PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Pasar Terapung Pulau Suri, Sri Tanjong ditutup tiga bulan

Dua pasar terapung di gugusan pulau di sini tidak akan beroperasi hampir tiga bulan berikutan peralihan Monsun Timur Laut (MTL).

Pasar Terapung Pulau Suri sudah ditutup sementara bermula Ahad lalu, manakala di Sri Tanjong pula akan beroperasi kali terakhir pada Sabtu ini.

Pengerusi Pasar Terapung

Pulau Suri, Rusdi Ghani, 41, berkata keputusan itu diambil selepas 40 peniaga di lokasi tarikan pelancong itu bersetuju supaya penutupan dilakukan demi keselamatan mereka serta pengunjung yang datang ke kawasan terbabit.

“Pasar terapung Pulau Suri ditutup sementara pada 10 November lalu dan semua operasi dihentikan sehingga keadaan cuaca kembali stabil serta selamat.

“Buat masa ini kami tidak dapat memberi tarikh tetap bila pasar akan dibuka semula dan sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan menerusi laman rasmi sosial media Facebook milik kami,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mendatangkan bahaya

Penutupan sementara dua pasar terapung itu adalah kebiasaan menjelang hujung tahun kerana lokasinya yang terletak di delta Sungai Kelantan, agak berisiko kepada orang ramai untuk mengemudi sungai.

Pemilik Pasar Terapung Sri Tanjong, Saidi Mamat@ghani, 52, berkata selain hujan lebat, keadaan arus sungai yang deras juga boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

“Biasanya akan ditutup lebih dua bulan sehingga keadaan cuaca betul-betul kembali baik dan untuk Pasar Terapung Sri Tanjong ini, saya akan tutup operasi bermula 23 November ini memandangkan cuaca sekarang masih tiada tanda banjir.

“Untuk beroperasi semula nanti, mungkin akan mengambil masa agak lama dari tahun-tahun sebelumnya memandangkan Ramadan tahun depan dijangka pada penghujung Februari.

“Agak singkat masa sekiranya saya buka operasi semula, maka kemungkinan besarnya adalah selepas Aidilfitri nanti,” katanya.

 

8 projek bakal selesai masalah banjir di Kedah

ALOR SETAR: Masalah banjir yang kerap kali melanda Kedah khususnya di beberapa daerah tertentu mendapat perhatian sewajarnya dari Kerajaan Negeri untuk ditangani menerusi lapan projek.

Lima projek pelaksanaan, satu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkeutamaan tinggi dan dua projek reka bentuk yang dijangka akan dapat membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air Negeri, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, projek tersebut menelan belanja sebanyak RM1.4 billion melalui peruntukan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Kerajaan Persekutuan.

“Terdapat juga beberapa projek yang sedang berjalan dan ada yang masih menunggu peruntukan untuk dilaksanakan,” jelas beliau.

Sementara itu ujarnya lagi, RM1.4 billion itu melibatkan RM45 juta untuk pembinaan RTB di Jitra, RM641 juta di Sungai Anak Bukit dan RM15 juta di Baling 1.

Manakala RTB Sungai Pendang 1 dan Sungai Pendang 2, masing-masing melibatkan RM350 juta.

“Semua lima RTB ini sudah berada di peringkat pelaksanaan dan sudah mencapai tahap antara 40 peratus hingga 84 peratus secara keseluruhan,” katanya lagi.

Sementara itu tambah beliau, tiga lagi iaitu RTB di Baling 2 yang menelan kos RM157 juta, masih dalam proses reka bentuk.

Manakala RTB Sungai Bongkok (RM68 juta) dan Bandar Bharu (RM150 juta) maklumnya, masing-masing sudah siap reka bentuk serta akan ditender pada tahun hadapan.

Terdahulu, satu sidang meja bulat di Wisma Darul Aman yang membincang serta memberi sumbang saran penyelesaian masalah banjir di negeri itu diadakan.

Sidang meja bulat itu dihadiri Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ADUN-ADUN, serta Ahli-ahli Parlimen.

Juga agensi berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Negeri Kedah. – HARAKAHDAILY 12/11/2024

Penduduk Pos Balar rayu selenggara laluan di Bukit Pasir

Gua Musang: Lebih 1,000 penduduk Pos Balar, di sini, yang berdepan dengan risiko tanah runtuh setiap kali musim tengkujuh meminta pihak berwajib menyelenggara laluan di Bukit Pasir, dekat sini yang menjadi laluan utama keluar masuk ke pos berkenaan.

Tinjauan mendapati, laluan di Bukit Pasir itu juga menjadi laluan utama penduduk dari Pos Belatim serta agensi kerajaan dan kontraktor untuk ke penempatan Orang Asli bagi menghantar bantuan atau mengambil pesakit.

Seorang penduduk, Nen Aja, 27, berkata ketika musim hujan dan tanah lembap, laluan terbabit akan berlaku hakisan yang boleh membahayakan kenderaan melaluinya.

Lebih merisaukan, apabila hujan berlarutan selama beberapa hari boleh menyebabkan berlaku tanah runtuh dan penduduk tidak dapat keluar dari perkampungan mereka.

"Laluan ini sangat berisiko untuk diguna kerana boleh membahayakan nyawa pengguna terutama apabila tiba musim tengkujuh.

"Jalan ini kerap rosak dan berlaku hakis apabila hujan berterusan selama beberapa hari, lebih membimbangkan ketika kami dalam perjalanan keluar dan berlaku tanah runtuh.

"Laluan ini menjadi laluan utama untuk ke perkampungan di Pos Balar, jadi kami penduduk di sini berharap ia dapat diselenggara oleh pihak berwajib," katanya ketika ditemui di Pos Balar, di sini.

Nen berkata, laluan terbabit pernah diselenggara oleh pihak kontraktor namun kerana faktor cuaca ia kembali rosak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim yang menerima aduan rakyat itu sudah meninjau lokasi terbabit dan berharap kerja menyelenggara jalan itu dapat disegerakan.

Katanya, langkah keselamatan perlu diambil bagi memudahkan urusan rakyat yang berada di kawasan pedalaman.

"Dianggarkan lebih 1, 000 keluarga menggunakannya kerana menjadi laluan menghantar anak ke sekolah serta berurusan di Bandar Gua Musang.

"Kita tidak mahu alasan jalan rosak menyebabkan kebanyakan ibu bapa tidak membenarkan anak ke sekolah," katanya.

 

BANJIR PULIH, PPS DI RAUB DAN LIPIS DITUTUP

KUANTAN, 12 NOVEMBER 2024 : Keadaan banjir di Raub dan Lipis kini pulih sepenuhnya dengan kesemua pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah berkenaan ditutup sepenuhnya hari ini.

Seramai 441 mangsa daripada 127 keluarga yang ditempat di enam PPS di Raub dan dua PPS di Lipis telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub, Kapt (PA) Samsuddin Kambade berkata, enam PPS yang menempatkan 223 mangsa daripada 66 keluarga telah dibuka sejak Ahad lalu dan telah tutup sepenuhnya jam 9 pagi tadi.

Menurutnya, PPS yang dibuka di Raub berkenaan adalah PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang, PPS Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali, PPS Pusat Kegiatan Kemas Gali Tengah, PPS Balairaya Kampung Sungai Ruan, PPS Balairaya Kampung Sungai Pasu, PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Fallah dan PPS Masjid Kampung Pintu Padang.

Manakala Sekretariat JPBD Lipis memaklumkan, sebanyak 230 mangsa daripada 64 keluarga telah ditempatkan di PPS Lipis yang dibuka sejak semalam juga akan ditutup hari ini secara berperingkat.

PPS terbabit adalah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kechau Tui yang menempatkan 144 mangsa dari 36 keluarga dan Dewan Semai Bakti Felda Kechau 1 yang menempatkan 86 mangsa dari 28 keluarga. -PAHANGMEDIA

Banjir kilat Lembah Klang dan Selangor: Kereta terkandas, sekolah terjejas dinaiki air

INSIDEN hujan lebat yang berlaku sejak awal pagi Selasa menyebabkan beberapa laluan dan kawasan sekitar Selangor serta Lembah Klang dilanda banjir kilat.

Situasi tersebut sekali gus menyebabkan kesesakan yang luar biasa memandangkan banyak kenderaan terkandas akibat laluan dinaiki air.

Orang ramai turut berkongsi situasi banjir kilat di media sosial sebagai amaran dan peringatan bersama.

Antara kawasan yang terjejas agak teruk adalah kawasan Batu Tiga (Shah Alam), Persiaran Jubli Perak (Shah Alam), Bukit Jelutong (Shah Alam), Kapar dan Bukit Raja (Klang), Pasar Borong Klang (Klang), beberapa kawasan di Lebuhraya Grandsepadu dan Sungai Penchala.

Sementara itu, sebuah sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan Batu Belah, Klang turut dinaiki air sehingga paras lutut menyebabkan gangguan kepada aktiviti pembelajaran dan kesukaran pergerakan pelajar.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan Monsun Timur Laut atau lebih dikenali musim tengkujuh diramal berterusan sehingga Mac 2025.

Ketua pengarah MetMalaysia memaklumkan sekiranya hujan lebat berterusan serentak dengan air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.

Orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta peka dengan maklumat, nasihat dan ramalan cuaca melalui met.gov.my, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi METMalaysia.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search