PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Pelajar madrasah berlindung di dewan makan ketika banjir

Kuala Berang: Hujan berterusan sejak kelmarin mengakibatkan banjir sedalam 1.5 hingga dua meter (m) di perkarangan Madrasah Addinniah Azzakiah (MAA) Kampung Lubuk Periuk, dekat sini.

Pengasasnya, Zaki Masur, 48, berkata, air mula memenuhi perkarangan madrasah itu kira-kira 10 pagi, sebelum semua pelajar melakukan persiapan untuk berpindah.

Zaki berkata, berikutan kejadian itu, 50 pelajar berusia antara 13 hingga 70 tahun dipindahkan ke sebuah bangunan tinggi di madrasah berkenaan.

Menurutnya, hujan lebat sejak kelmarin mengakibatkan berlakunya limpahan air Sungai Peneh, yang hampir memasuki 50 pondok dihuni pelajar dan tenaga pengajar madrasah.

"Alhamdulillah, semua pelajar akan diarahkan berpindah sekiranya berlaku banjir dan mereka ditempatkan di tingkat atas bangunan dewan makan.

"Apabila mereka berlindung di dewan makan, ia memudahkan pihak pengurusan untuk menyediakan hidangan kepada semua pelajar kerana kesemua peralatan dan bahan memasak sudah tersedia," katanya.

Menurutnya, sejak lima tahun kebelakangan ini, banjir semakin kerap berikutan Sungai Peneh yang terletak hanya dua m daripada madrasah, semakin cetek.

Katanya, berikutan sering dilanda banjir, pihaknya sentiasa membuat persiapan awal bagi menghadapi bencana itu terutamanya dalam aspek keselamatan pelajar.

Tambahnya, langkah berpindah awal sekiranya banjir akan menjimatkan masa serta tenaga berbanding berpindah selepas paras air meningkat tinggi.

"Apabila berlaku banjir, biasanya kayu-kayu yang digunakan untuk pembinaan pondok-pondok tambahan akan hanyut dan itu yang menjadi sedikit kerugian buat kami.

"Bagaimanapun, bukan semua yang dihanyutkan air kerana sebahagian kayu sudah dialihkan ke tempat yang lebih tinggi dan selamat bagi mengelak kerugian yang lebih besar," katanya.

Dinding kolam tadahan pecah, kawasan perumahan Saujana Alam banjir

SUNGAI BULOH: Dinding sebuah kolam tadahan berhampiran Taman Seri Alam, Saujana Alam pecah pada Ahad, menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan tersebut.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau berkata, Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Saujana Utama menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 5.15 petang.

“Susulan laporan itu, lima anggota telah dihantar ke tempat kejadian. Semasa tiba, paras air di kawasan terjejas diukur pada 30.5cm.
 
“Usaha pemindahan penduduk terjejas segera dilakukan dengan kerjasama PBS Saujana Utama,” katanya dalam satu kenyataan.
 
Difahamkan, ini merupakan kali kedua kejadian seumpama itu berlaku sejak 2015. Beberapa video yang tular di media sosial menunjukkan jalan di kawasan perumahan itu ditenggelami air.
 
 

Banjir: 882 mangsa di Kelantan pagi ini

Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 882 mangsa pagi ini berbanding 651 orang, malam tadi.

Kesemua mangsa membabitkan 267 keluarga itu ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara (PPS).

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga pagi ini, tiga daerah dilanda banjir iaitu Machang, Kuala Krai dan Tanah Merah.

Tanah Merah merekodkan mangsa paling ramai iaitu 633 mangsa membabitkan 208 keluarga yang berada di 13 PPS.

 

Kelantan, Terengganu catat peningkatan mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Kelantan dan Terengganu semakin buruk dengan peningkatan jumlah mangsa yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi.

Di Kelantan, berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak 19 PPS diaktifkan di Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai.

Pemindahan ke PPS itu melibatkan 882 mangsa daripada 267 keluarga.

Sementara itu, di Terengganu jumlah mangsa terjejas meningkat dengan ketara kepada 659 mangsa daripada 178 keluarga berbanding 112 orang daripada 37 keluarga malam tadi.

17 PPS dibuka melibatkan tiga daerah, Besut, Hulu Terengganu, dan Kemaman. Selain itu, satu PPS dibuka di Semporna, Sabah menempatkan 71 mangsa daripada 12 keluarga.

 

"Luka" lama belum sembuh, Kelantan dilanda bah sekali lagi

KOTA BHARU: Baru saja memulakan langkah untuk membina semula kehidupan, penduduk di Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang kini terpaksa berhadapan dengan banjir yang melanda sekali lagi.

Usaha menyembuhkan "luka" lama akibat gelombang pertama dan kedua bencana itu baru-baru ini masih belum pulih, episod duka itu berulang lagi apabila ketiga-tiga daerah berkenaan dilanda bah hari ini dan "menghanyutkan" segala jerih perih mereka selama ini.

Suhardi Aziz, 50, dari Kampung Batu 9, Batang Merbau di Tanah Merah berkata dia berdepan dengan banjir buat kali ketiga tahun ini dan air yang naik begitu pantas menyebabkan dia hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting.

"Saya hanya mampu termenung kerana barang-barang di rumah yang terjejas banjir sebelum ini masih belum pulih sepenuhnya, kini air memasuki rumah lagi. Kesan selut banjir lepas juga masih berbekas, tiada gunanya saya membersihkan kotoran dan lumpur apabila dilanda bah semula," katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Seorang mangsa dari Kampung Tengah, Machang, Yaseer Abdullah, 45, berkata rumahnya dinaiki air sejak 9 pagi tadi selepas hujan lebat tidak henti-henti mencurah.

"Setiap kali hujan lebat, hati saya tidak tenang, baru nak bangkit semula, air naik kembali pada paras pinggang. Semua usaha membersihkan rumah habis begitu saja.

"Barang-barang yang saya cuba selamatkan dulu juga tenggelam semula, tetapi saya tidak akan berputus asa dan terus 'berjuang'," katanya.

Penduduk di Kampung Keroh, Kuala Krai, Nik Sofia Nuranis Nik Ismail, 27, berkata rumahnya dinaiki air setinggi paras lutut dan berjaya memindahkan beberapa barang ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkan ia hanyut seperti banjir yang berlaku baru-baru ini.

"Hujan lebat sejak malam tadi membuatkan saya sekeluarga mengemas barang, namun ada juga barang yang rosak dan hanyut," katanya yang berdepan banjir dua hingga empat kali setahun.

Sementara itu, hujan lebat sejak pagi tadi turut menyebabkan berlaku runtuhan tanah di lereng bukit yang menghempap bahagian hadapan sebuah rumah di Kampung Nganga, Kuala Krai, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan , berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dan mendapati tanah runtuh telah menghempap bahagian hadapan rumah, pagar dan garaj kenderaan pada 1.40 tengah hari tadi.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search