PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Utamakan keselamatan, patuhi arahan pihak berkuasa

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mereka yang berada di kawasan berisiko banjir supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara meminta orang ramai tidak mengambil risiko yang boleh membahayakan nyawa terutama dalam situasi yang tidak menentu ketika ini.

“Amaran hujan berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) juga menunjukkan keadaan cuaca yang berpotensi membawa risiko lebih besar, terutama di kawasan yang dinyatakan dalam kategori bahaya, buruk dan waspada.

“Hujan lebat dijangka berlarutan hingga 29 November dan ini memerlukan kita semua lebih bersedia serta berwaspada,” katanya semalam.

BERNAMA

Lebih 20,000 berpindah ke PPS

Kuala Lumpur: Banjir di Kelantan dan Terengganu semakin buruk dengan lebih 20,000 penduduk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam tadi.

Mangsa banjir di Kelantan bertambah dengan mendadak kepada 17,927 sehingga 6.45 petang, berbanding 9,868 orang pada 3 petang. Sembilan daerah terjejas dan PPS dibuka di Pasir Mas, Kuala Krai, Jeli, Machang, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kota Bharu, Bachok dan Tumpat.

Di Terengganu, seramai 2,339 individu berpindah ke PPS di enam daerah terjejas sehingga 6 petang semalam. Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, daerah Besut paling ramai terjejas dengan 1,102 mangsa di 20 PPS.

11 sungai di paras amaran 

Laman web Infobanjir memaklumkan 11 sungai di negeri ini berada pada amaran bahaya iaitu di Sungai Besut di Jambatan Keruak, dengan bacaan 37.16 meter berbanding 35 meter.

Sungai Besut di Kampung La, bacaan 23.93 meter berbanding 21.8 meter, manakala Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu, mencatat bacaan 24.53 meter berbanding 24.5 meter.

Banjir di Rantau Panjang, Kelantan mengakibatkan perniagaan ditutup selepas semua jalan masuk ke pekan itu dinaiki air 0.4 hingga 0.8 meter tengah hari semalam.

Tinjauan di tiga pintu penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mendapati hanya pintu satu boleh dilalui kenderaan berat, manakala pintu dua di Kampung Parit Air serta pintu tiga di Kampung Kubang Rambutan ditutup.

Peniaga, Amran Abdullah, 45, berkata beliau membuka kedai pakaian jam 10 pagi, namun pada tengah hari, beberapa jalan mula dinaiki air.

“Ramai rakan peniaga yang membuka kedai separuh hari saja dan mengambil keputusan mengemas barang kerana bimbang paras naik dan memasuki dalam premis ini,” katanya.

Banjir di Kota Bharu menyebabkan Loji Rawatan Air Teluk Mesira, Bachok terpaksa dihenti tugas yang menjejaskan 1,300 akaun pengguna semalam.

Jabatan Korporat Air Kelantan Sdn Bhd memaklumkan, kawasan terbabit ialah Teluk Mesira, Taman SPP, Kampung Jembal, Tok Jawa, Budi, Pintu Gerbang, Wakaf Zin, Desa Kerian, Dusun Durian, Chicha Menyabung dan Kampung Gajah Mati.

Di Kuala Krai, lebih 2,000 penduduk daripada lima kampung terkepung selepas jambatan dan laluan utama untuk keluar ditenggelami air susulan hujan lebat sejak Isnin lalu.

Lima kampung berkenaan ialah Kampung Mia, Kampung Ulu Manah, Kampung Tanjung Kala, Sungai Tasan dan Ladang Kuala Pertang.

Penghulu Mukim Kuala Pertang, Mat Ropi Abdullah, 49, berkata antara jambatan yang ditenggelami air ialah Jambatan Kuala Pertang, Jambatan Sungai Tasan, Jambatan Kampung Mia dan jalan masuk ke Kampung Ulu Manah.

Bina reban rakit elak rugi

Pengalaman pahit kerugian ribuan ringgit selepas ternakan mati dalam banjir mendorong penternak ayam dan itik di pantai timur melakukan persediaan untuk menyelamatkan ternakan masing-masing lebih awal.

Di TERENGGANU, Abdul Halim Abdul Manap, 32, membina reban rakit pada tahun ini untuk menempatkan lebih 100 ayam dan itik diternaknya.

“Saya menghabiskan RM500 untuk bina reban ini atas tunjuk ajar bapa saudara dan menggunakan kayu manakala tong plastik besar sebagai pelampung.

“Ia boleh memuatkan 150 ayam dan itik pada satu-satu masa dan saya buat reban ini beberapa bulan lalu kerana bimbang banjir mengejut,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pengkalan Ajal, di sini.

Selain reban rakit, katanya dia juga membina rak di dalam rumah bagi meletakkan barangan dan pakaian bagi mengelak ditenggelami banjir yang biasanya bertandang sebanyak dua kali setahun.

Sementara itu di RANTAU PANJANG, KELANTAN, Mohd Hirwan Faizal Che Rajiuon, 42, memindahkan lebih 50 ternakan ayam baka ke rumah ibu bapanya di Kota Bharu yang bebas banjir.

Katanya, tahun lalu dia rugi RM50,000 kerana tidak sempat memindahkan ternakan itu lebih awal dan semuanya mati dalam banjir di rumahnya di Kampung Tersang.

Walau terpaksa berulang alik dari Rantau Panjang Ke Kota Bharu yang berjarak 80 kilometer, pemilik kedai ayam dan unggas itu tidak kisah asalkan ternakannya selamat.

“Kira-kira 20 ayam baka bernilai tinggi sudah saya letak di rumah orang tua yang bebas banjir, namun 10 ekor yang lain didapati mati disebabkan rumah saya naik air sejak enam hari lalu.

“Ayam baka memang agak sensitif dengan cuaca sejuk, ia mudah sakit dan mati, malah ada beberapa ekor ayam saya dimakan ular kerana pada musim banjir memang banyak haiwan berbisa di sekitar rumah,” katanya.

Menurutnya, proses memindahkan semua ayam sudah dilakukan sejak seminggu lalu dengan ada yang diletakkan di rumah rakan untuk sementara waktu.

LRA Teluk Mesira dihenti tugas sementara

Kota Bharu: Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Mesira, Bachok terpaksa dihenti tugas sementara berikutan limpahan air banjir telah memasuki kawasan dan bangunan sistem rawatan loji, bermula pagi semalam.

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam kenyataan memaklumkan keadaan itu menyebabkan bekalan air hampir 1,300 akaun pengguna terjejas.

Antara kawasan terlibat ialah Teluk Mesira, Taman SPP, Kampung Jembal, Kampung Tok Jawa, Kampung Budi, Kampung Pintu Gerbang, Kampung Wakaf Zin, Kampung Desa Kerian, Kampung Dusun Durian, Kampung Chicha Menyabung dan Kampung Gajah Mati.

“AKSB akan menggerakkan lori tangki untuk membantu pengguna terjejas. AKSB melalui PINTAS juga akan membuat pemakluman kepada pengguna terlibat melalui sistem Infoblast dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

AKSB akan memaklumkan perkembangan lanjut situasi berkenaan dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi di laman sesawang www.airkelantan.com.my, aplikasi MyAKSB, Facebook, Instagram atau hubungi PINTAS melalui talian 15777 jika pengguna mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan.

Satu PPS dibuka di Changlun, Sungai di Kubang Pasu, Padang Terap melepasi paras bahaya

ALOR STAR: Hujan lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan paras air beberapa sungai di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap sudah melepasi paras bahaya.

Di Kubang Pasu, 10 rumah di Kampung Nangmah, Changlun yang terletak di kawasan rendah dinaiki air pagi tadi.

 

Difahamkan, laluan dari Changlun ke Perlis turut dinaiki air. Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, antara sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Laka di Kampung Padang Pasir dan Sungai Sintok di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok.

Paras air Sungai Laka dan Sungai Sintok di Kubang Pasu masing-masing mencecah paras bahaya iaitu 22.51 meter dan 45.8 meter manakala di Padang Terap, Sungai Sari, Sungai Janing dan Sungai Perik sudah menghampiri paras amaran 16.21 meter.

Adenin berkata, satu pusat pemindahan sementara (PPS) di SMK Changlun dibuka jam 1.30 petang tadi.

"Ketinggian paras air dilaporkan setakat ini di kampung berkenaan ialah hampir 1.3 meter dan punca banjir disebabkan hujan yang berterusan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Adenin berkata, APM Kubang Pasu sedang melakukan pemantauan di lokasi yang terjejas dinaiki air di daerah ini.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya bersiap sedia untuk berpindah sekiranya paras air terus meningkat terutama di kawasan berhampiran sungai.

"Anggota kami masih melakukan pemantauan berikutan aras air sungai terus meningkat ketika ini dan masih hujan," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search