PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kebakaran tanah gambut, Johor laksana kaedah ‘total flooding’, ‘firebreak’

JOHOR BAHRU: Johor akan melaksanakan kaedah ‘total flooding’ dan ‘firebreak’ bagi menangani kebakaran terbuka terutama melibatkan tanah gambut di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah itu bagi memastikan kebakaran tanah gambut di Kluang, Muar dan Kota Tinggi tidak terus melarat.

Katanya, kesemua kos bagi pelaksanaan operasi-operasi memadam kebakaran itu akan ditanggung Tabung Bencana Negeri Johor.

“Bagi memastikan operasi pemadaman lebih berkesan, Kerajaan Negeri mengarahkan pelaksanaan kaedah `total flooding’, pembinaan ‘firebreak’ serta penggunaan pam bertekanan tinggi secara agresif bagi mengelakkan api merebak bawah tanah. 

“Bekalan air tambahan turut digerakkan segera, termasuk pengepaman berterusan dari sumber berhampiran ke sistem parit ladang dan tangki simpanan. 

“Sistem pam perparitan diaktifkan sepenuhnya bagi mengurangkan kebergantungan kepada penghantaran air secara ulang-alik, manakala pembinaan firebreak dipercepatkan sebagai benteng kawalan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Onn Hafiz, kerajaan negeri juga telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan sebagai langkah tambahan.

“Usaha ini bertujuan meningkatkan kelembapan di kawasan terjejas serta menyokong keberkesanan usaha pemadaman kebakaran yang sedang dijalankan pihak berwajib.

“Setakat ini terdapat tiga kawasan utama terlibat iaitu di Bakri Batu 13 dan 14, Muar; Bio-Desaru, Tanjung Balau serta Sungai Linau , Simpang Renggam. Kesemua lokasi dalam keadaan terkawal namun belum dipadam sepenuhnya.

“Ketika ini operasi pemadaman dilaksanakan 24 jam tanpa henti melibatkan lebih anggota daripada Jabatan Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi berkaitan,” katanya. – UTUSAN

Kebakaran hutan di Sungai Kelambu masih aktif

SHAH ALAM: Pasukan bomba memadam kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) dekat Sungai Kelambu di Kuala Langat, seluas kira-kira 15 hektar daripada keseluruhan 23 hektar.

Ketua Zon 5 (KLIA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba II, Mohamad Issmanto Md. Pono berkata, kebakaran sudah dipadam dan berbaki kira-kira 7 hektar.

“Sehingga pukul 10 pagi tadi, Kebakaran masih aktif namun tidak menjejaskan penempatan berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) berdekatan.

“Kerja-kerja kawalan melibatkan lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, kerja kawalan turut dibantu oleh pelbagai agensi lain seperti Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Jabatan Perhutanan Selangor (JPNS) serta Unit Pengurusan Bencana Selangor dengan keseluruhan 41 pegawai dan anggota.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kawasan hutan simpan seluas kira-kira empat hektar berdekatan LRA Sungai Kelambu, terbakar.

Penolong Pengarah JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian tersebut berlaku semalam, namun operasi pemadamannya dilakukan hari ini apabila tiada sumber air dan akses ke lokasi.

Katanya, bomba bomba menerima panggilan pada pukul 12.43 tengah hari semalam dan menggerakkan sepasukan dari BBP Banting ke tempat kejadian. – UTUSAN

Cuaca panas berterusan hingga Selasa depan

PETALING JAYA: Kawasan utara Semenanjung dijangka mengalami cuaca panas dan kurang hujan sehingga Selasa depan, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, risiko ribut petir tempoh singkat masih berpotensi berlaku di beberapa lokasi selain kawasan barat Semenanjung dan beberapa lokasi di Sabah serta Sarawak berpotensi dilanda ribut petir.

Media sebelum ini melaporkan empat daerah di Kedah telah disenaraikan pada Tahap 1 atau berjaga-jaga susulan keadaan cuaca panas berterusan berdasarkan status cuaca terkini yang dikeluarkan.

“Daerah yang terlibat ialah Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu dengan masing-masing merekodkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

“Tahap berjaga-jaga dikeluarkan apabila suhu maksimum harian mencapai paras tersebut secara konsisten dan berpotensi memberi kesan terhadap kesihatan awam serta aktiviti harian.

“Keadaan cuaca panas berterusan boleh meningkatkan risiko dehidrasi dan keletihan haba, khususnya kepada kanak-kanak, warga emas serta individu yang terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh lama,” katanya.

Sehubungan itu, MetMalaysia menasihati orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas melampau serta memastikan pengambilan air mencukupi.

Katanya, orang ramai boleh merujuk maklumat terkini status cuaca panas harian melalui portal rasminya bagi mendapatkan perkembangan semasa dan amaran berkaitan. – UTUSAN

7.6 hektar hutan simpan masih terbakar di Banting

KUALA LANGAT – Seluas 7.69 hektar Hutan Simpan Kuala Langat (HSKL) Sungai Kelambu, Banting di sini, masih terbakar setakat petang ini.

Ketua Zon 5 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamad Issmanto Md. Pono berkata, pihaknya melakukan operasi pemadaman dengan lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Jelasnya, operasi itu turut disertai Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) dan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN).

“Pemeriksaan mendapati keseluruhan kebakaran di kawasan hutan itu melibatkan keluasan 22.66 hektar.

“Namun, seluas 14.97 hektar daripadanya berjaya dipadamkan dan hanya berbaki kira-kira 7.69 hektar setakat ini,” katanya petang ini.

Tambah Mohamad Issmanto, kebakaran ketika ini masih aktif namun tidak menjejaskan penempatan dan loji rawatan air (LRA) berdekatan dengan pemadaman giat dilakukan di sekitar jalan utama di kawasan terlibat.- KOSMO! ONLINE

 
 

Deputy Premier urges stronger fire, disaster preparedness in Bintulu

BINTULU (Feb 4): Residential safety and disaster preparedness must be continuously strengthened to reduce the risk of fires and natural disasters that could result in loss of life and property, said Deputy Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

According to a Sarawak Public Communications Unit (Ukas) report, he emphasised that public awareness of fire safety still requires serious attention, particularly through ongoing education and early preventive measures at the community level.

Dr Sim said most fire incidents are caused by minor negligence, including unsafe use of electrical appliances and improper home wiring.

“Safety at home should never be taken lightly, as small lapses can have major consequences for lives and property,” he said when officiating the ‘Komuniti Prihatin, Kediaman Selamat Bersama Bomba Sarawak 2026’ programme on Tuesday.

He added that basic fire safety knowledge can help the public respond more calmly, systematically and effectively in emergencies.

Dr Sim also cautioned that increased use of electrical appliances and cooking activities, especially during festive seasons, could heighten the risk of fire if not handled properly.

He further stressed the importance of preparedness for natural disasters, particularly flooding during the Northeast Monsoon, which requires heightened readiness at the individual, family and community levels.

Past experiences with major floods, he said, should encourage the public to stay alert to weather warnings, prepare emergency plans and follow authorities’ instructions to minimise the impact of disasters.

Also present at the programme were Tanjong Batu assemblyman Johnny Pang Leong Ming, Sarawak Fire and Rescue Department director Jamri Masran, Bintulu district officer Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bolhan, and Bintulu district police chief Supt Nixon Joshua Ali.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search