Cuaca panas berterusan hingga Selasa depan
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Kawasan utara Semenanjung dijangka mengalami cuaca panas dan kurang hujan sehingga Selasa depan, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, risiko ribut petir tempoh singkat masih berpotensi berlaku di beberapa lokasi selain kawasan barat Semenanjung dan beberapa lokasi di Sabah serta Sarawak berpotensi dilanda ribut petir.
Media sebelum ini melaporkan empat daerah di Kedah telah disenaraikan pada Tahap 1 atau berjaga-jaga susulan keadaan cuaca panas berterusan berdasarkan status cuaca terkini yang dikeluarkan.
“Daerah yang terlibat ialah Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu dengan masing-masing merekodkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
“Tahap berjaga-jaga dikeluarkan apabila suhu maksimum harian mencapai paras tersebut secara konsisten dan berpotensi memberi kesan terhadap kesihatan awam serta aktiviti harian.
“Keadaan cuaca panas berterusan boleh meningkatkan risiko dehidrasi dan keletihan haba, khususnya kepada kanak-kanak, warga emas serta individu yang terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh lama,” katanya.
Sehubungan itu, MetMalaysia menasihati orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas melampau serta memastikan pengambilan air mencukupi.
Katanya, orang ramai boleh merujuk maklumat terkini status cuaca panas harian melalui portal rasminya bagi mendapatkan perkembangan semasa dan amaran berkaitan. – UTUSAN
