PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Ketiadaan pintu air punca Kampung Dew dilanda bah

BAGAN SERAI: Ketiadaan pintu air berhampiran parit ladang sawit di Ban Tali Air 463 dipercayai antara punca utama banjir yang menenggelamkan beberapa kawasan penempatan di Kampung Dew, Semanggol di sini.

Penduduk, Ahmad Abdul Hamid, 68, berkata, kawasan itu sebelum ini tidak pernah dilanda bah, meskipun hujan lebat dan berlaku limpahan air dari Sungai Sepetang.

“Saya selalu memancing di belakang kampung ini. Bila tengok air naik sampai ke kawasan rumah, saya tinjau kawasan perparitan berhampiran.

“Saya dapati selepas pembinaan jambatan baharu di Parit Ban Tali Air 463, pintu air lama tidak dibina semula. Akibatnya, air yang masuk ke sistem perparitan tidak dapat dikawal dan terus melimpah ke kawasan rumah penduduk,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurut Ahmad, selain pintu air, ketiadaan ban tambatan yang tinggi di kawasan parit ladang sawit turut menyebabkan air deras mengalir masuk ke penempatan penduduk apabila hujan berterusan, termasuk berlakunya limpahan air Sungai Sepetang.

“Air tidak pernah masuk ke kawasan rumah sebelum ini kerana adanya pintu air. Tetapi bila bina jambatan tanpa bina semula pintu air, air terus masuk dengan laju ke kawasan kampung,” katanya.

Ahmad berharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat menjalankan tinjauan segera di lokasi bagi menilai semula struktur saliran dan mengambil langkah penambahbaikan bagi mencegah kejadian sama berulang.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Faizal Zakaria, 48, berkata, air memasuki kawasan rumahnya secara perlahan sebelum meningkat dengan cepat dalam tempoh singkat.

“Mula-mula air masuk sikit di halaman, tapi makin lama makin dalam. Kami sekeluarga hanya sempat selamatkan barang-barang penting sebelum berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Dew,” katanya.

Tinjauan di Parit Ban Tali Air 463 mendapati, ketiadaan pintu air di kawasan simpang tiga saluran parit menyebabkan limpahan air tidak dapat dialirkan keluar dengan baik, sekali gus mengakibatkan kawasan penempatan berhampiran ditenggelami air. – UTUSAN

1,157 mangsa banjir masih berlindung di 12 PPS

IPOH – Mangsa banjir di negeri ini terus merekodkan penurunan apabila seramai 1,157 penduduk daripada 367 keluarga masih berlindung di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Perak berkata, Manjung menempatkan paling ramai mangsa di lima buah PPS di daerah berkenaan iaitu 510 penduduk daripada 172 buah keluarga.

“Larut, Matang dan Selama pula merekodkan seramai 361 mangsa (113 keluarga) yang berlindung di tiga PPS, manakala di Kerian pula, terdapat 148 mangsa (46 keluarga) yang ditempatkan di dua PPS.

“Daerah Perak Tengah pula mempunyai 110 mangsa daripada 31 buah keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS, dan seramai 28 mangsa (lima keluarga) di Hilir Perak kini berlindung di sebuah PPS di sana,” katanya di sini hari ini.

Menurut jurucakap itu, PPS Masjid Ali Rouse Ulu Sepetang di Larut, Matang dan Selama menempatkan paling ramai mangsa banjir iaitu 58 orang penduduk dari Kg. Ulu Sepetang. – KOSMO! ONLINE

Hujan berterusan, 180 mangsa terjejas banjir di Perak

LUMUT – Seramai 180 mangsa dari 44 keluarga di Manjung terjejas dalam kejadian banjir ekoran hujan berterusan hari ini.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, kesemua mangsa dari Kampung Sungai Batu dan Kampung Nelayan, Pantai Remis itu ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sg. Batu.

Katanya, PPS Dewan Orang Ramai Simpang Halt di Larut, Matang dan Selama serta PPS SAR Padang Serai, Pengkalan Baru dibuka bagi menempatkan mangsa banjir.

“Kedua-duanya (PPS) masih dalam proses pemindahan mangsa banjir,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tujuh sungai di Kedah melebihi paras bahaya

ALOR SETAR – Tujuh sungai di daerah Pendang, Yan, Sik, Baling dan Bandar Baharu mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya setakat pukul 8 malam tadi.

Mengikut laman web info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran, sungai itu adalah Sungai Pendang di Pekan Pendang, Pendang dan Sungai Gurun di Kampung Perupok, Yan.

Di Sik, dua sungai terlibat iaitu Sungai Chapar di Sekolah Kebangsaan Sri Ampang (F2) dan Sungai Sok di Gulau (F2). Tiga lagi sungai di Baling iaitu Sungai Ketil, Kampung Bongor (F2) dan Sungai Sedim, Kampung Sedim serta Sungai Serdang di Kampung Majidee Tengah, Bandar Baharu.

Tahap nilai ambang aras bahaya menunjukkan paras air sungai mula melimpah dan boleh menyebabkan banjir dengan pemindahan perlu dilaksanakan sekiranya perlu.

Sementara itu, beberapa buah rumah dan jalan di Sik dilanda banjir kilat. – KOSMO! ONLINE

Daerah Manjung, Larut, Matang dan Selama dilanda banjir

IPOH: Daerah Larut, Matang & Selama (LMS) serta Manjung dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan hari ini, dengan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat jam 10 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan lapan PPS dibuka membabitkan enam PPS di daerah LMS manakala dua lagi PPS di daerah Manjung.

Bagaimanapun, ia memaklumkan setakat ini hanya 180 orang daripada 44 keluarga ditempatkan di PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sg Batu dekat Pantai Remis bagi daerah Manjung, sementara tujuh PPS selebihnya masih dalam proses pemindahan mangsa.

"Di Manjung juga terdapat satu lagi PPS dibuka di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai, Pengkalan Baru manakala di daerah LMS, enam PPS dibuka setakat jam 10 malam ini.

"Namun, setakat ini belum terdapat angka dicatatkan bagi mangsa di enam PPS di daerah LMS serta satu di Manjung iaitu PPS SAR Padang Serai," katanya.

Menurutnya, PPS di SK Sg Batu menempatkan 180 mangsa banjir membabitkan 44 keluarga dari Kampung Sg Batu, Kampung Nelayan, serta Kampung Parit Marikan.

DI LMS, PPS dibuka di Dewan Orang Ramai (DOR) Simpang Halt, Taiping; DOR Sungai Batu, Trong; Dewan Perdana Trong; Dewan Serbaguna Masjid Al-Wusta Batu 8; Masjid Ali Rouse; dan SK Simpang.

"Bagaimanapun, setakat ini jumlah mangsa dan keluarga di enam PPS di daerah LMS berkenaan belum ada kerana masih dalam proses pemindahan," katanya.

Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati banyak kawasan di Taiping termasuk membabitkan kawasan perumahan di bandar turut dilanda banjir.

Facebook (FB) Pusat Khidmat ADUN Selama memuatnaik hantaran menyatakan banjir kilat berlaku antaranya di Changkat Larah, Taman Kota Wira, Taman Lela 1, Taman Larah Damai, Taiping.

Video rakaman menunjukkan beberapa individu memekik meminta bantuan susulan keluarga mereka sedang terperangkap banjir yang menghampiri paras satu meter di kediaman jenis teres, dipercayai dalam kawasan daerah LMS, tular di Facebook.

Turut tular adalah gambar bayi yang dikendong seorang lelaki yang sedang terperangkap banjir dipercayai di rumahnya.

 
 
 
 
 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search