Kebakaran tanah gambut, Johor laksana kaedah ‘total flooding’, ‘firebreak’
- Admin UKK
- Berita
JOHOR BAHRU: Johor akan melaksanakan kaedah ‘total flooding’ dan ‘firebreak’ bagi menangani kebakaran terbuka terutama melibatkan tanah gambut di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah itu bagi memastikan kebakaran tanah gambut di Kluang, Muar dan Kota Tinggi tidak terus melarat.
Katanya, kesemua kos bagi pelaksanaan operasi-operasi memadam kebakaran itu akan ditanggung Tabung Bencana Negeri Johor.
“Bagi memastikan operasi pemadaman lebih berkesan, Kerajaan Negeri mengarahkan pelaksanaan kaedah `total flooding’, pembinaan ‘firebreak’ serta penggunaan pam bertekanan tinggi secara agresif bagi mengelakkan api merebak bawah tanah.
“Bekalan air tambahan turut digerakkan segera, termasuk pengepaman berterusan dari sumber berhampiran ke sistem parit ladang dan tangki simpanan.
“Sistem pam perparitan diaktifkan sepenuhnya bagi mengurangkan kebergantungan kepada penghantaran air secara ulang-alik, manakala pembinaan firebreak dipercepatkan sebagai benteng kawalan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Onn Hafiz, kerajaan negeri juga telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan sebagai langkah tambahan.
“Usaha ini bertujuan meningkatkan kelembapan di kawasan terjejas serta menyokong keberkesanan usaha pemadaman kebakaran yang sedang dijalankan pihak berwajib.
“Setakat ini terdapat tiga kawasan utama terlibat iaitu di Bakri Batu 13 dan 14, Muar; Bio-Desaru, Tanjung Balau serta Sungai Linau , Simpang Renggam. Kesemua lokasi dalam keadaan terkawal namun belum dipadam sepenuhnya.
“Ketika ini operasi pemadaman dilaksanakan 24 jam tanpa henti melibatkan lebih anggota daripada Jabatan Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi berkaitan,” katanya. – UTUSAN
