Bina reban rakit elak rugi
- Admin UKK
- Berita
Pengalaman pahit kerugian ribuan ringgit selepas ternakan mati dalam banjir mendorong penternak ayam dan itik di pantai timur melakukan persediaan untuk menyelamatkan ternakan masing-masing lebih awal.
Di TERENGGANU, Abdul Halim Abdul Manap, 32, membina reban rakit pada tahun ini untuk menempatkan lebih 100 ayam dan itik diternaknya.
“Saya menghabiskan RM500 untuk bina reban ini atas tunjuk ajar bapa saudara dan menggunakan kayu manakala tong plastik besar sebagai pelampung.
“Ia boleh memuatkan 150 ayam dan itik pada satu-satu masa dan saya buat reban ini beberapa bulan lalu kerana bimbang banjir mengejut,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pengkalan Ajal, di sini.
Selain reban rakit, katanya dia juga membina rak di dalam rumah bagi meletakkan barangan dan pakaian bagi mengelak ditenggelami banjir yang biasanya bertandang sebanyak dua kali setahun.
Sementara itu di RANTAU PANJANG, KELANTAN, Mohd Hirwan Faizal Che Rajiuon, 42, memindahkan lebih 50 ternakan ayam baka ke rumah ibu bapanya di Kota Bharu yang bebas banjir.
Katanya, tahun lalu dia rugi RM50,000 kerana tidak sempat memindahkan ternakan itu lebih awal dan semuanya mati dalam banjir di rumahnya di Kampung Tersang.
Walau terpaksa berulang alik dari Rantau Panjang Ke Kota Bharu yang berjarak 80 kilometer, pemilik kedai ayam dan unggas itu tidak kisah asalkan ternakannya selamat.
“Kira-kira 20 ayam baka bernilai tinggi sudah saya letak di rumah orang tua yang bebas banjir, namun 10 ekor yang lain didapati mati disebabkan rumah saya naik air sejak enam hari lalu.
“Ayam baka memang agak sensitif dengan cuaca sejuk, ia mudah sakit dan mati, malah ada beberapa ekor ayam saya dimakan ular kerana pada musim banjir memang banyak haiwan berbisa di sekitar rumah,” katanya.
Menurutnya, proses memindahkan semua ayam sudah dilakukan sejak seminggu lalu dengan ada yang diletakkan di rumah rakan untuk sementara waktu.