Jumlah mangsa bah di Pahang meningkat kepada 441 orang, Lipis daerah terbaharu dilanda bencana
- Admin UKK
- Berita
LIPIS: Lipis menjadi daerah kedua di Pahang dilanda banjir dengan jumlah mangsa bencana itu di negeri ini dilaporkan terus meningkat.
Laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 9 pagi tadi, memaklumkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Lipis, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kechaui Tui dan Dewan Semai Bakti Felda Kechaui.
Keseluruhan seramai 218 penduduk daripada 61 keluarga dipindahkan dengan PPS di sekolah berkenaan menempatkan 133 orang daripada 34 keluarga dan Dewan Semai Bakti Felda Kechaui menempatkan 85 orang daripada 27 keluarga.
Dengan pembukaan PPS di Lipis dan tiga PPS baharu di Raub, jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat.
Enam PPS terbabit ialah Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang, Masjid Kampung Pintu Padang, Pusat Kegiatan KEMAS Gali, Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali, Sekolah Menengah Agama Al-Fallah Batu Talam dan Balai Raya Kampung Sungai Pasu.
Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Pahang, melibatkan Lipis dan Raub setakat 9 pagi adalah 441 orang daripada 127 keluarga dengan pembukaan lapan PPS.
Sementara itu, laman sesawang infobanjir.water.gov.my menyenaraikan enam sungai di Pahang mencecah tahap waspada.
Ia membabitkan Sungai Jelai di Jeram Bungor, Sungai Jelai Kuala Medang, Sungai Jelai Jeti Lipis, Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Mentiga di Jambatan Chini (Pekan).
KUANTAN - Jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat susulan Lipis menjadi daerah terbaharu dilanda bencana itu, menurut Laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 9 pagi ini.
Laporan itu memaklumkan sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Lipis yang menempatkan 218 mangsa daripada 61 keluarga iaitu Sekolah Kebangsaan Kechaui Tui (133 orang daripada 34 keluarga) dan Dewan Semai Bakti Felda Kechaui (85 orang daripada 27 keluarga)
Raub yang mula dilanda banjir awal pagi semalam, mencatatkan pertambahan bilangan mangsa kepada 223 orang daripada 66 keluarga yang berlindung di enam PPS berbanding 99 orang daripada 25 keluarga di dua PPS semalam.
Enam PPS terbabit ialah Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang, Masjid Kampung Pintu Padang, Pusat Kegiatan Kemas Gali, Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali, Sekolah Menengah Agama Al-Fallah Batu Talam dan Balai Raya Kampung Sungai Pasu.
"Jumlah keseluruhan banjir di negeri ini melibatkan Lipis dan Raub setakat jam 9 pagi adalah sebanyak 441 mangsa daripada 127 keluarga dengan pembukaan lapan PPS,” menurut laporan itu.
Sementara itu, menerusi laman sesawang infobanjir.water.gov.my, enam sungai di Pahang mencecah tahap waspada iaitu Sungai Jelai di Jeram Bungor, Sungai Jelai Kuala Medang, Sungai Jelai Jeti Lipis, Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Mentiga di Jambatan Chini (Pekan). - Bernama
ALOR SETAR - Kedudukan kewangan negara yang kukuh membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan segera khususnya melibatkan bencana dan musibah yang menjejaskan pendapatan rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, apabila kerajaan berupaya menguruskan kedudukan kewangan dengan baik, ia turut menyumbang kepada kestabilan politik seterusnya menggamit kehadiran pelabur luar.
Menurutnya, kesinambungan itu membolehkan kemakmuran negara dapat diagih kepada rakyat secara adil dan segera.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada di luar negara sentiasa mempelawa pelabur asing untuk melabur ke Malaysia, atas faktor politik negara stabil biarpun ada perbezaan pendapat namun dapat diuruskan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan ihsan Perdana Menteri kepada pesawah terlibat bencana banjir fasa satu negeri Kedah di sini pada Isnin.
Saifuddin yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata, kedudukan kewangan negara yang stabil dicapai hasil daripada penekanan Perdana Menteri yang sentiasa mengingatkan agar mengawal perbelanjaan, elakkan boros serta tidak terlibat dengan rasuah dan penyelewengan.
“Bantuan boleh dikeluarkan selagi kedudukan kewangan kerajaan dalam keadaan baik.
“Bila ditimpa ujian banjir di beberapa negeri, ketika itulah kita perlu segera salurkan bantuan. Inilah yang kita lakukan selepas Perdana Menteri umumkan bantuan RM13 juta kepada Kedah.
“Sebagai Menteri Kewangan, beliau tahu masih ada lagi duit yang boleh diagihkan pada saat ditimpa bencana. Kita masih boleh agihkan duit bantuan dalam keutamaan perbelanjaan,” jelasnya.
Pada 21 September, Anwar mengumumkan peruntukan keseluruhan RM13 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir di negeri Kedah.
Jumlah berkenaan termasuk bantuan kewangan yang disalurkan agensi Persekutuan dan negeri kepada semua mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Sementara Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh memaklumkan, seramai 4,233 pesawah yang terjejas banjir pada September lalu menerima sumbangan ihsan tersebut berjumlah RM4.23 juta.
“Setiap pesawah menerima RM1,000 bagi membantu mereka menampung kerugian dialami akibat bencana itu selain untuk mengusahakan tanaman padi bagi musim akan datang.
“Keseluruhan peladang terlibat yang diluluskan oleh jawatankuasa seramai 4,233 orang dan daripada situ Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bersetuju untuk memberi sumbangan RM1,000 setiap orang,” ujarnya.
Menurutnya, ia melibatkan 21 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) daripada keseluruhan 27 PPK dengan kerugian lebih RM29.43 juta.
“Selain bantuan ihsan tersebut, MADA juga akan menyalurkan bantuan menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) kepada pesawah terjejas. Permohonan bantuan TBTP telah dikemukakan kepada kementerian dan kini di peringkat akhir untuk kelulusan,” katanya.
Seorang penerima bantuan ihsan, Aziz Hussein, 57, merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas sumbangan tersebut yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban untuk tanaman padi musim kedua.
“Kawasan padi yang terjejas banjir sebanyak lima relung, hasil yang diperoleh daripada kawasan terjejas itu hanya satu relung, memang tak balik modal, terpaksa tambah lagi modal untuk tampung kerugian,” katanya.
KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) dan aplikasi mudah alih Sistem eBencana JKR yang dinaik taraf, sebagai langkah mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Menteri berkenaan, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengoperasian BiGBen dan Sistem eBencana JKR secara bersepadu itu bukan sahaja bagi kegunaan orang awam, malah turut berupaya menjadi sumber rujukan kepada semua pihak berkepentingan terutama kepada agensi yang terlibat untuk tindakan penyelarasan dan pengurusan bencana negara yang lebih cekap.
"Antara manfaat utama ialah perkongsian maklumat berkenaan penutupan jalan serta informasi laluan alternatif untuk membolehkan pengguna jalan raya merancang perjalanan semasa musim terbabit.
"Pengoperasian BiGBen dikategorikan dalam tiga peringkat bergantung pada situasi semasa bencana, iaitu peringkat Sistem Amaran Awal, Pusat Komunikasi Bersepadu dan Pusat Tindakan Cepat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Nanta berkata, BiGBen yang diterajui oleh Sekretariat Bilik Gerakan Bencana JKR terdiri daripada warga kerja JKR di Ibu Pejabat JKR di ibu negara dengan kolaborasi JKR negeri dan daerah yang berperanan mengemas kini maklumat bencana menerusi Laman Rasmi Pengurusan Bencana.
Beliau berkata, aplikasi Sistem eBencana JKR pula merupakan sebuah platform bersepadu yang mengintegrasikan data di Laman Pengurusan Bencana untuk diakses terus ke telefon bimbit dan boleh dimuat turun secara percuma melalui App Store dan Google Play.
Bagi pengguna yang perlu menggunakan jalan raya semasa MTL, Nanta berkata mereka boleh merancang perjalanan melalui semakan status laluan jalan raya menerusi Laman Pengurusan Bencana JKR Malaysia (bencana.jkr.gov.my), aplikasi eBencana JKR, Facebook BIGBEN - Bilik Gerakan Bencana JKR Malaysia dan akaun X Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (https://x.com/@CSFJ_JKR). - Bernama