Banjir: 6 sungai di Kelantan lepas bacaan paras bahaya
- Admin UKK
- Berita
Kota Bharu: Enam sungai di Kelantan melepasi bacaan paras bahaya sehingga 11 pagi ini. Ia membabitkan sungai di beberapa daerah iaitu Bachok, Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Machang.
Berdasarkan publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai berkenaan adalah Sungai Lanas di Jeli, Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Melor di Bachok, Sungai Semerak di Pasir Puteh, Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang dan Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai.
Satu sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai, manakala enam sungai melepasi paras berjaga-jaga. Enam sungai berkenaan adalah Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah; Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat; Sungai Buaya di Pasir Puteh; Sungai Galas di Gua Musang; Sungai Kelantan di Kusial Baru dan Sungai Galas di Chegar Lapan, Kuala Krai.