'Tak ada apa yang tinggal, harap belas ihsan orang'
- Admin UKK
- Berita
SUBANG JAYA - Kehidupan kebanyakan ketua keluarga mangsa insiden kebakaran paip gas Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu berubah 360 darjah dalam sekelip mata.
Dari seorang ayah yang berusaha mencari rezeki setiap hari, kini kebanyakan mereka terpaksa bergantung pada ihsan semua pihak lebih-lebih lagi yang bekerja sendiri.
“Bila anak saya merengek nak balik rumah, hati saya hancur. Dia tak faham rumah sewa mereka sudah tak ada. Saya hanya mampu peluk dia erat-erat.
"Nanti ayah bina balik, sayang... Walaupun saya sendiri tak tahu dari mana nak mula,”ujarnya.
Ahmad ditemui pemberita ketika lawatan isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad ke PPS Masjid Putra Heights, Ahmad meluahkan rasa buntu memikirkan nasib keluarga, terutama apabila tidak lagi mampu menjana pendapatan.
Bukan hanya tempat tinggal, malah dokumen penting, pakaian, barangan dalam rumah sewanya yang bertahun dikumpulkan, semuanya musnah sekelip mata.
“Saya kerja sendiri, pendapatan harian. Bila berlaku macam ni, semuanya terhenti. Kalau saya tak kerja, siapa nak tanggung anak-anak, isteri saya yang baru habis berpantang," soalnya.
Ahmad memberitahu, isterinya, Syamsidah Isa, 39, kini menumpang sementara di rumah ahli keluarga yang tidak terjejas dalam kebakaran itu selepas rumah sewa mereka itu musnah.
“Saya mohon pada sesiapa yang sudi bantu. Bukan untuk saya sahaja, tapi untuk anak-anak mangsa. Mereka masih kecil, mereka perlukan tempat untuk terus membesar dengan selamat dan selesa," ujarnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui saluran rasmi pihak berkuasa atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sedang membantu mangsa kebakaran paip gas Putra Heights.
'Luka mereka masih baru' - Masdiana
SUBANG JAYA - Suasana di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights masih diselubungi kesayuan.
Wajah-wajah letih, mata yang sembab, dan anak-anak yang diam membisu menggambarkan luka yang masih segar dalam jiwa mangsa kebakaran paip gas khususnya mangsa yang menetap di Kampung Kuala Sungai Baru.
“Mereka masih bersedih, masih trauma,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad, isteri kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika menziarahi mangsa-mangsa terlibat di PPS Masjid Putra Heights, di sini pada Rabu.
Lawatan Masdiana bukan sekadar lawatan rasmi, tetapi sarat dengan sentuhan kemanusiaan.
Dalam lawatan itu, Masdiana sempat duduk bersama ibu-ibu yang hilang rumah dan harta benda, mendengar luahan mereka yang terkadang hanya mampu keluar dalam bentuk air mata.
Masdiana turut berkongsi bahawa kehadirannya adalah untuk memberikan kekuatan dan keyakinan bahawa mereka tidak bersendirian.
“Saya datang untuk berkongsi cerita dan memberikan semangat. Mereka perlukan sokongan bukan sahaja dari segi bantuan kewangan atau barangan, tetapi juga dari sudut emosi dan moral.
"Luka mereka bukan hanya pada apa yang dilihat, tetapi juga yang tersembunyi dalam hati,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan ramai mangsa meluahkan rasa syukur atas bantuan segera yang disampaikan, walaupun di sebalik senyuman yang diberikan, masih terpancar kepayahan untuk menerima kenyataan.
“Kebanyakan mereka kata, bantuan yang diterima cukup untuk tampung kehidupan dalam tempoh enam bulan ini. Tapi apa yang lebih penting sekarang ialah bagaimana mereka boleh mulakan semula hidup mereka," ujarnya.
Bagi Masdiana, kunjungan itu membuka mata tentang kekuatan luar biasa yang wujud dalam diri mangsa terutamanya golongan ibu dan bapa yang cuba menyembunyikan kesedihan di hadapan anak-anak, supaya mereka tidak terlalu takut dan keliru.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak agar terus tampil memberikan sokongan berterusan kepada mangsa, bukan hanya pada hari ini, tetapi sepanjang proses pemulihan mereka.
“Jangan biarkan mereka pulih sendirian. Ini masa kita tunjukkan solidariti sebagai rakyat yang prihatin, ” tambahnya.