PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Rugi lebih RM80,000 tanaman timun ditenggelami bah

Kuantan: Seorang pekebun di Kampung Pamah Rawas, Ulu Rong, Raub, kerugian lebih RM80,000 selepas kira-kira 10,000 beg semaian timun fertigasi yang diusahakannya musnah ditenggelami banjir, baru-baru ini.

Turut dibawa arus deras air selama lebih lima jam itu, lebih 1,000 ikan kelah dan tongsan yang diternak dalam dua kolam terletak dalam kawasan sama.

Zamri Othman, 48, berkata hampir keseluruhan kawasan kebun dan kolam ikan miliknya ditenggelami banjir selepas hujan lebat beberapa jam di daerah Raub yang menyebabkan berlaku banjir kilat seolah-olah kepala air.

Beliau berkata, hampir semua 10,000 beg semaian tanaman timun berusia dua minggu yang digantung ditenggelami air dan polibeg musnah dibawa arus deras air, selain sebahagian sistem paip air baja juga rosak dan hilang.

Katanya, walaupun kejadian banjir kali ini berlaku selama empat hingga enam jam sahaja, kesan kemusnahan pada tanaman dan ternakan ikan dalam kolam begitu tinggi hingga mencecah lebih RM80,000.

“Kehilangan lebih 1,000 ikan kelah dengan berat antara sekilogram hingga enam kilogram amat dirasakan, malah impian meraih pendapatan lumayan hasil jualan ikan berkenaan tidak menjadi kenyataan selepas projek akuakultur itu bermula pada 2013.

“Sebelum ini saya pernah menjual beberapa ikan itu bersaiz enam kilogram dengan harga RM160 sekilogram. Ikan spesies berkenaan mendapat permintaan tinggi, walaupun diternak dalam kolam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Zamri berkata, banjir kali ini menyebabkan kerugian besar terpaksa ditanggung berbanding banjir pada 2021 apabila projek tanaman timun fertigasi yang baru diusahakan musnah.

Beliau berkata, tebing kolam juga runtuh disebabkan taburan hujan berlebihan yang menyebabkan beberapa pokok durian Musang King tumbang.

“Tahun depan saya bercadang menangkap semua ikan kelah yang ada dalam dua kolam dan mungkin menyimpan beberapa ekor yang matang untuk dijadikan induk.

“Kejadian ini tidak mematahkan semangat saya, malah tetap meneruskan projek tanaman fertigasi selepas ini,” katanya.

Kerosakan sektor agromakanan dianggar RM177J akibat banjir

Sebanyak RM177 juta anggaran nilai kerosakan dalam sektor agromakanan yang direkodkan akibat banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) 2024 membabitkan 15,456 petani di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kira-kira 28,000 hektar kawasan terjejas dengan majoriti membabitkan sawah padi di Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Beliau berkata, daripada keseluruhan jumlah itu, 1,153 kumpulan sasar yang terjejas adalah petani selain padi, dengan 502.96 hektar terjejas dan RM17.25 juta nilai kerugian dicatatkan.

“Paling banyak adalah sawah padi di Kelantan, Kedah dan sedikit di Terengganu, selain sektor perikanan, pertanian dan tanaman sayuran,” katanya pada sidang media, di lobi Wisma Tani, di sini, semalam.

Terdahulu, Mohamad menyempurnakan majlis Flag-off Skuad Ihsan MADANI Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan 20 warga kerja skuad itu bergerak ke Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang membantu mangsa banjir.

Pada masa sama, Mohamad berkata, 13,674 petani terjejas adalah pesawah; 599 (tanaman selain padi); masing-masing 250 bagi perikanan dan ternakan; 35 nelayan dan 19 usahawan tani.

Kedah paling terjejas

Beliau berkata, petani yang paling terjejas adalah di Kedah dengan 7,422 orang membabitkan 14,613 hektar dan RM97.76 juta nilai kerugian.

Katanya, ia diikuti 3,426 petani di Kelantan dengan nilai kerugian RM33.37 juta dan 2,107 petani di Terengganu membabitkan nilai kerugian RM13.43 juta.

Mohamad berkata, KPKM juga menyediakan mekanisme bantuan iaitu Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi pesawah padi dan Tabung Bencana Pertanian (TBP) bagi pengusaha tanaman selain padi.

“Selain itu, KPKM juga memperkenalkan Skim Takaful Tanaman Padi yang mula dilaksanakan pada 13 September lalu bagi melindungi tanaman padi daripada pelbagai risiko bencana.

“Kadar pemberian bantuan berdasarkan usia tanaman padi iaitu RM1,800 sehektar bagi usia padi melebihi 71 hingga 120 hari, manakala RM876 sehektar bagi peringkat tanaman satu hingga 70 hari,” katanya.

PM gives aid to Tambun flash flood victims

Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim has distributed contributions to 19 heads of households affected by the flash floods in four villages in the Tambun parliamentary constituency.

The aid was presented by Hulu Kinta assemblyman Muhamad Arafat Varisai Mahamad and the special officer of the Tambun MP’S Office, Mohamad Hairul Amir Sabri, yesterday.

The flash floods, which occurred on Dec 1, affected four villages – Kampung Cheh, Kampung North Ward, Kampung Masjid and Kampung Bakar Bata – following continuous heavy rainfall.

Speaking to reporters, Mohamad Hairul said that the contributions were part of the efforts by Anwar, who is also Tambun MP, to ease the burden of those affected by the disaster.

“When the floods occurred, the Prime Minister instructed me and the Tambun Parliamentary Office to provide immediate assistance to the victims,” he said, Bernama reported.

He added that each head household received RM1,000.

Banjir di Johor, Pahang beransur pulih, Perak catat hampir 200 mangsa

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Johor dan Pahang semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri tersebut terus mencatatkan penurunan pada petang ini manakala di Perak masih tidak menunjukkan perubahan.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di Johor menurun kepada 36 orang daripada 11 keluarga berbanding 40 orang pada pagi tadi dengan kesemua mangsa kini berlindung di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak di daerah Segamat yang dibuka sejak 29 November lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam satu kenyataan berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Seberang Batu Badak masih belum dibenarkan pulang kerana kawasan petempatan mereka masih digenangi banjir termenung.

Selain itu, beliau turut memaklumkan hanya satu sungai di daerah Segamat dilaporkan melepasi paras amaran iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap dengan bacaan 8.82 meter (m) (trend menurun) manakala keadaan cuaca di sembilan daerah di negeri ini diramalkan cerah kecuali di Mersing yang dijangka mengalami hujan petang ini.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir di Pahang menurun kepada 31 orang daripada 11 keluarga berbanding 41 orang pada pagi tadi, melibatkan dua daerah yang masih terjejas iaitu Bera dan Maran.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 27 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gemuruh di daerah Bera manakala empat mangsa berada di PPS Balairaya Kampung Baru Pertanian di daerah Maran.

Di Perak, Sekretariat JPBN negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal seramai 186 orang daripada 57 keluarga di daerah Manjung dan kesemua mangsa masih ditempatkan di PPS SK Beruas.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataannya memaklumkan paras air Sungai Rui di Hulu Perak berada pada paras amaran dengan bacaan 165.68m berbanding paras normal 165.10m manakala Sungai Perak di kawasan Pasang Api, Bagan Datuk merekodkan paras berjaga-jaga dengan kedalaman 1.85m berbanding paras normal -1.0m.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan berterusan pada tahap waspada dijangka berlaku di sekitar kawasan Hulu Perak.-BERNAMA

Mendapan tanah: Laluan di KM 78 Jalan Gua Musang-Lojing ditutup sepenuhnya

GUA MUSANG: Laluan di Kilometer (KM) 78 Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan susulan berlaku jalan mendap pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, laluan terbabit ditutup kepada semua kenderaan daripada kedua-dua arah bermula hari ini sehingga arahan baharu dikeluarkan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, berdasarkan laporan JKR Gua Musang, pihaknya mengesan lubang benam baharu pada lokasi yang sama, namun berjarak lima meter daripada kejadian lubang benam pertama yang berlaku pada 23 November lalu.

“Dalam kejadian lubang benam pertama ia sudah dibaiki namun mereka mengesan terdapat lubang benam baharu sedalam sembilan meter.

“Pada Khamis lalu laluan terbabit ditutup satu lorong untuk semua kenderaan. Hari ini kerosakan semakin membesar dan laluan terpaksa di tutup kepada semua kenderaan.

“Tiada jalan alternatif kepada pengguna. Jadi pengguna dinasihatkan merancang perjalanan dan menggunakan jalan lain untuk ke Tanah Tinggi Cameron,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, pihak JKR akan cuba membuka laluan lencongan secepat mungkin untuk pengguna jalan terbabit.

Pada 23 November lalu berlaku kejadian lubang benam sedalam enam meter di KM 78 Jalan Gua Musang-Lojing sehingga menyebabkan laluan dari arah Lojing terpaksa ditutup satu lorong.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search