PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Terpaksa tutup jalan susulan berlaku mendapan tanah

Musang: Jalan Gua Musang-Jeli di Kilometer 35 berdekatan Kampung Jerek menuju ke Jelawang ditutup kepada semua kenderaan berikutan berlaku mendapan tanah sepanjang 15 meter, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, jalan terbabit kelihatan melengkung dan semakin menurun justeru terpaksa ditutup kerana bimbang berlaku pergerakan air bawah tanah.

Beliau berkata, kejadian berkenaan berlaku berkemungkinan faktor cuaca kerana hujan berterusan sejak petang kelmarin.

“Pemantauan dan penilaian dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada malam tadi dan jalan ditutup untuk semua kenderaan.

“Kami risau berlaku pergerakan air bawah tanah dan sedang menunggu penilaian oleh pihak JKR sama ada jalan itu selamat digunakan atau sebaliknya,” katanya.

Sik berkata, pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Jelawang-Sungai Sam untuk ke Gua Musang.

“Berdasarkan laporan daripada JKR daerah, mendapan tanah telah dikesan seawal 10 pagi semalam namun jalan masih boleh dilalui dan dibuka kepada semua kenderaan.

“Pihak terbabit telah membuat tindakan awal dengan meletakkan kon penghalang dan papan tanda sebagai peringatan tanah runtuh untuk makluman kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, anggota penyelamat dan JKR akan melakukan pemantauan secara berterusan untuk mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku.

Sada henti tugas tujuh LRA

Sebanyak tujuh loji rawatan air (LRA) Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) terpaksa dihenti tugas berikutan peningkatan paras sungai ke tahap kritikal di muka sauk.

Kenyataan Sada malam kelmarin memaklumkan keadaan itu berpunca daripada hujan yang berterusan sejak beberapa hari lepas.

Menurut Sada, henti tugas LRA terbabit telah menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air tidak berjadual di sebahagian kawasan di daerah Padang Terap, Pendang, Kuala Muda, Sik dan Baling.

“Antara yang terkesan setakat 7 malam ini ialah LRA Lubuk Merbau, LRA Jeniang Baru, LRA Jeniang Lama, LRA Jeneri, LRA Nami, LRA Teloi Kanan dan LRA Sungai Limau manakala LRA utama seperti LRA Pelubang, LRA Bukit Pinang, LRA Sungai Petani/Pinang Tunggal masih beroperasi pada tahap optimum ketika ini,” katanya.

Bagaimanapun, pemantauan berterusan Sada di muka sauk LRA terbabit mendapati berlaku trend peningkatan pada paras sungai.

Sada memaklumkan ia telah menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti pusat pemindahan sementara, hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Menurut kenyataan itu, bantuan bekalan air alternatif melalui tiga lokasi Pusat Agihan Bantuan (PAB) turut diaktifkan iaitu di Masjid Muhammad Kampung Pulau Tengah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Tiang di daerah Pendang serta Masjid Felda Lubuk Merbau di daerah Padang Terap.

Menurut Sada, jangkaan bagi LRA-LRA terkesan untuk beroperasi semula belum dapat dipastikan buat masa ini.

Lebih 26,000 hektar sawah ditenggelami banjir di Kelantan

Kota Bharu: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menganggarkan lebih 26,000 hektar tanaman padi di kawasan seliaan dan luar jelapang mengalami kerosakan susulan banjir yang melanda Kelantan sejak beberapa hari lalu.

Pengerusi Persatuan Pesawah Kelantan (Pesak), Zuha Ismail, berkata sebahagian besar kawasan berkenaan baru siap ditabur benih beberapa minggu lalu, manakala sebahagian lagi menunggu waktu untuk dituai.

“Kita lewat melakukan proses tabur untuk musim 1/2025 kerana berdepan isu bekalan air sebelum ini. Namun, petani berdepan kerugian sekali lagi bila banjir melanda hampir seluruh Kelantan ketika ini.

“Bagi yang baru melakukan proses menabur, mungkin benih sudah dihanyutkan air kerana arus banjir pada tahun ini lebih deras daripada biasa,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini sudah tiga musim petani di Kelantan tidak dapat menanam padi dan mengalami kerugian hingga ribuan ringgit, termasuk dirinya sendiri yang mengusahakan kira-kira lima hektar sawah di Peringat.

Sementara itu, lima kementerian digembleng menggerakkan petugas masing-masing bagi membantu mangsa banjir yang sehingga jam 8 malam tadi mencatatkan 131,461 mangsa daripada 39,266 keluarga dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 82,460 orang.

Malah, banjir kali ini di Kelantan disifatkan sebagai terburuk dalam sejarah.

Sementara itu, di Johor Bahru, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kementerian diarah membantu mangsa banjir di sembilan negeri terbabit.

“Minggu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan ke Pantai Timur untuk meninjau sendiri keadaan banjir dan salurkan bantuan.

“Kerajaan memang salurkan dana bantuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk bantu mangsa banjir yang terkesan. Insya-allah, kita akan bantu jika ada isu berbangkit.

“Saya juga sudah minta pertolongan dari GLC di bawah Kementerian Kewangan supaya berganding bahu membantu mangsa banjir yang terjejas menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), di waktu mereka memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya.

Pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri dilaporkan mengarahkan penyaluran segera peruntukan hampir RM600 juta untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persiapan mendepani musibah banjir, termasuk lebih RM300 juta yang sudah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.

Di Bukit Mertajam, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, mengingatkan majikan jangan sewenang-wenang memotong gaji pekerja yang menjadi mangsa banjir kerana ia menyalahi Akta Kerja 1955 dan Ordinan Buruh bagi Sabah dan Sarawak.

“Untuk keadaan banjir dan sebagainya, saya minta kalau ada majikan atau pekerja yang memerlukan bimbingan dari segi penyelarasan kerja supaya tampil atau menghubungi pejabat Tenaga Kerja,” katanya, semalam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pula berkata kementerian sedang menyiasat kejadian tanah runtuh yang mengorbankan dua beradik di Ajil, Terengganu, kelmarin.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa untuk mengenal pasti punca kejadian, termasuk sama ada kawasan sekitar tempat kejadian selamat untuk diduduki atau sebaliknya.

Beliau ada dimaklumkan mengenai penutupan Jalan Gua Musang-jeli (Jalan Jelawang) di Kilometer 35.40 di daerah Gua Musang, bagi semua jenis kenderaan bermula 10 malam kelmarin, akibat mendapan tanah.

Jalan negeri itu dikesan mula mendap kira-kira jam 9 pagi kelmarin dan kawasan terjejas adalah sepanjang 15 meter.

Jawatankuasa selaras bantuan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kementerian menubuhkan jawatankuasa petugas khas bagi menyelaras misi bantuan banjir, terutama di Pantai Timur termasuk bersama NADMA.

Katanya, bantuan terbabit termasuk menggerakkan aset Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut atau mana-mana agensi berkaitan untuk misi itu

“Timbalan Ketua Setiausaha MOT akan mengetuainya dan koordinasi, selain berbincang dengan NADMA untuk melihat keperluan boleh disalurkan daripada MOT kerana kita boleh kerah aset kita atau mana-mana agensi lain untuk gerakkan apa sahaja peralatan diperlukan untuk membantu.

“MOT ambil langkah proaktif supaya jentera daripada kementerian dapat dikerahkan, koordinasi dibuat bersama NADMA untuk lihat keperluan kerana kalau pergi tanpa koordinasi banyak sumber akan dibazirkan jadi kami kerahkan bantuan mengikut yang diperlukan.

Dalam pada itu, bencana yang melanda beberapa negeri ketika ini turut menjejaskan beberapa mod pengangkutan, terutama landasan kereta api di Kelantan yang ditenggelami banjir.

“Antara yang terkesan dari laluan Gemas ke Pantai Timur, banyak perjalanan dibatalkan. Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim juga terpaksa ditutup sebab landasan dibanjiri,” katanya.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), bersedia menggerakkan bantuan bomba luar Kelantan dan Terengganu, sekiranya keadaan banjir makin memburuk di negeri berkenaan.

“Kita akan melihat (keperluan gerakkan anggota bomba luar Kelantan dan Terengganu dari semasa ke semasa) tetapi pada peringkat kementerian seperti menjadi hasrat Perdana Menteri supaya kita ‘full force’. Selepas ini di peringkat Swcorp kalau sudah berhenti hujan, dari sudut pembersihan untuk kita tengok longkang, apa semua kita full force juga,” katanya.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata kementerian menggerakkan jentera Komuniti Rukun Tetangga (KRT) bagi misi bantuan banjir di kawasan terjejas bencana itu, di seluruh negara.

Katanya, kementerian bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), serta pihak berkaitan di lokasi terjejas banjir bagi memberi bantuan sewajarnya.

 

Jumlah mangsa banjir Kelantan bertambah

Rantau Panjang: Polis Kelantan menyifatkan banjir yang melanda negeri ini adalah yang terburuk dalam sejarah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ia berdasarkan lebih 90,000 mangsa sudah dipindahkan ke 288 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 5 petang semalam.

“Saya kira ini banjir yang terburuk. Ini baru pusingan pertama keadaan sudah sebegini dan banyak laluan terputus.

“Daerah yang paling terkesan adalah Pasir Mas dan Tumpat. Malah, laluan ke Pengkalan Kubor juga terputus terus untuk semua kenderaan.

“Walaupun hujan lebat sudah berhenti, jumlah mangsa banjir terus bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melawat kawasan banjir di sini, semalam.

Mengulas lanjut, polis Kelantan tetap bersedia untuk berdepan dengan banjir lebih buruk selepas beberapa kawasan di bandar Kota Bharu juga dinaiki air.

Sehingga jam 6 petang semalam, seramai 91,865 mangsa banjir dipindahkan dengan sembilan sungai di Kelantan masih melepasi paras bahaya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search