KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya membabitkan beberapa daerah di Terengganu dan Pahang sehingga Jumaat ini.
METMalaysia dalam kenyataan menerusi platform X 1 tengah hari tadi memaklumkan, di Pahang, lima daerah diletakkan dalam zon merah atau bahaya iaitu Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.
Di Terengganu, daerah yang dijangka terjejas susulan taburan hujan sangat lebat dan berterusan adalah Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Selain itu, amaran cuaca buruk tahap jingga iaitu hujan lebat berterusan turut dikeluarkan membabitkan beberapa negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Johor.
Di Kedah, daerah dijangka berdepan cuaca tahap buruk membabitkan Padang Terap, Sik dan Baling; satu daerah di Perak iaitu Hulu Perak; empat daerah di Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu) selain Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Temerloh dan Bera).
Dalam pada itu, amaran tahap kuning atau hujan berterusan turut dikeluarkan di beberapa negeri antaranya Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor dan Sabah.
METMalaysia turut mengeluarkan infografik angin kencang dan laut bergelora membabitkan beberapa kawasan perairan negara setakat jam 1 tengah hari tadi sehingga 30 November depan.
Amaran bagi kategori pertama dikeluarkan membabitkan angin kencang berkelajuan 40 kilometer sejam (kmsj) hingga 50 kmsj, dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.
Situasi ini dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Barat Daya Samui, Selatan Bunguran, Tenggara Reef North, Reef South, Selatan Tioman, Labuan dan Palawan.
Selain itu amaran tahap dua iaitu angin berkelajuan 50 hingga 60kmsj dengan ketinggian ombak 3.5 hingga 4.5m dijangka membabitkan Terengganu, Kelantan, Tenggara Samui, Utara Tioman, Utara Bunguran, Timur laut dan barat daya Reef North serta Layang-Layang.
Bagi amaran kategori ketiga iaitu angin berkelajuan lebih 60kmsj dan ketinggian ombak lebih 4.5m dijangka berlaku diCondore dan Barat laut Reef North.
METMalaysia turut menasihatkan orang ramai supaya kekal waspada dan sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web dan media sosial rasminya selain aplikasi mobile myCuaca.
Bagi pertanyaan lanjut, hubungi talian hotline METMalaysia,1-300-22-1638.
KUALA BERANG: Pengalaman saban tahun menanggung kerugian akibat banjir membuatkan pasangan warga emas membina rakit di dalam rumah bagi menyelamatkan pelbagai barangan dan keperluan dapur daripada dihanyutkan.
Idea membina rakit di dalam rumah itu timbul berikutan kediaman mereka di Kampung Pengkalan Ajal, di sini ditenggelami banjir setiap tahun yang mengakibatkan pelbagai barangan dan perkakas rumah rosak.
Menurut Zainun Abdullah, 65, kediaman mereka yang terletak berhampiran sungai akan ditenggelami air sehingga paras lima meter setiap kali musim tengkujuh.
Katanya, situasi itu membuat dia dan suami, Mohd Sulong, 73, membina rakit di dalam rumah sejak empat tahun lalu kerana tidak tahan melihat pelbagai barangan dan perkakas rumah hilang dihanyutkan arus.
Zainun yang mesra disapa Mak berkata, dia dapat menyelamatkan semua barangan yang ada di dalam rumah walaupun rumah ditenggelami air banjir selepas membina rakit di dalam rumah.
"Sebelum ini, Mak bina rumah rakit di luar rumah bagi meletakkan pelbagai barangan termasuk motosikal yang dipindahkan sebagai persediaan sebelum banjir dan perlu diangkut untuk diletakkan dalam rumah rakit berkenaan.
"Namun, memandangkan ayah (suami) kurang sihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mak tidak larat untuk angkut barangan dari atas rumah untuk dibawa ke rumah rakit berkenaan dan disebabkan itu, timbul idea untuk membina rakit di dalam rumah.
"Mak buat dua rakit iaitu satu digunakan untuk meletak barangan berat seperti peti sejuk dan mesin basuh manakala satu lagi untuk meletakkan barangan dapur dan bahan keperluan harian seperti beras, tepung, minyak, gula dan bahan masakan dan pakaian," katanya.
Katanya, dia membuat rakit yang berukuran 1.5 meter lebar dan 2.5 meter panjang dengan bahagian bawah menggunakan sembilan tong plastik kecil yang dilekatkan dengan paku dan tali bertujuan mengapungkan rakit yang dibina untuk meletakkan barangan dapur dan pakaian.
"Bagi mengelak ia hanyut, empat penjuru rakit diikat pada kayu bumbung rumah manakala mak ubah suai katil dengan meletakkan enam tong plastik kecil yang diikat kemas pada bahagian bawah untuk meletakkan peti sejuk dan mesin basuh.
Katanya, selain rakit, dia juga menggunakan pelampung tayar lori yang diikat pada kayu bumbung rumah untuk meletakkan barangan.
Tambah Zainun lagi, dia kini dengan tunjuk ajar suaminya sedang berusaha mencari idea untuk menyelamatkan set kerusi kayu jati daripada ditenggelami air.
KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menyediakan lima dewan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 gantian jika sekolah yang dijadikan pusat itu ditenggelami banjir.
Pengarah, Jelani Sulong, berkata Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih dan SMK Mak Lagam di Kemaman antara lima sekolah yang dijadikan pusat peperiksaan SPM dikenal pasti mudah ditenggelami banjir.
Katanya, turut dikenal pasti mudah dinaiki air adalah SMK Tengku Ampuan Afzan, Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah dan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Hulu Terengganu.
"Calon SPM yang menduduki peperiksaan di sekolah itu akan dipindahkan ke pusat berhampiran jika lokasi berkenaan ditenggelami banjir.
"Kita juga sudah mengenal pasti laluan ke pusat peperiksaan SPM yang mudah ditenggelami air dan calon akan ditempatkan di asrama sekolah," katanya ketika ditemui di JPNT, hari ini.
Jelani mengulas persiapan JPNT bagi menghadapi peperiksaan SPM 2024 pada Monsun Timur Laut (MTL).
Peperiksaan SPM 2024 membabitkan seramai 18,907 termasuk calon daripada sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan bermula pada 2 Disember hingga 6 Februari depan di 166 pusat peperiksaan di seluruh negeri.
Mengulas lanjut, Jelani berkata, seramai 1,684 pengawas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tahun ini.
Katanya, JPNT dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) turut menyediakan enam hospital sebagai pusat peperiksaan SPM tahun ini.
"JPNT juga sentiasa berkolaborasi dengan agensi kerajaan lain untuk membawa calon SPM ke pusat peperiksaan yang terkandas disebabkan laluan ditenggelami air.
"Pengetua sekolah menengah akan menghubungi calon peperiksaan SPM jika laluan ke pusat peperiksaan ditenggelami air," katanya.
KUCHING: Kawasan penempatan penduduk di tebing Sungai Rajang di tengah Sarawak diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan peningkatan paras air yang dicatatkan di beberapa stesen hidrologi di sungai berkenaan.
Tinjauan di laman web iHYDRO mendapati sekurang-kurangnya 11 stesen sepanjang sungai berkenaan mencatatkan bacaan melepasi paras berjaga-jaga sejak semalam.
Stesen Giam Pasang B di hulu sungai terpanjang di Malaysia itu dicatatkan menghampiri paras bahaya iaitu 6 meter (m) mulai jam 6 pagi hingga 9 pagi ini namun menurun ke paras amaran iaitu 5.5m pada jam 8 hingga 11 pagi.
Stesen Belaga pula menghampiri paras berjaga-jaga mulai tengah malam hingga 11 pagi, begitu juga dengan stesen Nanga Merityang berada pada paras berjaga-jaga mulai jam 4 pagi hingga 11 pagi.
Stesen New Headwork di Kapit yang paras normalnya 6.25 m pula naik ke paras amaran iaitu 14 m pada tengah malam dan berada pada 12.4 m sehingga jam 11 pagi ini.
Empat stesen iaitu Nanga Sebatu, Song B, Bazaar Durin dan Jabatan Laut di Sibu pula berada pada paras berjaga-jaga.
Stesen Stabau pula mencapai paras amaran pada jam 6 pagi namun menurun ke paras berjaga-jaga pada jam 10 pagi.
Stesen Sungai Salim B pula melepasi paras bahaya iaitu 3.1 m apabila mencapai 3.5.meter pada jam 6.pagi manakala Stesen Teku di Sibu pula mencatat 2.9 m iaitu melepasi paras amaran pada jam 7 pagi dan kekal hingga jam 11 pagi ini.
Sumber berkata, peningkatan paras air Sungai Rajang yang sepanjang 770 kilometer itu berlaku akibat hujan lebat di kawasan hulu beberapa hari lalu.
Bagaimanapun katanya, keadaan kini masih terkawal apabila paras air menurun di kebanyakan kawasan.
Namun katanya, keadaan kembali membimbangkan jika hujan lebat berlaku lagi di hulu sungai.
Ambil iktibar banjir besar 2014, 13 bukit di Gua Musang dikenali pasti lokasi pemindahan
- Admin UKK
- Berita
GUA MUSANG: Tiga belas bukit dikenali pasti sebagai lokasi pemindahan sekiranya banjir besar berlaku yang menyebabkan pusat pemindahan sementara (PPS) ditenggelami banjir.
Ketua Jajahan Gua Musang yang juga Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Nik Raisnan Daud, berkata, inisiatif ini diambil susulan banjir besar yang berlaku pada 2014 yang menyebabkan penduduk terpaksa menyelamatkan diri di atas bukit dan ada di antara mereka yang terputus bekalan makanan.
Katanya, pihaknya mengambil pendekatan awal bagi mengenali pasti 13 bukit ini sebagai kesiapsiagaan supaya penduduk di daerah ini tidak berhadapan dengan kesukaran yang sama pada 10 tahun lalu.
"Mengambil iktibar dari kejadian banjir besar 2014 kami membuat persiapan awal dengan mengenal pasti 13 bukit sebagai tempat menyelamatkan diri sekiranya berlaku banjir besar sehingga menyebabkan PPS tenggelam.
"Antara lokasi yang sudah dikenal pasti adalah di Kampung Batu Papan, Lebir, Kampung Limau Kasturi dan Aring. Kejadian banjir besar yang berlaku 10 tahun lalu di luar jangka dan kita tidak ada persiapan awal.
"Di lokasi yang sudah dikenali pasti ini pihak kami sudah menyediakan pelbagai kelengkapan untuk kegunaan mangsa banjir selain bahan makanan, peralatan memasak, lampu suluh, tali dan khemah untuk kegunaan mangsa banjir yang terpaksa berpindah ke atas bukit," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Nik Raisnan berkata, lokasi 13 bukit ini dan tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kejadian banjir luar jangka akan dibuat hebahan ketika solat Jumaat dan dengan bantuan daripada penggawa serta penghulu.
Katanya, sejak sebulan lalu pihaknya juga sudah mengarahkan semua masjid di kawasan bandar dan mukim untuk melakukan solat hajat memohon supaya banjir besar tidak berlaku.
"Kesiapsiagaan kita bagi menghadapi musim tengkujuh bermula awal dan pada bulan lalu kami menganjurkan program simulasi banjir yang membabitkan semua agensi antaranya Polis, Bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Selain lima bot daripada pelbagai agensi, terdapat juga 25 bot persendirian sudah didaftarkan sebagai persediaan mengambil Monsun Timur Laut (MTL) di daerah ini.
"Kepada semua penduduk di daerah ini terutama yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai saya harap sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa untuk menghadapi musim banjir serta sentiasa menjaga keselamatan diri," katanya.
Beliau berkata penduduk juga diminta menyimpan dokumen penting terutama kad pengenalan, geran tanah dan pasport di tempat selamat.