PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

‘Hilang kemeriahan rai Aidilfitri’

‘Hilang kemeriahan rai Aidilfitri’

“Raya belum sampai seminggu lagi kami sudah kena pindah, hilang rasa teruja nak raya,” kata mangsa banjir, Hadzalin Sanek.

Hadzalin, 50, antara 274 mangsa yang dipindahkan kali kedua ke pusat pemindahan sementara (PPS), sejak kelmarin.

Ibu kepada dua anak berusia 22 dan 23 tahun serta emaknya, Siti Khadijah Karjo, 74, menetap di Kampung Baru, Sri Gading, di sini dipindahkan pada hari raya keempat selepas hujan lebat sejak Selasa lalu.

“Kami bersemangat nak raya selepas dibenarkan pulang dua hari sebelum raya, siap beli daging dan keperluan lain. Tiba-tiba arahan dikeluarkan agar kami segera ke PPS, kami reda walaupun hanya dapat meraikan Syawal dalam tempoh singkat.

“Kami risau keadaan rumah, jika lama digenangi air akan menyebabkan kerosakan serta risau dimasuki haiwan liar.

“Kebun sawit sekitar juga sudah dinaiki air, jadi ada risiko binatang datang mencari tempat perlindungan,” katanya, ketika ditemui di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gading, semalam.

Sementara itu, Halizan Rejab, 55, berkata air naik kali kedua mulai raya ketiga akibat hujan lebat ketika dia bersama ahli keluarga beraya.

Katanya, kejadian banjir kali ini paling lama, hampir dua minggu sejak 23 Mac lalu.

“Kami dimaklumkan puncanya disebabkan projek tambak tanah di belakang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sri Gading untuk taman perumahan.

“Keduanya aliran sungai utama di Parit Karjo, Senggarang tersekat akibat rumput tebal dan ini menyebabkan aliran air ke laut perlahan.

Setakat ini di Sri Gading ada satu pam, kalau JPS boleh tambah hingga empat, maka air segera di bawa ke laut atau dibawa keluar dari tempat banjir

Gesa tambah pam air

Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan, berkata beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menambah pam sedia ada bagi memudahkan air cepat surut.

Katanya, ketika ini pam yang ada tidak mencukupi untuk membantu mengalirkan air banjir ke sungai.

“Setakat ini di Sri Gading ada satu pam, kalau JPS boleh tambah hingga empat, maka air segera di bawa ke laut atau dibawa keluar dari tempat banjir.

“Kita sedia maklum banjir termenung hanya berlaku di sini (Batu Pahat). Inilah masalah yang penduduk hadapi,” katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search