KUALA TERENGGANU: Sebanyak 31 jalan, termasuk dua jalan utama ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air berikutan hujan lebat sejak pagi semalam.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Dr Hasli Ibrahim berkata, ia membabitkan tujuh di Besut, Hulu Terengganu (sembilan), Setiu (enam), Kemaman (lima) dan Dungun (empat).
Katanya, dua jalan utama yang ditutup adalah Jalan Seberang Jertih ke Bukit Yong sempadan Terengganu-Kelantan di Kampung Nangka, Besut yang dinaiki air sedalam kira-kira 0.8 meter (m) sejauh 600m dan Jalan Air Putih-Chukai di Kampung Tasik Biru, Kemaman yang ditenggelami air
“Selain itu, 13 lagi jalan turut ditutup secara berperingkat sejak semalam kepada kenderaan ringan.
“Antara jalan yang ditutup adalah empat di Besut, Hulu Terengganu (satu), Setiu (lima), masing-masing satu di daerah Kemaman dan Marang,” katanya.
Mengenai kejadian tanah runtuh, Hasli berkata, hanya satu laluan ditutup iaitu di Kilometer 187 hingga 189, Kenyir ke Aring selepas berlaku mendapan tanah.
KOTA BHARU: Gua Musang menjadi jajahan terbaharu banjir menjadikan semua daerah di Kelantan dilanda banjir pagi ini susulan hujan lebat berterusan.
Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Gua Musang iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1 yang menempatkan enam mangsa daripada tiga keluarga.
Jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri ini juga meningkat kepada 33,163 orang daripada 9,986 keluarga sehingga 11.30 pagi ini berbanding 29,022 orang (8,745 keluarga) 8 pagi tadi.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa ditempatkan di 168 pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah.
BESUT: Seorang pesara Jabatan Veterinar menjadi korban pertama banjir di Terengganu selepas ditemui lemas di Kampung Amer, di sini.
Mangsa, Tuan Jusoh Tuan Hasan, 66, dikatakan pergi ke kawasan sawah padi untuk memukat ikan, sebelum lemas dibawa arus banjir. Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi tadi.
Menurut anak mangsa, Tuan Maizan Nasuha Tuan Jusoh, ayahnya pergi ke lokasi berkenaan bersama tiga lagi rakannya dengan menaiki bot.
Dia hanya mengetahui insiden yang menimpa bapanya sekitar jam 9.15 pagi.
“Dalam 8.15 pagi dia turun Bersama empat rakan dengan naik bot. Bila sampai tempat dituju, dia turun nak pacak kayu untuk jala ikan. Dia turun sorang namun tak timbul timbul. Rakan lain yang berada di dalam bot memaklumkan kejadian kepada orang kampung dan mereka menelefon bomba untuk bantuan.” Ujarnya
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, sejurus menerima panggilan kira-kira jam 9.08, seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, mangsa dikesan sekitar jarak 5 meter (m) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang selepas kira-kira satu jam pencarian dilakukan.
“Jarak jumpa berhampiran dengan mangsa dipercayai 5 meter dia berada di dalam air aktiviti jala ikan dan mayat dijumpai di dasar sungai.” Katanya.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terkini banjir: Jumlah mangsa dipindahkan meningkat ke 41,565, Kelantan paling ramai
- Admin UKK
- Berita
PUTRAJAYA: Seramai 41,565 mangsa banjir membabitkan 12,694 keluarga kini ditempatkan di 369 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri.
Setakat jam 12 tengah hari tadi, data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan, Kelantan merekodkan jumlah paling ramai dengan 34,385 mangsa di 10 daerah.
Jumlah itu membabitkan 10,382 keluarga yang berlindung di 175 PPS setakat ini.
Terengganu pula mencatatkan seramai 6,485 mangsa daripada 2,043 keluarga di 177 PPS, diikuti Kedah dengan 452 mangsa di tiga PPS, Perlis (195 mangsa, tiga PPS), Johor (28 mangsa, satu PPS) dan Perak (20 mangsa, satu PPS).
Statistik JKM juga menunjukkan, lelaki dewasa yang dipindahkan adalah seramai 13,564 orang, wanita (14,723), kanak-kanak lelaki (6,198), kanak-kanak perempuan (5,958), bayi lelaki (595) dan bayi perempuan (527).
KOTA BHARU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka melawat mangsa banjir di Kelantan, esok.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat akan turun ke Kelantan sebaik selesai Mesyuarat Kabinet.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, menerusi Facebook turut memaklumkan Timbalan Perdana Menteri ada menghubunginya bagi bertanyakan perkembangan banjir di Kelantan.
Katanya, Ahmad Zahid turut meminta beliau memaklumkan sekiranya memerlukan sebarang bantuan.
"Sewaktu misi bantuan, saya menerima panggilan telefon daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang bertanya khabar terhadap situasi semasa banjir di Kelantan.
"Perbualan yang agak terhad kerana talian perkhidmatan yang kurang jelas di sekitar sempadan. Insya-Allah TPM sedia turun ke Kelantan nanti untuk misi bantuan.
"Terima kasih di atas kecaknaan semua pihak terhadap Kelantan," katanya.