PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

‘Scammer’ guna gambar rumah mangsa banjir raih simpati

BALING: Seorang mangsa banjir terkilan apabila gambar rumahnya yang ditenggelami air baru-baru ini disalahgunakan oleh individu tidak bertanggungjawab di media sosial bagi meraih simpati orang ramai.

Nor Amirah Abdul Muin, 39, berkata, dia dimaklumkan jirannya mengenai satu hantaran di Facebook yang memaparkan gambar rumahnya digenangi air bersama kapsyen seolah-olah meminta bantuan kewangan.

“Individu itu tidak tulis secara terang meminta derma, tetapi ayat yang digunakan nampak seperti hendak raih simpati. Dalam ruangan komen pula, apabila ditanya orang, dia mengaku kekurangan duit dan lapar,” katanya ketika ditemui di Kampung Haji Abas, semalam.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan ramai kenalan yang mengenali rumah berkenaan menghubunginya menerusi WhatsApp untuk bertanya sama ada dia benar-benar memerlukan bantuan.

“Ramai sangat yang tanya sampai saya rasa malu, sebab walaupun rumah kami berbelas kali dilanda banjir, kami tak pernah minta sumbangan daripada sesiapa pun,” katanya.

Katanya, individu terbabit menggunakan akaun palsu dan turut menyebarkan hantaran itu ke beberapa kumpulan Facebook berkaitan bantuan banjir.

 

“Saya tak kenal dia, cuma tahu abangnya orang kampung sebelah. Bila diminta padam hantaran itu, dia pula balas komen dengan sindiran dan provokasi, siap tulis nak ‘makan sup kaki saya’. Memang melampau, saya tak maafkan,” katanya.

Nor Amirah berkata, dia akan membuat laporan polis bagi mengelak kejadian sama berulang serta memberi pengajaran kepada pihak tidak bertanggungjawab yang mempermainkan nasib mangsa bencana. – UTUSAN




 
 
 
 
 

Mossy Forest ditutup sementara akibat tanah runtuh

KUANTAN: Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands menutup sementara Taman Eko Rimba Mossy Forest, Cameron Highlands berikutan kejadian tanah runtuh, semalam.

Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Nasrul Akmal Amaludin, berkata tanah runtuh itu menyebabkan laluan pejalan kaki tidak selamat untuk dilalui.

Katanya, tinjauan awal mendapati kira-kira 100 meter tanah cerun runtuh di laluan pejalan kaki akibat hujan berlebihan sejak beberapa hari lalu.

"Pejabat Hutan Cameron Highlands mengambil keputusan menutup sementara laluan pejalan kaki di Taman Eko Rimba Mossy Forest bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Kita turut membatalkan semua aktiviti di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Gangan serta merta sehingga tarikh akan dimaklumkan semula.

 

"Tanah runtuh menyebabkan laluan pejalan kaki kini seakan tergantung, usaha membaiki kerosakan berkenaan mengambil masa yang panjang berikutan hujan yang berlaku tidak menentu menjalang Monson Timur Laut (MTL) bulan depan," katanya.

Nasrul Akmal memaklumkan pihaknya sudah menempatkan kakitangan mengawal kawasan berkenaan bagi memastikan tidak ada individu bertindak menceroboh laluan berjalan kaki di kawasan berkenaan.

Katanya, kemungkinan tanah runtuh akan berlaku lagi jika hujan berterusan berlaku di daerah berkenaan.

Sementara itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) turut menutup sementara beberapa taman rimba eko dan taman negeri di Raub; Rompin; Bentong; Lipis dan Kuantan.

Orang ramai yang ingin berkunjung ke taman rimba eko dan taman negeri perlu menghubungi pejabat hutan daerah bagi mendapatkan maklumat.

Tiga sekolah di Kedah jalani PdPR

ALOR SETAR – Tiga sekolah di Kedah yang terkesan akibat kejadian banjir melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pada hari ini.

Menurut Jabatan Pendidikan negeri, sekolah terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubor Panjang serta SK Seri Jemerli.

Katanya, SK dan SMK Kubor Panjang merupakan sekolah yang terkesan banjir, manakala SK Seri Jemerli dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS). “PdPR dilaksanakan berikutan laluan ke sekolah terputus,” katanya hari ini.

Tambahnya, semua sekolah beroperasi seperti biasa pada esok dengan PPS di SK Seri Jemerli ditutup. – KOSMO! ONLINE

Tinggal 1,367 mangsa banjir di Perak

IPOH – Mangsa banjir di negeri ini mencatat penurunan apabila hanya 1,367 penduduk daripada 442 buah keluarga yang berlindung di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) pada pukul 4 petang tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, kesemua mangsa banjir itu melibatkan penduduk dari lima buah daerah dengan Larut, Matang dan Selama merekodkan 555 mangsa (175 keluarga).

“Kesemua mereka berlindung di 19 buah PPS, manakala Manjung pula mempunyai 531 orang mangsa (178 keluarga) dengan mereka kini berada di lima buah PPS. “Ia diikuti daerah Kerian yang mempunyai 143 orang mangsa daripada 53 buah keluarga yang berlindung di dua PPS, sementara di Perak Tengah mempunyai 110 mangsa (31 keluarga) dan mereka ditempatkan di sebuah PPS di sana,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap itu berkata, daerah Hilir Perak pula merekodkan 28 orang mangsa daripada lima buah keluarga dan mereka berlindung di sebuah PPS. – KOSMO! ONLINE

Tiga mukim Kota Setar berisiko banjir

ALOR SETAR: Tiga mukim di daerah ini berisiko dilanda banjir ekoran trend peningkatan Sungai Kedah sejak beberapa hari lepas dipercayai limpahan air sungai dari Sik, Baling dan Pendang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Bukhori Mat Sidik berkata, anggota APM sedang memantau sungai-sungai di sekitar Alor Setar yang dijangkakan terlibat. 

“Tiga mukim dijangka terjejas ialah, Langgar di Kampung Inggeris, Anak Bukit (Alor Gunung, Alor Madi, Kampung Alor Senjaya, Kampung Seberang Chegar dan Pantai Johor). Di Titi Gajah pula Kampung Alor Perang, Bohor dan Titi Gajah,” katanya selepas meninjau Sungai Kedah di Kanchut, di sini hari ini. 

Katanya, APM Kedah turut menasihati penduduk di kampung berisiko agar mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah lebih awal bagi mengelak kejadian tidak diingini. 

“Kita tidak mahu kejadian sebelum ini berulang apabila ada penduduk enggan berpindah sehingga menyukarkan pasukan penyelamat,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 10 daripada 19 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ditutup hari ini ekoran cuaca yang semakin baik sepanjang hari.

“Setakat ini sembilan PPS masih beroperasi dengan lima di Kulim, masing-masing satu di Pokok Sena, Pendang, Padang Terap dan Kubang Pasu. Alhamdulillah, keadaan semakin baik. Jika tiada hujan dalam tempoh terdekat, kemungkinan besar beberapa PPS lagi akan ditutup esok,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang berkunjung ke pantai khususnya di Langkawi diingatkan agar mematuhi setiap arahan serta amaran yang dikeluarkan oleh pasukan penyelamat terutama ketika cuaca tidak menentu.

Mohd. Bukhori berkata, amaran bendera merah akan dinaikkan sekiranya keadaan laut berbahaya dan tidak sesuai untuk aktiviti mandi-manda serta sukan air.

“Tiga pantai di Langkawi seperti Cenang, Pelangi dan Tengah berisiko terutama kejadian lemas ketika cuaca tidak menentu seperti laut bergelora. APM akan meletakkan bendera di kawasan ini ketika cuaca buruk,” katanya. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search