PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Misi kemanusiaan: Malaysia, Thailand adakan pertemuan dengan pemimpin Myanmar

Misi kemanusiaan: Malaysia, Thailand adakan pertemuan dengan pemimpin Myanmar

NAYPYIDAW: Malaysia dan Thailand mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, hari ini.

Ia sempena lawatan rasmi sehari dalam misi kemanusiaan diketuai kedua-dua negara ke Myanmar yang dilanda gempa bumi pada 28 Mac lalu.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan rakan sejawat dari Thailand, Maris Sangiampongsa, mewakili negara masing-masing pada pertemuan berlangsung di Sin Phyu Taw Hall, di sini.

Usai sesi pertemuan itu, Mohamad dan Moris turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Myanmar, U Than Shwe, di pekarangan kementerian berkenaan di ibu kota.

U Than Shwe sempat menunjukkan sebahagian bangunan kementerian yang runtuh dan rosak akibat bencana alam itu, kepada Mohamad dan Maris ketika sesi pertemuan mereka.

 

Semalam, Kementerian Luar Malaysia memaklumkan lawatan itu menzahirkan komitmen dan kepimpinan proaktif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, untuk menyokong serta membantu Myanmar dalam usaha pemulihan pascagempa bumi.

Mohamad turut mengetengahkan usaha tindak balas bencana yang dikoordinasikan ASEAN dan sumbangan Malaysia, setakat ini, termasuk penugasan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta penghantaran bantuan kemanusiaan.

Pada 30 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Kerajaan Malaysia menyalurkan bantuan kemanusiaan RM10 juta sebagai permulaan kepada Myanmar yang terkesan akibat tragedi bencana alam itu.

Pada hari sama, Malaysia menghantar dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa anggota SMART dengan turut disertai pasukan bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ke Myanmar bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 itu meragut sekurang-kurang 3,145 nyawa, selain 4,589 mangsa cedera dan 221 lagi masih hilang.

Selain itu, ia mengakibatkan kemusnahan teruk di beberapa kawasan termasuk Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing dan Naypyidaw, selain turut menjejaskan Thailand.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search