PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kes rogol dilaporkan berlaku di PPS Kelantan semasa banjir

KOTA BHARU - Satu kes rogol remaja bawah umur dilaporkan berlaku di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di sini semasa banjir pada 2 Disember lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah malam itu membabitkan seorang gadis berusia 15 tahun dan suspek lelaki berusia 23 tahun juga buruh binaan.

“Mangsa dan suspek dikatakan baru berkenalan di PPS terbabit dan dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah stor sekolah yang dijadikan PPS tersebut.

“Perlakuan mereka diketahui abang gadis berkenaan sebelum keluarganya bertindak membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini pada Jumaat.

Menurutnya, susulan itu, lelaki terbabit ditahan pada 6 Disember lalu dan dikenakan perintah tahanan reman selama enam hari bagi membantu siasatan.

“Pada 12 Disember lalu, suspek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan mengaku tidak bersalah.

“Mahkamah menetapkan kes untuk sebutan semula pada 14 Januari ini dan tidak ada jaminan ditawarkan,” katanya.

Mohd Yusoff memberitahu, selain kejadian rogol berkenaan, enam lagi kes jenayah berlaku semasa banjir baru-baru ini membabitkan empat kes pecah rumah dan masing-masing satu kes berkait curi kenderaan serta cabul.

“Tiga kejadian pecah rumah, satu kes curi kenderaan dan satu kes cabul berlaku di Tumpat.

“Satu lagi kes pecah rumah berlaku di Pasir Mas,” katanya.

 

 

Banjir termenung: mangsa di Johor kekal 36 orang

JOHOR BAHRU: Situasi banjir di Johor tidak berubah dengan 36 mangsa daripada 11 keluarga masih berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa berlindung di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak di Segamat, yang dibuka sejak 29 Nov lepas.

“Ini susulan petempatan mereka di Kampung Seberang Batu Badak masih digenangi banjir termenung.

“Selain itu, hanya stesen Sungai Paya Dato di Mersing dilaporkan melebihi paras bahaya dengan bacaan 2.36 meter (trend menurun),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keadaan cuaca di daerah Johor Bahru, Pontian, Segamat, Kluang dan Tangkak dijangka cerah, sementara Muar, Mersing, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Kulai pula diramalkan mendung pagi ini.

— BERNAMA

IFE salur bantuan mangsa banjir Kedah

Lumpur: Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa (IFE) menunjukkan solidariti yang tinggi dengan menyalurkan bantuan komprehensif kepada mangsa banjir di Kedah baru-baru ini.

Di bawah kepimpinan Naib Presiden, Aida Lim Abdullah, yayasan ini bekerjasama rapat dengan Khidmat Malaysia Negeri Kedah untuk melaksanakan inisiatif bantuan kemanusiaan yang meluas.

Sebanyak 500 set pek makanan dan 180 set tilam telah diagihkan kepada kawasan-kawasan yang terjejas termasuk Pokok Sena, Kubang Pasu, Kuala Kedah, Alor Setar, Sik, Jerlun dan Padang Terap.

Menurut Ketua Operasi Khidmat Malaysia Kedah, Mohd Saifuddin Hassan, setiap kawasan yang dikaji dan terjejas, diperuntukkan dengan 30 set tilam, 50 hingga 100 set pek makanan yang mengandungi makanan asas seperti beras dan gula.

Majlis penyerahan bantuan disempurnakan oleh Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya di Bilik Operasi Khidmat Malaysia, Markas Pas Kawasan Pokok Sena.

Hadir sama adalah beberapa wakil kerajaan negeri termasuk Dr Mohd Suffian Yusoff, Ustaz Nurul Amin Hamid, Muhammad Radhi Mat Din dan Rashidi Razak.

MEMORI BENCANA DAHSYAT

Sempena 20 tahun tragedi tsunami, negara yang dilanda bencana itu akan mengadakan upacara keagamaan dan memperingati 220,000 mangsa yang terkorban di sekitar Lautan Hindi, minggu depan.

Upacara Buddha, Hindu, Kristian dan Islam juga akan diadakan untuk memperingati mangsa di seluruh negara kepulauan Asia Selatan.

Upacara itu akan dijangka diadakan di seluruh Indonesia, Sri Lanka, India dan Thailand, yang menjadi negara paling teruk dilanda bencana dahsyat dalam sejarah moden itu.

Pada 26 Disember 2004, ombak tsunami setinggi 30 meter melanda beberapa kawasan memusnahkan kawasan pantai, memecah belah keluarga serta menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal dan membunuh pelancong.

Gempa bumi bermagnitud 9.1 di dasar laut menyebabkan keretakan garis terbesar pernah direkodkan, menyebabkan ‘ombak gergasi’ meluncur ke arah komuniti pantai di sekitar lembangan Lautan Hindi.

Dasar laut terbelah sehingga menolak ombak pada kelajuan dua kali ganda kereta api peluru, melintasi Lautan Hindi dalam beberapa jam tanpa amaran.

Menurut pangkalan data bencana global diiktiraf, EM-DAT, 226,408 orang maut akibat tsunami itu.

Di Indonesia, upacara peringatan diadakan di Banda Aceh dengan beberapa siri upacara bermula dengan tafakur sebelum jam 8 pagi waktu tempatan sebagai simbolik memperingati bencana mengorbankan lebih 160,000 orang.

Hampir 300 terbunuh di Somalia, lebih 100 di Maldives, dan puluhan lagi di Malaysia dan Myanmar.

Mangsa terselamat di Aceh, Baharuddin Zainun, 70, berkata, dia kehilangan seluruh keluarga sekelip mata apabila mereka hanyut dalam kejadian itu.

“Anak, isteri, ayah, ibu dan adik-beradik hanyut.

“Tragedi sama turut dirasai orang lain. Kami merasakan perasaan sama (kehilangan insan tersayang),” katanya.

Pegawai kerajaan, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai akan melawat kubur besar di Banda Aceh, di mana hampir 50,000 jenazah dikebumikan, sebelum solat berjemaah di masjid besar kota itu.

Di Sri Lanka, di mana lebih 35,000 orang terbunuh, sebuah kereta api ekspres dibadai ombak gergasi 20 tahun lalu, sudah dibina semula dan dijangka bergerak dari ibu kota Colombo ke tempat sama di Peraliya di mana ia terkeluar dari landasan.

Satu upacara keagamaan ringkas diadakan bersama saudara-mara mereka yang maut akibat kejadian mengorbankan kira-kira 1,000 penumpang serta penduduk menaiki kereta api selepas ombak pertama menenggelamkan kawasan rendah di situ.

Di Thailand, merekodkan angka rasmi lebih 5,000 terbunuh dengan separuh daripadanya pelancong asing dan 3,000 hilang, ratusan orang dijangka menghadiri upacara peringatan kerajaan pada 26 Disember ini.

 

68 mangsa pindah ke PPS

Seramai 68 mangsa membabitkan 14 keluarga terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan banjir yang menenggelamkan Kampung Sungai Bedaun, Samariang, di sini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, kampung berkenaan dinaiki banjir jam 10.30 malam kelmarin susulan hujan lebat yang berlaku sejak petang kelmarin.

Beliau berkata, kejadian itu menjejaskan 12 kediaman yang dihuni 14 keluarga.

“Mangsa dipindahkan membabitkan 33 lelaki dan 35 wanita termasuk 14 daripadanya adalah kanak-kanak lelaki dan 14 kanak-kanak perempuan,” katanya.

Setakat jam 9.30 pagi semalam, banjir sudah surut namun pemantauan terus dijalankan berikutan hujan berterusan di sekitar bandar raya ini namun tidak lebat.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search