PORT DICKSON: Ikan, udang, dan sotong di perairan Port Dickson masih selamat untuk dimakan walaupun terdapat amaran terhadap pengambilan kupang dan kerang-kerangan.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan Kasim Tawe menjelaskan hidupan laut yang bergerak bebas seperti ikan dan udang tidak terjejas oleh pencemaran toksin.
“Spesies yang bergerak seperti ikan dan udang tidak berbahaya kerana mereka mencari makanan sendiri,“ katanya.
Beliau menekankan bahawa kupang dan kerang lebih berisiko kerana ia menyerap toksin terus dari air laut.
Beliau berkata ledakan alga yang menyebabkan peningkatan toksin berlaku akibat perubahan cuaca panas sejak pertengahan tahun.
“Kami telah menasihatkan kira-kira 100 penternak kupang untuk menghentikan sementara aktiviti menuai,“ tambahnya.
Keputusan ujian sampel kedua dijangka dikeluarkan pada Khamis ini untuk menentukan langkah seterusnya.
Sebelum ini, ujian makmal mendapati kandungan biotoksin dalam kupang melebihi 800 ppb, melebihi paras selamat.
Nelayan dan penternak dinasihatkan mengelak mengutip kerang-kerangan sehingga keputusan terkini diumumkan. - Bernama
PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, angin kencang dan hujan lebat di enam negeri sehingga pukul 8 malam ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan hari ini berkata, hujan lebat dijangka di Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai) dan Terengganu (Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman).
Sementara itu, MetMalaysia berkata, cuaca buruk turut dijangka di Johor melibatkan kawasan Mersing dan Kota Tinggi.
“Di Sarawak kawasan yang diramal hujan petang ini adalah Miri (Telang Usan, Miri dan Marudi) dan Limbang.
“Hujan lebat turut dijangka turun di Sabah melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran),” katanya. –
KOSMO! ONLINE
DEBAK, 9 Ogos: Program Kampung Siaga 221 mempersiapkan penduduk setempat berkaitan dengan berkemahiran dalam mengendalikan situasi bencana.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, program itu bukan sahaja memberi pendedahan, malah melatih peserta dengan kemahiran profesional melalui bimbingan pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Ia turut menjadi platform memperluas peranan individu dan organisasi yang berkeupayaan membantu APM dalam memberikan perkhidmatan lebih berkesan kepada masyarakat.
“Usaha ini diharap dapat meningkatkan kerjasama strategik antara masyarakat dan agensi lain, sekali gus memperkasa penglibatan awam dalam gerak kerja APM,” katanya.
Razi yang juga ADUN Saribas berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Kampung Siaga 221 di Dewan Millenia Debak, Sabtu lalu.
Beliau turut menyentuh cabaran perubahan iklim yang semakin ketara di Malaysia, termasuk fenomena cuaca ekstrem seperti jerebu, panas terik, hujan lebat, penurunan suhu luar biasa, banjir kilat dan tanah runtuh yang berlaku tanpa mengira musim.
“Dengan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini, saya mengingatkan warga APM dan masyarakat agar sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Semoga pendedahan melalui Program Kampung Siaga 221 dapat membantu masyarakat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari ketika berdepan kecemasan atau bencana yang berlaku tanpa diduga,” ujarnya.
Turut hadir, Ketua Cawangan Latihan APM Negeri Sarawak, Kapt (PA) Zulfaituri Ramlee, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak, Mohammad Khairurani Mohammad Ibrahim, serta tetamu lain. – TVS
TAIPING – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan peruntukan tambahan RM10.4 juta bagi melaksanakan 35 projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam di Taiping.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu disalurkan melalui Program Pembangunan KPKT di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di mana kesemua projek itu akan dilaksanakan segera dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
“Sebanyak RM4.1 juta diperuntukkan untuk sembilan projek naik taraf infrastruktur Bandar Taiping termasuk Pasar Am Kamunting, Pusat Penjaja Jalan Stesen Kamunting, naik taraf infrastruktur longkang di Jalan Kota dan sistem saliran di Jalan Kamunting Lama.
“Selain itu, peruntukan itu turut melibatkan kerja-kerja menaik taraf Parit Monsoon di Jalan Pakchik Ahmad, membina Arena Serbaguna, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) Majlis
Perbandaran Taiping (MPT), projek tebatan banjir di Taman Kamunting Maju dan projek pencahayaan di Pasar Taiping,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0 2025 di Pasar Lama Taiping, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, daripada keseluruhan peruntukan itu, sebanyak RM500,000 akan digunakan bagi pelaksanaan pembangunan landskap di Tanjung Sungai Mas manakala RM2.2 juta pula untuk kerja-kerja penyelenggaraan 22 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di sekitar Taiping.
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keutamaan kepada projek pembinaan Empangan Lebir di Kuala Krai, dekat sini kerana ia adalah salah satu struktur mitigasi banjir.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, beliau juga berharap kerajaan persekutuan dapat memberi keutamaan kepada pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau di Tunjong, pembentukan Zon Ekonomi Khas Rantau Panjang dan pembangunan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) serta pembinaan Pusat Pemprosesan dan Pembungkusan Berpusat di Lojing, Gua Musang.
“Pembinaan pusat itu bertujuan menjadikan Kelantan sebagai hab pengeluaran makanan utama negara,” katanya semasa berucap pada Penutup Program Madani Rakyat 2025 Kelantan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Mohd. Nassuruddin berharap segala perkara itu diberikan perhatian sewajarnya oleh Perdana Menteri di samping inisiatif yang telah diumumkan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) demi memastikan negeri Serambi Mekah ini tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan nasional.
“Sudah tiba masanya Kelantan turut duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri lain, khususnya dalam aspek infrastruktur, pelaburan dan kesejahteraan rakyat.
“Dengan menjunjung semangat federalisme, saya percaya jurang pembangunan dapat dirapatkan, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat Kelantan secara inklusif dan berdaya saing,” katanya.
Mohd. Nassuruddin berkata, kerajaan negeri telah meneliti pembentangan RMK13 terutama melibatkan aspek pembangunan strategik kepada Kelantan yang memberikan kesejahteraan kepada rakyat secara menyeluruh.
“Bagi pihak kerajaan negeri dan seluruh rakyat Kelantan, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas peruntukan dan sokongan berterusan kepada Kelantan.
“Pelbagai projek besar telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di Kelantan melalui RMK13 seperti pembinaan loji rawatan air di Machang, pembangunan industri pembinaan kapal (SBSR), pengoperasian ECRL, pembangunan hab ekonomi biru, penaiktarafan pelabuhan Tok Bali serta pelaksanaan projek tebatan banjir di Sungai Golok,” katanya. – UTUSAN
