PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Cuaca kering di selatan Asia Tenggara tingkat risiko jerebu rentas sempadan

Cuaca kering di selatan Asia Tenggara tingkat risiko jerebu rentas sempadan

KUALA LUMPUR : Keadaan cuaca kering dan berawan dilaporkan berlaku di kebanyakan kawasan di Asia Tenggara mulai malam semalam, kecuali di bahagian utara Sumatera yang mencatatkan hujan di beberapa kawasan.

Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) melaporkan beberapa titik panas dikesan di Semenanjung Malaysia, Kalimantan dan Sumatera, dengan kepulan asap setempat turut dikesan berpunca daripada satu titik panas dipercayai kebakaran hutan di Sumatera Tengah.

Bagaimanapun, liputan awan tebal menyukarkan penilaian sepenuhnya terhadap jumlah titik panas dan keadaan jerebu merentas sempadan di rantau ini.

Sementara itu, menurut kemas kini terbaharu Jabatan Alam Sekitar (JAS), cuaca lembap berterusan di utara Asia Tenggara menyumbang kepada tahap aktiviti titik panas yang kekal rendah di kawasan berkenaan.

Dalam unjuran cuaca dan jerebu beberapa hari akan datang, cuaca kering dijangka berterusan di kebanyakan kawasan di selatan Asia Tenggara kecuali di bahagian timur Kalimantan yang diramal menerima hujan berselerak.

Keadaan cuaca kering berpanjangan ini boleh meningkatkan aktiviti titik panas di kawasan mudah terbakar dan berisiko membawa kepada kejadian jerebu merentas sempadan.

Angin lazim di kawasan ASEAN selatan dijangka bertiup dari arah tenggara ke barat daya, manakala angin lazim di keseluruhan rantau ASEAN pula dijangka bertiup dari arah selatan ke barat daya.

Cuaca lembap dijangka berterusan di ASEAN utara dengan aktiviti titik panas yang kekal rendah di kawasan berkenaan.

Fenomena ini dijangka memberiimpak memberi kesan terhadap kualiti udara di negeri-negeri pantai barat Semenanjung seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Keadaan ini turut berisiko menjejaskan kesihatan penduduk, khususnya golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang menghidap masalah pernafasan.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memantau bacaan IPU semasa, mengurangkan aktiviti luar jika kualiti udara tidak sihat dan mengikuti panduan kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search