PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

RM1,000 untuk setiap KIR terjejas

Kerajaan Persekutuan mula mengagihkan bantuan segera Dana Banjir sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas di seluruh negara bermula kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bayaran itu akan disalurkan kepada setiap KIR yang memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat juga berharap pengagihan bantuan itu terutama bantuan tunai akan dapat diatur gerak dengan sepenuhnya.

“Untuk bantuan daripada Kerajaan Persekutuan selain daripada bantuan bagi penyelamatan, kita mempunyai senarai mangsa banjir yang telah dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Bermula dari semalam (kelmarin) kita telah mengagihkan bantuan RM1,000 untuk setiap KIR dan ini kita akan lakukan secara berfasa.

“Kita tidak mahu ada dalam kalangan KIR yang berpindah ke PPS dan mengikut syarat yang ditentukan oleh NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) yang tidak mendapat bantuan.

“Bagi seluruh negara, kita telah memperuntukkan jumlah yang secukupnya. Kalau sekiranya, jumlah keluarga melebihi (berbanding dana), maka Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan akan tambah peruntukan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dan menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Nibong di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sudah memulakan pembinaan 14 pusat pemindahan kekal di setiap negeri.

Katanya, pihaknya juga mendapat permohonan daripada pemimpin tempatan di Hulu Terengganu yang memohon pembinaan pusat pemindahan kekal dan ia akan dipertimbangkan untuk fasa kedua.

Ditanya sama ada Kerajaan Persekutuan akan menyediakan Dana Kecemasan berikutan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di seluruh negara setakat ini melebihi 137,000, Ahmad Zahid berkata, amat mustahil bagi Kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan kepada semua yang terjejas.

Beliau berkata, sebaliknya, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan bekerjasama membuat ikhtiar bantuan bagi mengadakan dana kecemasan membantu mangsa banjir yang terjejas.

“Kita juga meminta kerajaan negeri mengusahakan bantuan dan juga mengadakan dana kecemasan itu dan tentunya kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri yang sangat baik setakat ini harus ditingkatkan.

“Kita mesti cari jalan dengan menyantuni serta meringankan keluarga yang terjejas, namun mustahil mana-mana kerajaan sama ada Persekutuan dan negeri

untuk beri pampasan kepada semua mangsa banjir secara keseluruhannya kerana ini adalah takdir dan kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi mendepani permasalahan ini,” katanya.

Agensi diarah siap siaga 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata berikutan jumlah mangsa yang meningkat mendadak semalam berbanding kelmarin, kerajaan mengarahkan seluruh agensi penguatkuasaan dan keselamatan siap siaga dan mengatur gerak pasukan dengan sebaiknya.

“Oleh kerana keadaan kali ini sangat luar biasa, semalam (kelmarin) tengah hari baru 37,000 mangsa seluruh negara, tengah hari ini (semalam) sudah mencecah sekitar 137,000 orang mangsa dan angka ini akan meningkat atau menurun bergantung kepada cuaca.

“Peningkatan hari ini (semalam) dan semalam (kelmarin) adalah sangat luar biasa, oleh sebab itu kesiapsiagaan kita bagi mengatur gerak ini disusun sebaiknya,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan di peringkat daerah termasuk di Terengganu dalam menyelamatkan dan menyantuni mangsa banjir.

Beliau berkata, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tanpa mengira perbezaan fahaman politik seperti yang terjalin kini amat penting, demi menjaga kebajikan rakyat yang ditimpa musibah banjir.

Terdahulu Ahmad Zahid meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni mangsa banjir di SMK Matang di sini, yang terdiri daripada 275 mangsa daripada 130 keluarga.

Selain itu Timbalan Perdana Menteri turut meluangkan masa melawat mangsa banjir di SK Nibong di sini yang menempatkan 265 mangsa daripada 91 keluarga.

 

TPM Zahid arah pantau kawasan berisiko tanah runtuh

KUALA TERENGGANU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengarahkan agensi berkaitan untuk memantau kawasan berisiko mengalami tanah runtuh, terutama membabitkan kawasan lereng bukit atau gunung.

Ahmad Zahid berkata, langkah itu perlu diambil bagi mengelak kejadian tanah runtuh yang menimpa kediaman penduduk di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini, semalam, daripada berulang.

“Isu berkaitan tanah runtuh ini bawah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), jadi kita akan menghantar pasukan daripada jabatan itu ke lokasi (tanah runtuh).

“Ia kerana kita melihat (terdapat) laluan air bawah tanah yang dikhuatiri akan menyebabkan berlaku runtuhan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, di sini, hari ini.

Kejadian semalam menyebabkan dua beradik maut, manakala seorang lagi cedera selepas kediaman mereka di Kampung Bukit Apit dihempap tanah runtuh.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi dan menyantuni keluarga mangsa bencana itu.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada ibu mangsa, Ruziah Fuad, 46, yang kini menetap di rumah sewa baharu yang disediakan oleh kerajaan negeri di kawasan berhampiran.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati, terutama sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

“Mereka yang berada di kawasan cerun atau lereng bukit atau gunung, dinasihatkan lebih berhati-hati. Semua pihak harus bersiap siaga kerana keadaan MTL pada 2024 lebih buruk berbanding 2014,” katanya.

227 mangsa dipindahkan ke PPS baharu, PPS Titi Gajah dinaiki air

ALOR SETAR: Seramai 227 mangsa daripada 72 keluarga yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah terpaksa dipindahkan ke PPS baharu berikutan air naik di kawasan itu, hari ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, kesemua mangsa dipindahkan ke PPS SK Taman Rakyat bermula jam 6 petang tadi.

Jelasnya, keadaan air yang memasuki perkarangan sekolah itu menyebabkan kesemua mangsa terpaksa dipindahkan segera dengan bantuan polis dan bomba.

“Operasi memindahkan mangsa dilakukan secara berperingkat dan PPS Titi Gajah akan ditutup.

“Situasi banjir di daerah Kota Setar ini agak membimbangkan apabila Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR melimpah ke atas jalan.

“Berikutan itu, mangsa banjir di daerah ini juga semakin bertambah dan PPS baharu juga turut dibuka untuk menempatkan mangsa banjir yang terjejas.

“Saya menasihatkan semua penduduk yang masih belum berpindah dan rumah mereka dinaiki air, segeralah berpindah atau menghubungi pasukan penyelamat untuk bantuan,” katanya ketika ditemui ketika meninjau keadaan banjir, hari ini.

Dalam pada itu, tinjauan di Pantai Johor, Jalan Gunung Keriang dan Anak Bukit mendapati, paras air semakin meningkat antara 0.5 hingga 1.3 meter di atas laluan jalan.

Berikutan itu, beberapa laluan jalan ditutup untuk kenderaan ringan bagi mengelakkan ada yang terkandas di tengah jalan.

Sementara itu, tinjauan juga mendapati, ada penduduk yang berpindah sendiri dari kediaman mereka selepas paras air meningkat dan mengalir deras.

Selain itu, bahagian depan kediaman Menteri Besar Kedah Seri Mentaloon serta laluan jalan hadapan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Kepala Batas juga turut dinaiki air dan diletakkan papan tanda amaran banjir.

Berdasarkan laman Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, lima sungai di tiga daerah iaitu masing-masing di Kota Setar, dua di Kubang Pasu dan satu sungai di Padang Terap menunjukkan sudah melepasi tahap bahaya setakat jam 7 petang.

Antara sungai terbabit adalah Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar, manakala Sungai Padang Terap di Kepala Batas dan Sungai Bata di Kampung Bata di daerah Kubang Pasu sementara Sungai Perik di daerah Padang Terap.

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Kedah mencatatkan peningkatan seramai 8,252 mangsa daripada 2,514 keluarga yang ditempatkan di 52 PPS di tujuh daerah.

Jumlah itu dijangka meningkat berikutan ketika ini proses memindahkan mangsa masih dilakukan di kawasan yang terjejas dinaiki air.

Lapangan Terbang Chennai India ditutup susulan Taufan Fengal

NEW DELHI: Penerbangan di Lapangan Terbang Chennai di selatan India terganggu pada Sabtu ketika rantau itu bersiap sedia menghadapi taufan “Fengal”.

Beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan dan dilencongkan kerana cuaca buruk yang melanda bandar raya itu.

Lapangan terbang Chennai menggantung operasi dari 12.30 tengah hari hingga 7 malam Sabtu susulan “kebimbangan keselamatan yang dibangkitkan oleh syarikat penerbangan berkaitan,” menurut ramalan Jabatan Cuaca.

“Penerbangan ke dan dari Chennai terjejas akibat cuaca buruk dan hujan lebat,” menurut kenyataan Air India.

Pelbagai kawasan di negeri Tamil Nadu dilanda hujan lebat disertai angin kencang.

Taufan Fengal dijangka melanda daratan berhampiran Puducherry di pantai Coromandel, selatan India.

Kerajaan negeri menutup sekolah dan kolej di daerah Chennai, Tiruvallur, Kancheepuram dan Chengalpet serta meminta syarikat teknologi maklumat membenarkan kakitangan bekerja dari rumah, menurut laporan media tempatan.

Wilayah itu dijangka dilanda hujan lebat dalam tempoh 48 jam akan datang, menurut laporan yang memetik kenyataan Ketua Menteri Tamil Nadu, M.K. Stalin.

— BERNAMA

 

Abang Viva bawa 'pasukan khas' bantuan banjir

Kuala Lumpur: "Saya berharap dapat membantu seramai mungkin mangsa banjir di Pantai Timur," kata Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar, 32.

Wira banjir yang kerap mendapat perhatian di media sosial itu berkata, dia kini sedang dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Pantai Timur untuk melaksanakan misi bantuan banjir bersama beberapa rakannya.

Katanya, mereka menggunakan lima pacuan empat roda dan dua bot fiber bagi membantu seramai mungkin mangsa banjir di sekitar Pantai Timur.

"Mengikut perancangan, hari ini kami akan terus menuju ke Rantau Panjang (Kelantan) berikutan keadaan di sana lebih serius dan ramai memerlukan bantuan.

"Bagaimanapun, semua bergantung dengan keadaan perjalanan kerana dibimbangi ada laluan yang mungkin ditutup menyebabkan kami terpaksa mengubah perancangan.

"Insya-Allah, saya akan berada di sana selama seminggu sehingga ke dua minggu bergantung juga dengan keadaan banjir di sana.

"Misi utama saya adalah membantu seramai mungkin mangsa banjir yang memerlukan bantuan," katanya.

Jelasnya, untuk misi banjir ini, dia tidak memandu kereta Perodua Viva kerana banjir di sana agak mencabar dan akan menyukarkan pergerakan.

"Viva saya 'rehatkan' di rumah, dan kali ini saya gunakan pacuan empat roda yang akan lebih memudahkan kami untuk bergerak daripada satu ke tempat ke tempat yang lain," katanya.

Katanya, dia sudah merancang untuk pergi ke Pantai Timur lebih awal sebaik mengetahui beberapa kawasan di sana mula dinaiki air namun ditangguhkan dahulu selepas dimaklumkan oleh rakan di sana keadaan masih terkawal.

"Bagaimanapun, selepas melihat keadaan menjadi semakin serius dan menerima banyak Direct Message (DM) hati saya semakin membuak-buak ingin segera ke sana. Saya ambil sedikit masa untuk mengumpul sumbangan kerana tidak mahu menyusahkan penduduk di sana.

"Biarpun sumbangan masih belum mencukupi, saya nekad dan tawakal untuk turun membantu. Insya-Allah kalau ikutkan apa yang saya dah ada ini (sumbangan) cukup untuk menampung perjalanan pergi, makan minum di sana selama dua ke tiga hari di sana." katanya.

Ditanya sama ada usaha ini diambil kerana terbeban dengan popularitinya sebagai wira banjir, Azwan menepis dakwaan itu dengan berkata ia sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membantu setiap kali banjir besar berlaku.

"Mohon doakan semoga misi bantuan banjir kali ini berjalan lancar dan dipermudahkan," katanya.

Terdahulu, Abang Viva kembali mendapat perhatian ramai apabila membuat satu hantaran di Facebook baru-baru ini menyatakan akan menjalankan misi bantuan banjir di Pantai Timur sekiranya kos mencukupi dan sedang mengumpul dana untuk memulakan misi itu

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search