KUALA TERENGGANU - Kira- kira 100 peniaga di sekitar Jambatan Angkat di sini terpaksa menanggung kerugian selepas gerai mereka rosak dalam kejadian ribut kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Seorang peniaga kuetiau, Muhammad Zikri Mohd Noor, 31, berkata, kejadian berlaku ketika beliau sedang bersiap-siap di rumahnya di Kampung Gelugor Kedai di sini untuk memulakan perniagaan.
"Ketika kejadian saya berada di rumah di Kampung Gelugor Kedai menyiapkan peralatan dan barang jualan untuk berniaga kira-kira 4 petang.
"Selepas mendengar berita tersebut, saya terus bergegas ke sana (Jambatan Angkat) dan dapati hampir semua gerai jualan, kerusi dan meja yang disediakan untuk pelanggan dalam keadaan berselerak serta lintang-pukang," katanya ketika ditemui di tapak jualan Jambatan Angkat.
Muhammad Zikri berkata, dia telah mengalami kerugian sebanyak dua kali akibat ribut dalam tempoh dua minggu ini.
Menurutnya, keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan peniaga terpaksa berdepan risiko berikutan ribut dan hujan lebat yang berlaku secara tiba-tiba.
"Kami sedar lokasi perniagaan yang bersebelahan pantai memang berisiko. Tetapi itu sahaja pilihan kami ada. Hari ini saya rugi kira-kira RM500 sebab khemah dah tak boleh digunakan lagi..kena beli baru. Minggu lepas pun khemah rosak terkena ribut, tetapi kerugian lebih kecil sebab hanya membabitkan kain atap khemah," katanya.
Sementara itu, peniaga kopi dan popia, Tuah Taib, 59, dari Bukit Payong di Marang berkata, dia terpaksa mengeluarkan belanja kira-kira RM350 untuk membaiki tiang gerainya yang patah.
"Sepanjang tiga tahun saya berniaga di sini, ini adalah kali ketiga saya rugi akibat ribut. Hari ini kami agak bernasib baik kerana kejadian berlaku awal, barang jualan masih di dalam kereta dan belum dikeluarkan," katanya.
Katanya, lagi walaupun berdepan risiko, beliau tetap memilih untuk berniaga di tapak jualan Jambatan Angkat kerana lokasinya yang strategik dan menjadi tumpuan pelancong terutama pada musim cuti. - Bernama
Tiga maut dalam banjir kilat
- Admin UKK
- Berita
WASHINGTON - Banjir kilat yang membawa maut telah melanda satu lagi negeri di selatan Amerika Syarikat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Seorang lelaki berusia antara 40 hingga 50 tahun, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dihanyutkan arus deras di perkampungan pergunungan Ruidoso, New Mexico, menurut pihak berkuasa.
Gabenor New Mexico, Michelle Lujan Grisham telah mengisytiharkan darurat di kawasan terjejas bagi membolehkan pasukan kecemasan digerakkan serta mendapatkan pembiayaan persekutuan.
"Krisis ini memerlukan tindakan segera,” tulisnya di Facebook.
Di negeri jiran, Texas, lebih 100 orang termasuk ramai kanak-kanak daripada kem musim panas maut akibat banjir kilat di Sungai Guadalupe. Lebih 160 orang masih dilaporkan hilang. - Bernama/dpa
