Kumpul maklumat bantu mangsa banjir
- Admin UKK
- Berita
Kerajaan negeri dalam proses meneliti dan mengumpul maklumat untuk mengenal pasti bantuan sesuai kepada mangsa banjir.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kemusnahan yang teruk memerlukan kos besar justeru perlu ada kerjasama kerajaan persekutuan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Katanya, bagaimana pun pihaknya dalam usaha untuk mengatasi masalah itu memandangkan Monsun Timur Laut (MTL) belum berakhir dengan jangkaan gelombang seterusnya dalam masa terdekat.
“Kita mengharapkan semoga gelombang seterusnya tidak seteruk yang lalu supaya tiada lagi kemusnahan harta benda rakyat.
“Kerajaan negeri sebelum ini sudah memperuntukkan sumbangan khas bantuan banjir dan ia akan diteruskan bagi meringankan beban rakyat yang terjejas,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, lembangan sungai utama di 10 jajahan di Kelantan dijangka berlaku banjir bermula esok hingga 19 Disember, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Kita harapkan semoga gelombang seterusnya tidak seteruk yang lalu” Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan
Kumpul maklumat bantu mangsa banjir
- Admin UKK
- Berita
Kerajaan negeri dalam proses meneliti dan mengumpul maklumat untuk mengenal pasti bantuan sesuai kepada mangsa banjir.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kemusnahan yang teruk memerlukan kos besar justeru perlu ada kerjasama kerajaan persekutuan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Katanya, bagaimana pun pihaknya dalam usaha untuk mengatasi masalah itu memandangkan Monsun Timur Laut (MTL) belum berakhir dengan jangkaan gelombang seterusnya dalam masa terdekat.
“Kita mengharapkan semoga gelombang seterusnya tidak seteruk yang lalu supaya tiada lagi kemusnahan harta benda rakyat.
“Kerajaan negeri sebelum ini sudah memperuntukkan sumbangan khas bantuan banjir dan ia akan diteruskan bagi meringankan beban rakyat yang terjejas,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, lembangan sungai utama di 10 jajahan di Kelantan dijangka berlaku banjir bermula esok hingga 19 Disember, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Kita harapkan semoga gelombang seterusnya tidak seteruk yang lalu” Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan
Jumlah mangsa bah tiga negeri kekal
- Admin UKK
- Berita
Jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak, Johor dan Pahang masih kekal setakat pagi semalam.
Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan, jumlah mangsa yang terjejas akibat bencana itu kekal dengan 186 individu membabitkan 57 keluarga di daerah Manjung setakat jam 8 pagi semalam dan kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas.
Pada masa sama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan turut memaklumkan paras air Sungai Rui di daerah Hulu Perak berada pada tahap amaran iaitu setinggi 165.79 meter berbanding paras normal 165.10 meter.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan hujan berterusan dijangka di sekitar kawasan Hulu Perak.
Situasi banjir di Johor juga tidak menunjukkan perubahan dengan jumlah mangsa kekal 40 orang daripada 12 keluarga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa terjejas akibat bencana itu masih ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak di Segamat.
“Selain itu hanya satu sungai di daerah Segamat dilaporkan melepasi paras amaran iaitu stesen Sungai Muar di Buloh Kasap dengan bacaan 8.85 meter,” katanya.
Di Pahang, jumlah mangsa banjir kekal 41 orang daripada 12 keluarga yang ditempatkan di tiga membabitkan dua daerah terjejas iaitu Bera dan Maran.
Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan 30 mangsa berada di PPS di Bera iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh dan Balai Raya Kampung Seberang Guai, sementara 11 orang di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran.
Bencana banjir yang sering berlaku sejak kebelakangan ini dibimbangi membawa sekurang-kurangnya tujuh jenis penyakit bawaan organisma seperti bakteria dan parasit, yang dikesan sangat berbahaya kepada kesihatan manusia.
Antara penyakit paling ditakuti, namun sering dipinggirkan ialah demam kepialu, kolera dan leptospirosis, berpunca daripada bakteria serta demam denggi dan Hepatitis A yang disebabkan oleh virus.
Jangkitan parasit bawaan air seperti giardiasis, cryptosporidiosis dan blastosistosis juga berisiko menimbulkan pelbagai masalah kesihatan, kerana ia sering terlepas pandang, terutama selepas banjir berakhir.
Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Vinoth Kumarasamy, berkata kejadian banjir yang meningkat akibat perubahan cuaca ekstrem global serta diburukkan lagi dengan kehadiran monsun mampu meningkatkan risiko kesihatan secara signifikan.
Katanya, banjir mempercepatkan penularan pelbagai patogen seperti bakteria, virus dan parasit yang berkembang dalam air tercemar.
“Sebagai contoh, pada Mei 2024, banjir di selatan Brazil mencetuskan wabak leptospirosis terutama di kawasan bandar dengan tahap sanitasi rendah.
“Penemuan serupa menunjukkan banjir mempercepatkan penyebaran bakteria, virus dan parasit yang berkembang dalam air tercemar.
“Kajian diterbitkan dalam jurnal Water tahun lalu mendapati populasi bakteria di sungai meningkat secara ketara sewaktu monsun, sekali gus meningkatkan risiko penyakit bawaan air.
“Penduduk di kawasan bandar pertengahan sungai lebih terdedah kerana keadaan persekitaran yang menggalakkan penularan penyakit,” katanya kepada BH, baru-baru ini.
Penyakit bakteria
Menurut Dr Vinoth, penyakit bakteria seperti demam kepialu, kolera dan leptospirosis adalah antara yang paling membimbangkan ketika banjir.
Kejadian banjir yang meningkat akibat perubahan cuaca ekstrem global serta diburukkan lagi dengan kehadiran monsun mampu meningkatkan risiko kesihatan Dr Vinoth Kumarasamy,
“Demam kepialu disebabkan oleh Salmonella enterica serotip Typhi, yang ditularkan melalui makanan atau air tercemar. Gejalanya termasuk demam tinggi, sakit kepala serta masalah pencernaan seperti loya dan sakit perut. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi serius seperti perforasi usus atau septisemia.
“Kolera pula berpunca daripada Vibrio cholerae, dengan gejala cirit-birit berair akut yang boleh menyebabkan dehidrasi, kejutan dan kematian jika tidak ditangani segera.
“Leptospirosis atau jangkitan zoonotik yang tersebar melalui air tercemar dengan air kencing tikus, sering ditemui dalam air banjir. Ia biasanya menunjukkan gejala seperti demam tinggi dan sakit otot, namun dalam kes teruk, boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, kegagalan hati, meningitis atau komplikasi pernafasan,” katanya.
Mengulas lanjut Dr Vinoth berkata, banjir memburukkan lagi penularan penyakit bawaan vektor seperti demam denggi.
“Air bertakung selepas banjir menyediakan tempat pembiakan ideal bagi nyamuk Aedes yang menyebarkan virus denggi. Ia mengakibatkan pesakit mengalami demam teruk, sakit sendi dan otot, serta dalam beberapa kes, demam berdarah yang boleh mengancam nyawa.
“Satu lagi risiko kesihatan ialah Hepatitis A, yang tersebar melalui makanan atau air tercemar. Penyakit ini menyebabkan gejala seperti penyakit kuning, keletihan, loya, sakit perut dan masalah pencernaan,” katanya.
Mengulas mengenai ancaman parasit bawaan air seperti Giardia, Cryptosporidium dan Blastocystis, beliau berkata parasit ini boleh menyebabkan penyakit gastrousus seperti giardiasis, cryptosporidiosis, dan blastosistosis.
“Parasit ini biasanya ditularkan melalui sisa atau telur dalam air tercemar dan boleh menyebabkan gejala seperti cirit-birit, loya, muntah dan sakit perut.
“Kanak-kanak dan warga emas lebih terdedah kepada dehidrasi teruk akibat jangkitan ini yang boleh membawa kepada komplikasi kesihatan serius jika tidak dirawat segera.
“Kanak-kanak yang mungkin menelan air banjir ketika bermain perlu dipantau dengan teliti. Jika menunjukkan gejala seperti kekejangan perut, cirit-birit atau demam, rawatan perubatan segera diperlukan. Rawatan awal boleh mencegah komplikasi dan memperbaiki proses pemulihan,” katanya.
Alor Setar: Sebanyak 353 premis Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara mengalami kerosakan membabitkan kerugian kira-kira RM6 juta akibat banjir yang melanda sejak November lalu.
Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man, berkata daripada jumlah itu, premis yang terjejas merangkumi 339 premis Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA), 11 premis pendidikan kemahiran dan tiga Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM).
Katanya, ia membabitkan lapan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Sarawak.
“Bencana banjir ini sedikit sebanyak menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP), membabitkan seramai 7,673 kanak-kanak tabika dan taska dan 855 kakitangan KEMAS di negeri-negeri terbabit terutama di Kelantan dengan kerosakan yang agak serius berbanding negeri lain.
“Di Kelantan sebanyak 212 premis terjejas banjir diikuti Terengganu membabitkan 96 premis dan Kedah sebanyak 19 premis.
“Kita sudah menggerakkan Skuad Ihsan MADANI di seluruh negeri untuk melaksanakan misi bantuan banjir, termasuk kerja-kerja pembersihan premis dan kediaman terjejas. Keutamaan kami adalah memastikan operasi premis KEMAS dapat disambung seperti biasa dengan segera,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kesan banjir di TABIKA KEMAS Alor Gunung di sini, semalam.
Mohd Hanafiah berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sudah mengarahkan permohonan mendapatkan bajet baik pulih untuk premis KEMAS yang terbabit.
Katanya, KEMAS sudah mengangkat permohonan kepada Ketua Setiausaha (KSU) kementerian dan tindakan segera mendapat maklum balas pada dasarnya peruntukan yang dipohon diluluskan dan akan disalurkan sedikit masa lagi.
“Cuma kalau peruntukan yang dapat itu tidak mencapai kepada jumlah yang ada, sekurang-kurangnya kita hendak pastikan ia boleh digunakan semula untuk anak anak dan kita utamakan faktor keselamatan dan kebersihan.
“Isu keselamatan itulah yang paling penting, kita tak nak nanti anak-anak masuk bangunan itu tidak selamat untuk mereka, selain itu kita juga sedang meneliti bangunan yang terjejas sama ada selamat atau tidak untuk digunakan, setakat ini, kerja-kerja pembersihan giat dilaksanakan dan 93 peratus dapat diselesaikan dapat waktu terdekat sebelum anak-anak meneruskan sesi pembelajaran ,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hanafiah berkata pihaknya bersama KKDW sedang mengusahakan sesuatu supaya program pratahfiz yang dilaksanakan di tabika KEMAS ketika ini dapat diteruskan kepada pelajar meskipun mereka sudah menginjak ke sekolah kebangsaan.
Katanya, antara langkah termasuk membenarkan anak-anak itu dihantar ke TABIKA berkenaan pada waktu petang bagi menyambung kelas tahfiz ikuti di situ.