PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Fahami perbezaan kabus tebal dan jerebu: Antara fenomena alam dan pencemaran udara

Fahami perbezaan kabus tebal dan jerebu: Antara fenomena alam dan pencemaran udara

FENOMMENA yang menyebabkan suasana kelihatan suram dan jarak penglihatan menjadi terhad sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Dua keadaan yang biasa berlaku ialah kabus tebal dan jerebu. Namun, masih ramai tidak dapat membezakan antara kedua-duanya, terutama pada waktu pagi.

Walaupun kelihatan hampir serupa, kedua-duanya berbeza dari segi punca, kandungan udara, dan kesan terhadap kesihatan.

Kabus tebal adalah wap air yang terhasil daripada kondensasi di permukaan bumi, biasanya berlaku pada waktu pagi atau ketika suhu menurun secara mendadak.

Kabus terbentuk apabila udara lembap menjadi sejuk dan menghasilkan titisan air halus yang terapung di udara. Fenomena ini bersifat semula jadi dan lazimnya tidak membahayakan kesihatan manusia.

Namun, ia boleh mengurangkan jarak penglihatan dan menyebabkan risiko kemalangan jalan raya, terutamanya di kawasan berbukit dan lebuh raya.

Sebaliknya, jerebu berlaku apabila udara dipenuhi dengan zarah-zarah halus seperti debu, asap, dan bahan pencemar lain yang berpunca daripada pembakaran terbuka, aktiviti perindustrian atau pelepasan asap kenderaan. Jerebu sering berlaku pada musim panas dan kering, terutamanya akibat berlaku pembakaran hutan secara besar-besaran seperti di kawasan pertanian.

Tidak seperti kabus, jerebu membawa risiko kesihatan yang lebih serius kerana ia mengandungi bahan pencemar yang boleh menjejaskan sistem pernafasan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas dan pesakit asma.

Dari segi kesan, kabus hanya memberi impak kepada penglihatan mendatar kurang daripada 1 kilometer, dalam jangka masa pendek dan akan hilang apabila suhu meningkat.

Sebaliknya, jerebu boleh menyebabkan masalah kesihatan jangka pendek seperti masalah pernafasan, batuk, hidung berair, sakit tekak, dan mata pedih.

Kesan kepada pendedahan yang berpanjangan boleh meningkatkan penyakit pernafasan kronik, penyakit jantung dan masalah kulit.

Fenomena jerebu juga memerlukan pemantauan indeks pencemaran udara (IPU) oleh pihak berkuasa.

Langkah-langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka, mengehadkan aktiviti luar, serta pengambilan air yang mencukupi sangat digalakkan semasa musim jerebu.

Oleh itu penting bagi orang ramai untuk mengetahui perbezaan antara kabus tebal dan jerebu agar dapat mengambil langkah berjaga-jaga yang sesuai.

Kabus mungkin tidak memudaratkan kesihatan, tetapi tetap perlu diberi perhatian dari sudut keselamatan.

Jerebu pula memerlukan tindakan lebih serius kerana impaknya terhadap kesihatan awam dan alam sekitar.

Dengan kesedaran dan pengetahuan yang betul, kita dapat melindungi diri serta orang tersayang daripada risiko tidak diingini.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search