan Deraman, 29 tahun, dia terpaksa bertarung nyawa demi menyelamatkan kandungannya yang sudah sampai tempoh untuk bersalin.

Lebih menyayat hati, apabila diberitahu jantungnya bergantung pada bateri sejak 19 tahun lalu.

“Rumah saya tu memang atas bukit air, jadi saya terpaksa redah banjir untuk sampai ke jalan utama, saya terpaksa redah kalau tak kerana mengandung saya dah tak redah banjir”, katanya.

Dia tidak menyangka jalan keluar dari rumahnya di Kampung Ulu Seladang ditenggelami air setinggi satu meter sehingga terpaksa meminta bantuan pihak bomba dan penyelamat untuk membawanya keluar ke jalan utama.

Wan Asmila kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa banjir diminta utamakan keselamatan, patuhi arahan

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mereka yang berada di kawasan berisiko banjir supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara meminta orang ramai tidak mengambil risiko yang boleh membahayakan nyawa terutama dalam situasi yang tidak menentu ketika ini.

“Amaran hujan berterusan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga menunjukkan keadaan cuaca yang berpotensi membawa risiko lebih besar terutamanya di kawasan yang dinyatakan dalam kategori bahaya, buruk dan waspada.

“Hujan lebat dijangka berlarutan hingga 29 Nov dan ini memerlukan kita semua lebih bersedia serta berwaspada,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid turut mendoakan agar mangsa yang terjejas banjir terus tabah menghadapi ujian dan segala urusan mereka dipermudah.

Beliau berkata berdasarkan Laporan Bencana Nasional daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengenai situasi banjir semasa, sebanyak lima negeri terjejas akibat banjir setakat 8 pagi tadi.

Beliau berkata orang ramai boleh melayari laman web rasmi dan media sosial MetMalaysia atau melalui aplikasi myCuaca bagi perkembangan terkini dan maklumat sahih tentang keadaan cuaca.- BERNAMA

 

Nasib baik ada 'abang' bomba

RANTAU PANJANG: "Kami dah berjalan kaki sejauh lima kilometer (km) untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan bernasib baik berjumpa dengan pasukan bomba sedang membuat rondaan yang kemudian menumpangkan kami," kata Mohd Azlan Mansor, 38.

Mohd Mazlan berkata, dia bersama kakak, Rosliza Mansor, 39, dan anak saudara, NurQistina Balqisha Rahmat, 15, berjalan kaki ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, di sini, selepas kediamannya mula dimasuki air awal pagi tadi.

Katanya, mereka terpaksa berjalan kaki meredah banjir kerana kereta atau motosikal sudah tidak boleh dilalui susulan ada jalan yang dinaiki air separas 0.3 sehingga 0.5 meter.

"Selepas hampir dua jam kami meredah air, sejujurnya kami berasa sangat penat, namun Alhamdulillah 'abang' bomba hadir memberikan bantuan dan segera menghantar kami ke PPS.

"Saya sendiri tidak menyangka air akan naik dengan mendadak selepas hujan lebat tanpa henti sejak petang semalam. Biasanya saya akan berpindah awal, namun kali ini kerana jangkaan meleset kami terpaksa meredah banjir ke PPS.

"Kediaman saya sekeluarga tidak selamat untuk didiami setiap kali bah melanda kerana paras air boleh mencecah sehingga dua meter, jadi setiap tahun kami memilih untuk berlindung di PPS," katanya yang tinggal di Kampung Gertak Nombor Tiga, di sini.

Mohd Mazlan berkata, mereka hanya membawa beberapa helai baju dan barangan penting sahaja kerana bimbang untuk meredah banjir.

"Penat sebenarnya redah air kerana memerlukan tenaga lebih-lebih lagi apabila berhadapan arus yang kuat. Tambahan pula, masa perjalanan untuk sampai menjadi lebih lama.

"Bagaimana pun, kami berterima kasih dan menghargai khidmat anggota penyelamat yang sanggup berkorban masa dan tenaga bagi membantu mangsa banjir seperti kami," katanya.

Tinjauam hari ini, mendapati beberapa penempatan seperti Kampung Kubang Kual, Kampung Banggol Mekong, Kampung Kusar, Kampung Tasek Bakong sudah dinaiki air sejak awal pagi tadi.

 

Tumpat daerah terbaru di Kelantan dilanda banjir

KOTA BHARU: Tumpat menjadi daerah terbaru dilanda banjir menjadikan sembilan jajahan dinaiki air di Kelantan membabitkan keseluruhan mangsa banjir seramai 3,844 orang sehingga 11 pagi ini.

Peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir daripada 1,170 keluarga yang ditempatkan di 60 pusat pemindahan sementara (PPS).

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sembilan daerah yang dilanda banjir adalah Pasir Mas, Kuala Krai, Jeli, Machang, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kota Bharu, Bachok dan Tumpat.

Sebanyak 12 PPS dibuka di Pasir Puteh, masing-masing sembilan PPS di Kota Bharu dan Kuala Krai, Tanah Merah (lapan), Pasir Mas (tujuh), Machang (lima), masing-masing empat PPS di Bachok dan Jeli serta dua PPS di Tumpat.

Antara PPS yang menempatkan mangsa banjir adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat iaitu seramai 431 orang daripada 108 keluarga, diikuti SK Changgai (255 mangsa daripada 110 keluarga) dan SK Kamil 2 di Pasir Puteh (209 mangsa daripada 56 keluarga) serta SK Pengkalan Kubor 2 di Tumpat (234 mangsa, 61 keluarga).

 

Mangsa banjir di Kelantan, Terengganu meningkat, Perak kembali dilanda bah

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Kelantan dan Terengganu semakin buruk dengan pertambahan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini berbanding malam tadi.

Jumlah mangsa di Johor pula kekal pagi ini, manakala Perak kembali dilanda banjir.

Di KELANTAN, sebanyak 3,110 mangsa daripada 938 keluarga dipindahkan ke 51 PPS di sembilan jajahan setakat 9.30 pagi ini, berbanding 250 orang daripada 36 keluarga malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sembilan jajahan terlibat ialah Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Puteh, Jeli, Machang dan Tumpat.

Mengikut portal publicinfobanjir.water.gov.my, enam sungai di negeri itu, iaitu Sungai Golok di Pasir Mas; Sungai Melor di Jambatan Melor, Bachok; Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli; Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang; Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai; dan Sungai Semerak, Pasir Puteh melepasi paras bahaya.

 

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati beberapa jalan utama di Kota Bharu dilanda banjir kilat pagi ini susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi, menyebabkan limpahan sungai berdekatan sehingga menyukarkan kenderaan melalui kawasan terbabit.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 97 orang setakat 8 pagi ini berbanding 41 orang yang direkodkan malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan 56 mangsa daripada 22 keluarga ditempatkan di lima PPS, iaitu Dewan Terbuka Kampung Belaoh, Masjid Kayu Ulul Albab, Masjid Laklok, Balai Raya Beris Pak Abu dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tenang di daerah Besut.

Di daerah Marang, kekal dengan 41 mangsa daripada 10 keluarga yang berlindung di PPS SK Rawai.

Semakan di portal InfoBanjir pula mendapati paras air sungai di lima stesen melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Setiu di Kampung Bukit, Setiu; Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut; Sungai Besut di Kampung La, Besut; Sungai Telemong di Kuala Ping (F1) Hulu Terengganu; dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman.

Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan memberitahu jumlah mangsa banjir kekal 28 orang daripada lapan keluarga yang kesemuanya dari Kampung Seberang Batu Badak di Segamat setakat 9 pagi ini, yang ditempatkan di PPS Balai Raya Batu Badak.

"Daerah Johor Bahru, Segamat, Batu Pahat dan Kulai diramalkan mendung hari ini manakala Muar, Pontian, Kluang, Kota Tinggi dan Tangkak cerah serta Mersing pula dijangka hujan. Sungai Paya Dato, Mersing mencatatkan paras amaran 1.83 meter," katanya.

Sementara itu, PERAK kembali dilanda banjir apabila satu PPS dibuka di SK Haji Parit Aman di daerah Kerian, malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) menerusi kenyataan menyatakan 20 mangsa melibatkan tujuh keluarga dari Kampung Parit Ali Kalang dan Kampung Parit Air Itam 2 berlindung di PPS itu setakat 8 pagi ini.

Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan ribut di kesemua daerah pada sebelah petang ini, kecuali hujan di Hulu Perak. – BERNAMA

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search