PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir: 6 sungai di Kelantan lepas bacaan paras bahaya

Kota Bharu: Enam sungai di Kelantan melepasi bacaan paras bahaya sehingga 11 pagi ini. Ia membabitkan sungai di beberapa daerah iaitu Bachok, Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Machang.

Berdasarkan publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai berkenaan adalah Sungai Lanas di Jeli, Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Melor di Bachok, Sungai Semerak di Pasir Puteh, Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang dan Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai.

Satu sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai, manakala enam sungai melepasi paras berjaga-jaga. Enam sungai berkenaan adalah Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah; Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat; Sungai Buaya di Pasir Puteh; Sungai Galas di Gua Musang; Sungai Kelantan di Kusial Baru dan Sungai Galas di Chegar Lapan, Kuala Krai.

 

4 daerah di Terengganu kembali dilanda banjir

HULU TERENGGANU: Hujan lebat yang melanda Terengganu sejak semalam, menyebabkan empat daerah di negeri ini kembali dilanda banjir. 

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Terengganu, 795 mangsa banjir dipindahkan setakat jam 12.00 tengah hari tadi.

Ia membabitkan 207 keluarga dengan 21 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka. Daerah Besut paling ramai dipindahkan iaitu 504 mangsa, yang kini menumpang teduh di tujuh PPS.

Diikuti Daerah Hulu Terengganu 135 mangsa, membabitkan 40 keluarga yang kini menumpang teduh di lapan PPS, daerah Setiu membabitkan 113 mangsa dengan lima PPS dibuka.

Manakala daerah Marang pula menjejaskan 43 mangsa dengan satu PPS dibuka. Paras air sungai di beberapa daerah terutama di Besut, Hulu Terengganu dan Setiu menunjukkan trend menaik.

Pihak berkuasa menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko supaya berwaspada dengan amaran berpindah ke tempat selamat jika diarahkan berbuat demikian.

 

 

 

 

Situasi banjir di Kelantan, Terengganu kian buruk, Perak kembali bah

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Kelantan dan Terengganu semakin buruk dengan pertambahan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini berbanding malam tadi.

Jumlah mangsa di Johor pula kekal pagi ini manakala Perak kembali dilanda banjir. Di KELANTAN, sebanyak 3,110 mangsa daripada 938 keluarga dipindahkan ke 51 PPS di sembilan jajahan setakat 9.30 pagi ini, berbanding 250 orang daripada 36 keluarga malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sembilan jajahan terlibat ialah Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Puteh, Jeli, Machang dan Tumpat.

Mengikut portal publicinfobanjir.water.gov.my, enam sungai di negeri itu, iaitu Sungai Golok di Pasir Mas; Sungai Melor di Jambatan Melor, Bachok; Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli; Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang; Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai; dan Sungai Semerak, Pasir Puteh melepasi paras bahaya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati beberapa jalan utama di Kota Bharu dilanda banjir kilat pagi ini susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi, menyebabkan limpahan sungai berdekatan sehingga menyukarkan kenderaan melalui kawasan terbabit.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 97 orang setakat 8 pagi ini berbanding 41 orang yang direkodkan malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan 56 mangsa daripada 22 keluarga ditempatkan di lima PPS, iaitu Dewan Terbuka Kampung Belaoh, Masjid Kayu Ulul Albab, Masjid Laklok, Balai Raya Beris Pak Abu dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tenang di daerah Besut.

Di daerah Marang, kekal dengan 41 mangsa daripada 10 keluarga yang berlindung di PPS SK Rawai.

Semakan di portal InfoBanjir pula mendapati paras air sungai di lima stesen melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Setiu di Kampung Bukit, Setiu; Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut; Sungai Besut di Kampung La, Besut; Sungai Telemong di Kuala Ping (F1) Hulu Terengganu; dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman.

Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan memberitahu jumlah mangsa banjir kekal 28 orang daripada lapan keluarga yang kesemuanya dari Kampung Seberang Batu Badak di Segamat setakat 9 pagi ini, yang ditempatkan di PPS Balai Raya Batu Badak.

“Daerah Johor Bahru, Segamat, Batu Pahat dan Kulai diramalkan mendung hari ini manakala Muar, Pontian, Kluang, Kota Tinggi dan Tangkak cerah serta Mersing pula dijangka hujan. Sungai Paya Dato, Mersing mencatatkan paras amaran 1.83 meter,” katanya.

Sementara itu, PERAK kembali dilanda banjir apabila satu PPS dibuka di SK Haji Parit Aman di daerah Kerian, malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) menerusi kenyataan menyatakan 20 mangsa melibatkan tujuh keluarga dari Kampung Parit Ali Kalang dan Kampung Parit Air Itam 2 berlindung di PPS itu setakat 8 pagi ini.

Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan ribut di kesemua daerah pada sebelah petang ini, kecuali hujan di Hulu Perak.

Persekolahan tergendala akibat banjir, murid sekitar Kota Bharu, Pasir Mas pulang awal

KOTA BHARU: Hujan berterusan sejak semalam, sehingga sembilan daerah di negeri ini dilanda banjir, menyebabkan proses persekolahan hari ini, tergendala.

Tinjauan di beberapa sekolah di Kota Bharu dan Pasir Mas, terutama membabitkan sekolah kebangsaan, mendapati pihak sekolah terpaksa meminta ibu bapa mengambil anak masing-masing lebih awal iaitu jam 11 pagi.

Ia berikutan ramai guru dikatakan tidak dapat hadir ke sekolah disebabkan kediaman masing-masing dilanda banjir selain ada kawasan yang terkepung banjir.

Sesi persekolahan hari ini, sepatutnya berakhir jam 1.15 tengah hari, namun pihak sekolah terpaksa memberi pelepasan kepada murid untuk pulang lebih awal.

Hafizah Ismail, 40, berkata, dia menghantar anaknya ke sekolah di sekitar Kota Bharu jam 7.30 pagi, namun beberapa jam kemudian, pihak sekolah memintanya menjemput anak kerana murid dibenarkan pulang lebih awal.

“Pihak sekolah memaklumkan, ramai guru tersekat akibat banjir pagi ini, disebabkan hujan masih berterusan,” katanya.

Setakat jam 10.30 pagi ini, 3,556 mangsa banjir dipindahkan ke 57 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah.

Amaran hujan berterusan tahap bahaya di dua negeri

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di beberapa daerah di Terengganu dan Pahang sehingga Jumaat ini.

Metmalaysia dalam kenyataan menerusi platform X 1 tengah hari semalam, memaklumkan di Pahang, lima daerah diletakkan dalam zon merah atau bahaya iaitu Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Di Terengganu, daerah yang dijangka terjejas susulan taburan hujan sangat lebat dan berterusan adalah Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Selain itu, amaran cuaca buruk tahap jingga iaitu hujan lebat berterusan turut dikeluarkan di Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Johor.

Daerah dijangka berdepan cuaca tahap buruk membabitkan Padang Terap, Sik dan Baling di Kedah; selain Perak (Hulu Perak); Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu) serta Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Temerloh dan Bera).

Amaran tahap kuning atau hujan berterusan turut dikeluarkan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor dan Sabah.

Metmalaysia turut mengeluarkan infografik angin kencang dan laut bergelora membabitkan beberapa kawasan perairan negara setakat jam 1 tengah hari semalam sehingga 30 November ini.

Amaran bagi kategori pertama dikeluarkan membabitkan angin kencang berkelajuan 40 kilometer sejam (km/j) hingga 50 km/j, dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

Situasi ini dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Barat Daya Samui, Selatan Bunguran, Tenggara Reef North, Reef South, Selatan Tioman, Labuan dan Palawan.

Selain itu, amaran tahap dua iaitu angin berkelajuan 50 hingga 60km/j dengan ketinggian ombak 3.5 hingga 4.5 meter (m) dijangka membabitkan Terengganu, Kelantan, Tenggara Samui, Utara Tioman, Utara Bunguran, Timur laut dan barat daya Reef North serta Layanglayang.

Bagi amaran kategori ketiga iaitu angin berkelajuan lebih 60km/j dan ketinggian ombak lebih 4.5m dijangka berlaku di Condore dan Barat laut Reef North.

Metmalaysia turut menasihatkan orang ramai supaya kekal waspada dan sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web dan media sosial rasminya, selain aplikasi mobile mycuaca atau talian hotline 1-300-22-1638.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Norazam Khamis, berkata pihaknya akan menggunakan dron bagi memantau dan menilai paras air sungai, terutama di kawasan berisiko banjir di negeri di Pantai Timur.

Beliau berkata, dron itu juga akan diterbangkan di kawasan berisiko dan pedalaman yang terputus hubungan sekiranya berlaku banjir besar.

“Kita akan menggerakkan unit dron untuk membantu negeri membuat pemantauan melalui darat jika hujan berterusan dan pemantauan itu lebih sesuai menggunakan dron.

“Pada asasnya, kita akan menggerakkan unit dron Bahagian Udara (ibu pejabat) dan dron yang ada di negeri untuk sama-sama buat pemantauan banjir, terutama di kawasan pedalaman atau berhampiran sungai dan kawasan yang rendah

serta mudah dinaiki air,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang, semalam.

 

39 pesawah rugi RM1 juta

Selain itu, seramai 39 pesawah dari Kampung Luar dan Kampung Tersang, di Rantau Panjang, Kelantan, menanggung kerugian hampir RM1 juta selepas sawah padi seluas 121 hektar ditenggelami banjir sejak minggu lalu.

Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan Kampung Luar dan Kampung Tersang, Azli Jaafar, berkata keseluruhan padi berkenaan sudah masak dan sepatutnya dalam fasa penuaian.

Beliau berkata, padi biasanya akan rosak selepas ditenggelami air selama tiga atau empat hari, sekali gus mensia-siakan usaha pesawah yang sudah menyemai benih sejak empat bulan lalu.

“Sebenarnya kami mula menyemai agak lewat susulan banjir fasa lalu yang pulih pada Februari. Kami menjangkakan sempat untuk proses menuai sebelum musim tengkujuh tiba, tetapi jangkaan meleset apabila bah melanda lebih awal.

“Tambahan pula, pembinaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang mana berdekatan dengan kawasan ini turut menyebabkan air naik dengan cepat berbanding biasa,” katanya ketika ditemui di Kampung Luar, Gual Periok, di sini, semalam.

Azli yang sudah lebih 20 tahun bekerja sebagai pesawah berharap kerajaan dan pihak bertanggungjawab dapat membantu mereka demi kelangsungan untuk meneruskan tanaman baharu pada musim akan datang.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search