Amaran gempa susulan sekuat 8 magnitud di Jepun minggu ini
- Admin UKK
- Berita
SAPPORO: Sekurang-kurangnya 30 orang cedera selepas satu gempa bumi kuat melanda perairan utara Jepun lewat malam Isnin, sekali gus merosakkan jalan raya dan memutuskan bekalan elektrik ketika negara itu berdepan cuaca hampir beku.
Gempa bermagnitud 7.5 yang berlaku pada pukul 11.15 malam waktu tempatan itu pada awalnya diukur sekuat 7.6 sebelum diturunkan oleh Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
JMA turut memberi amaran kemungkinan gegaran susulan dengan kekuatan sama atau lebih besar dijangka berterusan dalam tempoh beberapa hari.
Agensi itu memaklumkan, terdapat peningkatan risiko berlakunya gempa bumi pada tahap 8 magnitud serta kemungkinan tsunami di sepanjang pantai timur laut Jepun dari Chiba, di timur Tokyo, hingga ke Hokkaido sepanjang minggu ini.
Perdana Menteri, Sanae Takaichi mengesahkan jumlah kecederaan mencecah 30 orang di wilayah Aomori selepas gegaran itu turut mencetuskan ombak tsunami kecil setinggi 70 sentimeter.
Penduduk di kawasan terjejas melaporkan gegaran kuat yang memaksa mereka keluar dari rumah dalam keadaan tergesa-gesa.
GEGARAN TERKUAT
Seorang penduduk Hashikami, Daiki Shimohata, 33, berkata gegaran kali ini paling kuat pernah dialaminya dan mengingatkan kepada tragedi besar tsunami 2011.
“Kami terus mendukung anak-anak dan berlari keluar. Gegaran itu berlangsung hampir 20 saat,” katanya kepada AFP.
Penolong pengetua sebuah sekolah menengah awam di Hachinohe, Satoshi Kato memberitahu NHK dia berada di rumah ketika gempa berlaku menyebabkan gelas serta mangkuk jatuh dan pecah di lantai.
Selepas itu, dia memandu ke sekolahnya kerana ia dijadikan pusat pemindahan sementara.
Katanya, sepanjang perjalanan, dia mendapati laluan utama sesak dengan kenderaan, selain orang ramai panik dan melarikan diri.
Di Hokkaido, seorang penduduk dilaporkan cedera parah, menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana Jepun.
Rakaman televisyen menunjukkan rak pasar raya tumbang, jalan merekah serta sebuah kereta terperosok ke dalam lubang akibat kerosakan permukaan tanah.
Turut kelihatan serpihan kaca bertaburan di jalan raya selepas banyak tingkap bangunan pecah akibat gegaran itu.
Pada awalnya beberapa kebakaran dilaporkan namun kerajaan mengesahkan hanya satu kebakaran berlaku di sebuah kediaman.
Lebih 2,700 rumah terputus bekalan elektrik, namun pihak utiliti berkata kebanyakan kawasan sudah menerima semula bekalan menjelang pagi Selasa.
AMARAN TSUNAMI
JMA sebelum itu mengeluarkan amaran tsunami sehingga tiga meter, menyebabkan 28,000 penduduk diarahkan berpindah ke pusat perlindungan sementara.
Namun, amaran tsunami ditarik balik beberapa jam kemudian selepas ombak tertinggi direkodkan hanya mencecah 70 sentimeter.
Perkhidmatan kereta api laju Shinkansen turut digantung di beberapa laluan bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan dilakukan.
Syarikat Tohoku Electric Power memaklumkan tiada kerosakan atau kelainan dikesan di loji tenaga nuklear Higashidori dan Onagawa.
Pihak berkuasa turut mengingatkan penduduk supaya terus berwaspada terhadap kemungkinan gempa lebih kuat sepanjang minggu ini.
