PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

MTL: APM tugaskan 900 keanggotaan di seluruh Kelantan

TUMPAT - Sebanyak 900 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan akan ditugaskan sepanjang musim Monsun Timur Laut di negeri ini.

Pengarah APM Kelantan, Kol Mohd Adzhar Mujab berkata, kesemua anggota ditempatkan di 10 daerah di Kelantan untuk bersiap-sedia menghadapi banjir tahun ini.

 

"Sekarang ini, APM telah meminta pejabat APM di semua daerah untuk mengaktifkan bilik gerakan dan mempersiapkan keseluruhan logistik untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir di luar jangkaan.

"Apabila bermula hujan dan ada potensi banjir, anggota kita akan melakukan rondaan untuk bertindak pantas memindah dan menyelamatkan mangsa-mangsa yang terlibat banjir di sesuatu kawasan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program Community Outreach and Disaster Preparedness di Kampung Pulau Besar, di sini pada Sabtu.

Mohd Adzhar berkata, APM juga telah mengenal pasti sebanyak 617 kawasan 'hotspot' banjir di Kelantan bagi memudahkan pegawai dan anggota APM untuk memberi tumpuan operasi menyelamat.

Beliau berkata, APM menjalani latihan setiap minggu bersama agensi lain bagi memastikan anggota bersiap siaga menghadapi banjir tahun ini.

"Kita juga mengambil kira pandangan atau ramalan tradisional banjir besar akan berlaku 10 tahun sekali, kita tidak boleh pandang mudah," katanya. - Bernama

 

 

Dua kampung terjejas banjir di Raub

UANTAN - Penduduk Kampung Tok Machang dan Kampung Ulu Gali, Raub dikejutkan dengan kejadian banjir yang melanda kampung itu ekoran hujan lebat berterusan awal pagi Ahad.

Limpahan air Sungai Gali menyebabkan kawasan rendah di kampung tersebut dinaiki air dan menjejaskan 25 rumah penduduk membabitkan 99 mangsa sehingga jam 9 pagi.

 

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub dalam kenyataannya memaklumkan, semua mangsa kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di kampung berkenaan.

Menurutnya, seramai 89 mangsa dari 23 keluarga kini berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang yang dibuka sejak jam 4.30 pagi tadi manakala 10 lagi mangsa dari dua keluarga berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Gali yang dibuka jam 6.30 pagi.

"Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Raub menerima panggilan daripada orang awam jam 3.45 pagi berhubung kejadian banjir tersebut.

"Anggota APM Raub segera ke lokasi bagi membantu memindahkan penduduk terjejas ke PPS yang dibuka," katanya.

Beliau berkata, maklumat mangsa terlibat sudah diambil dan usaha membantu mangsa kini dalam tindakan lain-lain agensi berkaitan.

 

6,000 kit makanan untuk mangsa banjir Pahang

KUANTAN: FAMA Pahang menerima 2,000 kit makanan fasa pertama sebagai persediaan menghadapi banjir ketika Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah, Saiful Sadri, berkata pihaknya menerima 6,000 kit makanan daripada NADMA untuk kegunaan mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya, FAMA menjadi agensi pembekal utama kit makanan berkenaan dan diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang sebelum diagihkan kepada mangsa banjir yang berada di PPS daerah.

"Fasa pertama sebanyak 2,000 kit makanan diterima dan kita telah menyerahkan kepada APM Pahang, fasa kedua akan diterima tidak lama lagi daripada syarikat pembekal.

"Setiap kit makanan terdapat nasi dan lauk ayam atau daging yang boleh dimasak segera selain itu terdapat beberapa jenis makanan kering yang boleh dimakan terus," katanya dihubungi hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah APM Pahang, Mejar (PA) Mohd Zairosnizam Mohd Tarmizi, berkata pihaknya telah mengagihkan 2,000 kit makanan fasa pertama yang diterima kepada pejabat APM daerah sebagai persiapan sekiranya berlaku banjir.

 

99 individu terjejas banjir di Raub

KUANTAN – Seramai 99 individu membabitkan 25 keluarga di daerah Raub terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setelah kediaman mereka dinaiki air sejak jam 3.45 pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub, limpahan air Sungai Ulu Gali menyebabkan banjir di Kampung Tok Machang dan Kampung Ulu Gali.

 “Seramai 89 individu daripada 23 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang yang dibuka pada pukul 4.30 pagi tadi.

“Manakala 10 individu daripada dua keluarga pula kini ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Atok yang telah dibuka pada pukul 6.30 pagi,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan semua paras air sungai di negeri ini masih berada pada tahap normal. – MalaysiaGazette

'Menakutkan... ayah sampai jatuh parit 'ditolak' angin'

Pendang: "Tidak sampai lima minit habis bumbung rumah berterbangan dan barangan dalam rumah rosak.

"Ayah yang ketika itu berada di tepi jalan jatuh 'ditolak' angin hingga ke dalam parit tetapi mujurlah dia tidak cedera dan bangun semula selepas itu," kata Muhammad Hafizudin Salim, 30.

Penduduk Kampung Bukit Cepat, Kobah di sini itu menceritakan kejadian puting beliung yang berlaku kira-kira 4 petang, hari ini yang disifatkannya sebagai menakutkan.

Katanya, ketika itu dia baru pulang dari tempat kerja di hotel di Pendang dan berada di dalam bilik, manakala bapanya, Salim Md Hassan, 69, dan ibu, Rokiah Aziz, 64, bersantai di luar rumah.

"Pusaran angin kuat seperti belalai air tiba-tiba menerpa ke rumah kami dan ketika itu saya nampak kejadian dari tingkap.

"Tak sampai lima minit, rumah saya habis rosak. Rumah tok (nenek) terletak bersebelahan juga rosak," katanya ketika dihubungi.

Muhammad Hafizudin berkata, kejadian itu yang kedua dihadapi mereka selepas 2012 dan menganggarkan kerugian RM20,000.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pendang, Yuslina Yusoff berkata, enam rumah penduduk terjejas akibat puting beliung dengan empat di Kampung Kobah dan dua lagi di Kampung Bukit Cepat.

"Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Pendang menerima aduan di dua kampung berkenaan pada 6.51 petang dan melakukan pemantauan di lokasi," katanya yang memaklumkan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search