PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Amaran hujan berterusan tahap bahaya di dua negeri

Amaran hujan berterusan tahap bahaya di dua negeri

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di beberapa daerah di Terengganu dan Pahang sehingga Jumaat ini.

Metmalaysia dalam kenyataan menerusi platform X 1 tengah hari semalam, memaklumkan di Pahang, lima daerah diletakkan dalam zon merah atau bahaya iaitu Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Di Terengganu, daerah yang dijangka terjejas susulan taburan hujan sangat lebat dan berterusan adalah Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Selain itu, amaran cuaca buruk tahap jingga iaitu hujan lebat berterusan turut dikeluarkan di Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Johor.

Daerah dijangka berdepan cuaca tahap buruk membabitkan Padang Terap, Sik dan Baling di Kedah; selain Perak (Hulu Perak); Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu) serta Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Temerloh dan Bera).

Amaran tahap kuning atau hujan berterusan turut dikeluarkan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor dan Sabah.

Metmalaysia turut mengeluarkan infografik angin kencang dan laut bergelora membabitkan beberapa kawasan perairan negara setakat jam 1 tengah hari semalam sehingga 30 November ini.

Amaran bagi kategori pertama dikeluarkan membabitkan angin kencang berkelajuan 40 kilometer sejam (km/j) hingga 50 km/j, dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

Situasi ini dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Barat Daya Samui, Selatan Bunguran, Tenggara Reef North, Reef South, Selatan Tioman, Labuan dan Palawan.

Selain itu, amaran tahap dua iaitu angin berkelajuan 50 hingga 60km/j dengan ketinggian ombak 3.5 hingga 4.5 meter (m) dijangka membabitkan Terengganu, Kelantan, Tenggara Samui, Utara Tioman, Utara Bunguran, Timur laut dan barat daya Reef North serta Layanglayang.

Bagi amaran kategori ketiga iaitu angin berkelajuan lebih 60km/j dan ketinggian ombak lebih 4.5m dijangka berlaku di Condore dan Barat laut Reef North.

Metmalaysia turut menasihatkan orang ramai supaya kekal waspada dan sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web dan media sosial rasminya, selain aplikasi mobile mycuaca atau talian hotline 1-300-22-1638.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Norazam Khamis, berkata pihaknya akan menggunakan dron bagi memantau dan menilai paras air sungai, terutama di kawasan berisiko banjir di negeri di Pantai Timur.

Beliau berkata, dron itu juga akan diterbangkan di kawasan berisiko dan pedalaman yang terputus hubungan sekiranya berlaku banjir besar.

“Kita akan menggerakkan unit dron untuk membantu negeri membuat pemantauan melalui darat jika hujan berterusan dan pemantauan itu lebih sesuai menggunakan dron.

“Pada asasnya, kita akan menggerakkan unit dron Bahagian Udara (ibu pejabat) dan dron yang ada di negeri untuk sama-sama buat pemantauan banjir, terutama di kawasan pedalaman atau berhampiran sungai dan kawasan yang rendah

serta mudah dinaiki air,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang, semalam.

 

39 pesawah rugi RM1 juta

Selain itu, seramai 39 pesawah dari Kampung Luar dan Kampung Tersang, di Rantau Panjang, Kelantan, menanggung kerugian hampir RM1 juta selepas sawah padi seluas 121 hektar ditenggelami banjir sejak minggu lalu.

Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan Kampung Luar dan Kampung Tersang, Azli Jaafar, berkata keseluruhan padi berkenaan sudah masak dan sepatutnya dalam fasa penuaian.

Beliau berkata, padi biasanya akan rosak selepas ditenggelami air selama tiga atau empat hari, sekali gus mensia-siakan usaha pesawah yang sudah menyemai benih sejak empat bulan lalu.

“Sebenarnya kami mula menyemai agak lewat susulan banjir fasa lalu yang pulih pada Februari. Kami menjangkakan sempat untuk proses menuai sebelum musim tengkujuh tiba, tetapi jangkaan meleset apabila bah melanda lebih awal.

“Tambahan pula, pembinaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang mana berdekatan dengan kawasan ini turut menyebabkan air naik dengan cepat berbanding biasa,” katanya ketika ditemui di Kampung Luar, Gual Periok, di sini, semalam.

Azli yang sudah lebih 20 tahun bekerja sebagai pesawah berharap kerajaan dan pihak bertanggungjawab dapat membantu mereka demi kelangsungan untuk meneruskan tanaman baharu pada musim akan datang.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search