PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

80,000 penduduk dipindahkan banjir besar badai China

80,000 penduduk dipindahkan banjir besar badai China

BEIJING: Lebih 80,000 penduduk di wilayah Guizhou, barat daya China, terpaksa dipindahkan selepas hujan lebat berterusan menyebabkan banjir besar melanda kawasan berkenaan, menurut laporan media rasmi negara itu.

China ketika ini sedang menghadapi musim panas ekstrem dengan gelombang haba melanda sebahagian besar wilayahnya, manakala ribut petir dan hujan lebat membadai kawasan lain termasuk Guizhou.

Menurut agensi berita rasmi Xinhua, pasukan penyelamat digerakkan ke dua daerah di Guizhou selepas pihak berkuasa menaikkan tahap amaran kawalan banjir ke peringkat tertinggi.

Antara lokasi yang terjejas teruk ialah daerah Rongjiang, di mana sebuah padang bola dilaporkan tenggelam dengan paras air mencecah tiga meter.

Sehingga petang, sekitar 80,900 penduduk telah dipindahkan dari kediaman masing-masing, menurut laporan agensi itu lagi.

Rakaman yang disiarkan penyiar negara CCTV menunjukkan sebuah jambatan runtuh berhampiran bandar Kaili di mana pasukan penyelamat dilihat menggunakan bot untuk membawa penduduk meredah air keruh separas lutut, manakala sekumpulan kanak-kanak menunggu di sebuah tadika untuk dibawa keluar oleh petugas kecemasan.

Turut dipaparkan ialah persiapan sebuah pasukan penyelamat menggunakan dron bagi menghantar bantuan makanan termasuk beras kepada mangsa banjir.

Wilayah bersebelahan, Guangxi, turut dilanda banjir dengan petugas penyelamat kelihatan membantu memindahkan penduduk di beberapa lokasi yang dinaiki air.

Minggu lalu, puluhan ribu penduduk di wilayah Hunan di tengah China turut diarahkan berpindah selepas hujan lebat melanda kawasan berkenaan.

Malah, hampir 70,000 penduduk di selatan negara tersebut telah dipindahkan beberapa hari lebih awal susulan banjir yang dicetuskan oleh Taufan Wutip.

Pihak berkuasa China minggu lalu turut mengeluarkan amaran merah, tahap tertinggi dalam sistem amaran empat peringkat negara itu bagi ancaman banjir besar di kawasan pergunungan melibatkan enam wilayah.

Fenomena cuaca ekstrem ini semakin kerap dan teruk dipercayai berpunca daripada perubahan iklim yang didorong oleh pelepasan gas rumah hijau.

China kini merupakan penyumbang terbesar gas rumah hijau di dunia, namun pada masa yang sama turut menjadi peneraju tenaga boleh baharu dan berikrar untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih karbon menjelang tahun 2060.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search