PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Titik panas meningkat, amaran tahap dua diaktifkan bagi rantau ASEAN Selatan

Titik panas meningkat, amaran tahap dua diaktifkan bagi rantau ASEAN Selatan

KUALA LUMPUR: Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) mengaktifkan Amaran Tahap Dua bagi rantau ASEAN Selatan susulan peningkatan aktiviti titik panas dan keadaan cuaca kering yang berpanjangan di kawasan terbabit.

Dengan pengaktifan amaran itu, kemas kini mengenai situasi jerebu serantau akan dikeluarkan dua kali sehari, iaitu jam 3 pagi dan 9 pagi Waktu Universal Selaras (UTC) atau 11 pagi dan 5 petang waktu Malaysia.

Langkah ini bertujuan memantau secara rapi perkembangan jerebu rentas sempadan yang berisiko menjejaskan kualiti udara di beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Keadaan cuaca kering dan berawan dilaporkan di kebanyakan kawasan di Asia Tenggara mulai malam tadi, kecuali di utara Sumatera yang mencatat hujan di beberapa kawasan.

Menurut ASMC, beberapa titik panas dikesan di Semenanjung, Kalimantan dan Sumatera, dengan kepulan asap setempat turut dikesan berpunca daripada satu titik panas, dipercayai kebakaran hutan di Sumatera Tengah.

Bagaimanapun, liputan awan tebal menyukarkan penilaian sepenuhnya terhadap jumlah titik panas dan keadaan jerebu merentas sempadan di rantau ini.

Sementara itu, kemas kini terbaharu Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan, cuaca lembap berterusan di utara Asia Tenggara menyumbang kepada tahap aktiviti titik panas yang kekal rendah di kawasan berkenaan.

Dalam unjuran cuaca dan jerebu beberapa hari akan datang, cuaca kering dijangka berterusan di kebanyakan kawasan di selatan Asia Tenggara kecuali di timur Kalimantan yang diramal menerima hujan berselerak.

Cuaca kering berpanjangan ini boleh meningkatkan aktiviti titik panas di kawasan mudah terbakar dan berisiko membawa jerebu rentas sempadan.

Angin lazim di kawasan ASEAN Selatan dijangka bertiup dari arah tenggara ke barat daya, manakala angin lazim di keseluruhan rantau ASEAN dijangka bertiup dari arah selatan ke barat daya.

Cuaca lembap dijangka berterusan di ASEAN utara dengan aktiviti titik panas yang kekal rendah di kawasan berkenaan.

Fenomena ini dijangka memberi kesan terhadap kualiti udara di negeri pantai barat Semenanjung seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Keadaan ini turut berisiko menjejaskan kesihatan penduduk, khususnya golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang menghidap masalah pernafasan.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memantau bacaan IPU semasa, mengurangkan aktiviti luar jika kualiti udara tidak sihat dan mengikuti panduan kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search