Puchong: Projek pembinaan tapak khas simulasi bencana bagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Pulau Meranti, dekat sini dijangka siap sepenuhnya pada Februari ini.
Projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor itu mencapai 99 peratus kemajuan dan bakal menjadi pusat simulasi bencana yang pertama di Malaysia serta kedua di rantau ASEAN selepas Singapura.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pembinaan pusat simulasi bencana itu bertujuan meningkatkan kecekapan dan tahap profesionalisme anggota SMART dalam mendepani segala bentuk kemungkinan bencana.
“Kita ingin menjadi pasukan menyelamat yang cekap ketika berlaku bencana. Anggota SMART kira-kira 150 orang dan pusat ini akan memberikan latihan optimum kepada mereka yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak simulasi khas bencana itu di Markas SMART, di sini semalam.
Projek membabitkan kos hampir RM33.4 juta itu adalah milik Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Ahmad berkata, pusat berkenaan memiliki keupayaan membuat simulasi pelbagai senario bencana yang akan menjadi asas kepada latihan komprehensif dan berdasarkan situasi sebenar bencana.
Beliau berkata, fasiliti dan teknologi yang akan melengkapkan pusat berkenaan dijangka menyokong semua keperluan bagi memudahkan pasukan SMART mengekalkan pengiktirafan International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG), badan di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengkoordinasikan rangkaian penyelamat antarabangsa berkaitan operasi bencana rentas sempadan.
Antara modul latihan simulasi dalam projek itu ialah modul kereta kabel (modul menyelamat kemalangan kereta kabel), kemalangan kereta api bawah tanah, menyelamat bangunan condong dan bangunan separa runtuh dan menara.
Dalam perkembangan lain, Ahmad turut mengumumkan JKR akan membina projek NADMA di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara untuk menyiapkan dewan terbuka pusat pemindahan kekal bencana dalam kawasan sekolah.
Beliau berkata, terdapat lapan sekolah terpilih dengan dua sekolah menerima surat setuju terima (SST) manakala enam lagi masih dalam proses perancangan.
“Pusat ini adalah pusat pemindahan banjir, projek NADMA bagi hadapi bencana seperti banjir dengan membina dewan terbuka pusat pemindahan kekal bencana,” katanya. BERNAMA
Banjir gelombang kedua sudah mula melanda Kelantan dan Terengganu, sekali lagi mengundang detik cemas penduduk yang sudah pun terjejas teruk akibat bencana alam sebelumnya.
Di sebalik banyak bantuan seperti makanan dan minuman diberikan, kita terlepas pandang bantuan keperluan asas, terutama berkaitan pengurusan haid.
Meskipun bantuan makanan dan pakaian diagihkan secara meluas, keluhan mengenai kekurangan pad sanitari dan keperluan haid lain semakin banyak didengar.
Seorang mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dalam wawancara dengan media menegaskan dia bersyukur dengan makanan dan selimut diberi, tetapi keperluan seperti tuala wanita sangat sukar didapati.
Ini menyebabkan mangsa banjir itu terpaksa berkongsi dengan orang lain, malah ramai wanita terpaksa bergantung kepada kain biasa kerana tiada pilihan lain.
Situasi perlu dihadapi wanita di PPS ini bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan, malah menimbulkan risiko jangkitan pada saluran kencing dan organ reproduktif seperti ditegaskan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Habibah Abdul Hamid.
Beliau mengingatkan wanita terdedah risiko lebih tinggi kepada jangkitan semasa haid sekiranya kebersihan tidak diberi perhatian.
Dalam satu kajian dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diketuai Prof Madya Dr Latifah Abdul Majid, ia menekankan kepentingan menyertakan bantuan keperluan haid dalam pakej bantuan bencana seperti pad sanitari, sabun dan pakaian dalam bersih.
Utama keperluan khas
Justeru, bantuan keperluan khas itu perlu diberi keutamaan sama seperti makanan dan tempat perlindungan.
Latifah yang juga Pensyarah Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM turut menegaskan bantuan untuk pengurusan haid bukanlah isu kecil kerana berkaitan maruah dan kesihatan wanita, terutama semasa situasi bencana.
Kajian itu menunjukkan kekurangan bantuan keperluan haid boleh menambah tekanan psikologi kepada mangsa wanita.
Semasa tragedi banjir pada 2023, pasukan penyelidik UKM bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyediakan kit bantuan khas kepada mangsa banjir, termasuk pad sanitari, pakaian dalam dan sabun.
Mereka turut mendapati wanita menerima kit ini menyatakan peningkatan ketara dalam keselesaan dan keupayaan menguruskan diri semasa di PPS.
Pengalaman lepas membuka mata ramai pihak mengenai satu keperluan mendesak untuk memasukkan bantuan pengurusan haid sebagai sebahagian standard operasi dalam pengurusan bencana di Malaysia kerana tiada siapa boleh menghalang haid walau dalam tempoh getir.
Usaha ini memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan, NGO dan masyarakat umum untuk memastikan keperluan asas mangsa banjir sama ada berada di PPS atau di rumah masing-masing dipenuhi pada masa sama tidak mengabaikan dari sudut kebersihan, kesihatan mental dan keselamatan.
Fenomena banjir semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim membawa keperluan mendesak untuk pelaksanaan langkah proaktif seperti ini bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan mangsa bencana tidak terabai.
Kerajaan Selangor menggerakkan Skuad Ihsan MADANI ke Kelantan semalam, bagi membantu membersihkan kemudahan awam dan rumah penduduk yang terjejas banjir.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata skuad yang terdiri daripada anggota pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan bagi operasi pascabanjir sebagai komitmen terhadap usaha kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.
Beliau berkata, misi disertai 130 individu bersama 45 jentera itu akan menumpukan kepada kerja pembersihan bermula hingga Khamis ini.
Skuad itu katanya, turut disertai syarikat pembersihan sampah negeri KDEB Waste Management yang akan melaksanakan pembersihan infrastruktur awam, selain rumah penduduk.
Hulur RM500,000
Amirudin berkata, kerajaan Selangor juga akan memberi sumbangan berjumlah RM500,000 kepada kerajaan Kelantan sebagai bantuan sokongan susulan banjir.
Katanya, perkara itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada esok untuk dimuktamadkan.
“Bantuan sokongan ini diberikan untuk kegunaan membaik pulih infrastruktur dan kemudahan lain yang terjejas. Secara umumnya, kita memang ada Tabung Selangor Prihatin yang akan disalur kepada mana-mana tempat ditimpa bencana,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Misi Bantuan Bencana Skuad Ihsan MADANI: Bantuan Pascabanjir Selangor Kelantan di sini semalam.
Penduduk Kampung Limau Kasturi di sini meminta pihak berkaitan segera mengatasi masalah siren amaran banjir yang gagal berfungsi ketika banjir melanda minggu lalu.
Penduduk mendakwa terdapat dua sistem siren amaran banjir di kawasan itu yang berlaku kerosakan dan perlu diselenggara pihak berwajib.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, dalam kejadian banjir pada minggu lalu penduduk kelam-kabut apabila siren tidak berbunyi ketika air berada di paras berjaga-jaga.
Katanya, siren amaran banjir hanya berbunyi apabila air sudah sampai pada paras bahaya dan mula melimpahi jambatan serta rumah penduduk.
“Dua siren itu diletakkan di bawah jambatan Sungai Galas dan di Kampung Dalam Lot. Namun, kedua-dua siren itu hanya berbunyi ketika air sungai berada di paras amaran atau bahaya.
“Saya harap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dapat menyelenggara siren itu bagi memudahkan penduduk membuat persiapan untuk berpindah sekiranya Kampung Limau Kasturi dilanda banjir gelombang ketiga,” katanya ketika ditemui di Kampung Limau Kasturi di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Mazita Mamat, 46, berkata, penduduk berharap pihak berkuasa dapat membuat pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan siren amaran awal banjir berfungsi dengan baik ketika musim tengkujuh. Katanya, walaupun
Siren amaran banjir hanya berbunyi apabila air sudah sampai pada paras bahaya sudah dapat menjangkakan berlakunya banjir kerana hujan berterusan, tetapi siren amaran awal itu penting sebagai amaran awal kepada penduduk terutama pada waktu malam.
“Sepanjang musim tengkujuh ini, penduduk sudah berdepan dua kali gelombang banjir dan kami harap ia dapat diselenggara sebelum berlaku banjir gelombang ketiga,” katanya.
Terdahulu media melaporkan banjir gelombang kedua menyaksikan hampir 3,000 penduduk yang membabitkan beberapa kampung di sekitar Kampung Limau Kasturi terputus hubungan apabila jambatan yang menjadi laluan utama untuk keluar di perkampungan terbabit ditenggelami air Sungai Kerak.
Penduduk mendakwa air mula melimpahi jambatan Sungai Kerak dalam tempoh tiga jam turut menenggelamkan rumah penduduk yang terletak berhampiran sungai terbabit.
200 hidup kebimbangan
- Admin UKK
- Berita
Lebih 200 penduduk di Kampung Pulau Pisang di sini bimbang dengan hakisan yang menyebabkan tebing sungai di kampung berkenaan runtuh awal bulan ini.
Mereka mendakwa, hakisan itu pertama kali berlaku di kampung berkenaan iaitu pada awal bulan ini selepas banjir teruk dan sehingga ini hakisan terbabit masih aktif.
Sehingga kini, sepanjang 20 meter tebing yang dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) runtuh termasuk dua jeti yang dibina penduduk kampung turut hanyut.
Penduduk, Hanafi Mamat, 66, berkata kejadian hakisan itu adalah pertama kali berlaku sejak dia tinggal di kampung itu selama 20 tahun.
“Selepas banjir baru-baru ini saya dengar dentuman kuat dan terkejut melihat tebing runtuh akibat hakisan. Sehingga kini hakisan itu masih aktif.
“Situasi itu menyebabkan penduduk kampung kini hidup dalam keadaan berdebar memikirkan Kejadian hakisan ini pertama kali berlaku sejak saya tinggal di kampung ini selama 20 tahun kemungkinan hakisan berlaku makin teruk.
“Sebanyak 10 rumah yang tinggal berdekatan tebing sungai berkenaan dan dua rumah sudah dikosongkan dan berpindah di rumah sewa lain disebabkan masalah hakisan berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini.
Hanafi berkata, sehingga kini setiap kali hujan dia akan bimbang dan sentiasa keluar melihat keadaan hakisan yang dijangka semakin teruk.
“Saya berharap pihak JPS mengambil tindakan sewajarnya bagi mengekang masalah hakisan berkenaan,” katanya.
Penduduk, Syed Muhammad Syed Jamaluddin, 62, turut berharap tindakan segera diambil bagi mengelak keadaan semakin teruk.
“Saya bimbang hakisan berlaku semakin teruk sehingga membabitkan jalan di kampung ini kerana apa yang saya lihat, pergerakan masih aktif dan setiap 10 minit ada runtuhan kecil,” katanya.