PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

JPS akan segera baik pulih tebing Sungai Kelantan

KOTA BHARU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melaksanakan kerja-kerja baik pulih segera tebing runtuh di Sungai Kelantan belakang kondominium Pelangi Mall, Jalan Pasar Lama di sini bermula Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, pemakluman berhubung perkara itu disahkan oleh Pengarah JPS Kelantan, Dr Siti Fairus Zakaria melalui panggilan telefon.

“Saya dapat bercakap dengan Pengarah JPS Kelantan pagi ini dan beliau mengesahkan pelaksanaan kerja-kerja darurat iaitu baik pulih secepat mungkin akan dilakukan bagi mengelak runtuhan lebih teruk.

“Saya yakin tindakan akan dilakukan oleh JPS dengan mengikut prosedur operasi standard sama ada menggunakan teknik pemasangan jaring atau sebagainya serta akan melibatkan pakar,” katanya selepas menerima petisyen daripada Persatuan Penduduk Pelangi Mall yang memohon tindakan segara kerja-kerja pembaikian di tempat tebing runtuh di sini pada Isnin.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pelangi Mall, Foo Chek Yee, berkata, sedikit lega dengan makluman itu selepas tertunggu-tunggu selama seminggu kejadian tebing runtuh sepanjang kira-kira 70 meter pada 16 Disember lalu.

Chek Yee memberitahu, seramai 1,600 penghuni di 420 unit kondominium itu bimbang kejadian runtuhan berulang dan lebih teruk kerana berada sangat hampir sekitar lima meter dari kawasan tempat letak kereta bertingkat serta loji kumbahan.

“Selebihnya 448 unit ialah lot kedai dan hotel yang semuanya risau keadaan menjadi lebih buruk jika tindakan membaik pulih tidak dilakukan dengan cepat.

“Ada penduduk yang sudah pun berpindah dan menumpang di rumah keluarga di tempat lain kerana berasa sudah tidak selamat untuk tinggal di kondominium 23 tingkat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Lanskap Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam, Muhammad Faizuddin Muhammad Fadzil berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis pengosongan kepada penjaja di sekitar kawasan kaki lima tebing sungai di belakang kondominium itu.

“Mesyuarat diadakan pada Ahad dan memutuskan untuk memberi notis kepada kira-kira 40 peniaga supaya mengosongkan kawasan di tebing sungai ini.

“Notis akan dikeluarkan kepada mereka dalam tempoh minggu ini,” katanya. Kejadian lalu itu turut menyebabkan laluan pejalan kaki runtuh pada ketinggian hampir 10 meter.

Kawasan tarikan pelancong itu juga diisytihar sebagai kawasan bencana oleh Kerajaan Kelantan sebelum ini.

Banjir: KDN jangka kumpul 150,000 naskhah al-Quran rosak untuk dilupuskan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjangkakan mengumpul kira-kira 150,000 naskhah al-Quran rosak akibat banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk dilupuskan mengikut syarak.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof berkata setakat ini 55,000 naskhah telah dikumpulkan dengan hampir separuh daripadanya di negeri ini khususnya di daerah Tumpat, Pasir Mas dan Bachok yang mempunyai lima pusat pengumpulan.

Beliau berkata inisiatif itu digerakkan menerusi program Jom Exchange al-Quran (JEQ) menerusi kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Jabatan Mufti Kelantan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta pihak berkuasa tempatan.

“Inisiatif ini dimulakan sejak 4 Dis lepas dan dijangka berakhir sehingga selesai Monsun Timur Laut (MTL) dengan kita juga mewujudkan pusat pengumpulan al-Quran di daerah terjejas banjir,” katanya kepada pemberita pada Program JEQ dan solidariti mangsa banjir di Masjid Taman Maka Utama, di Pasir Mas hari ini.

Nik Yusaimi berkata terdapat beberapa kaedah untuk melupuskan al-Quran mengikut syarak termasuk kaedah pengeringan dengan abunya dibentuk menjadi kiub sebelum dilepaskan di tengah laut.

“Selain itu, terdapat pelupusan menerusi kaedah dinyahdakwatkan melibatkan proses menghilangkan dakwat al-Quran sebelum kertas dihancurkan serta dikitar semula untuk dijadikan kulit naskhah al-Quran dan sebagainya.

“Berdasarkan pemerhatian, program ini mendapat sambutan menggalakkan komuniti setempat yang terjejas banjir kerana mereka menerima naskhah al-Quran baharu diperakui KDN secara percuma bagi menggantikan yang rosak,” katanya.

Nik Yusaimi mendapati masih ada segelintir pihak melupuskan al-Quran menerusi kaedah yang tidak mengikut syarak termasuk mengambil mudah dengan melupuskan kitab itu di tempat kitar semula.

“Kita berharap tindakan ini dihentikan, malah kerjasama semua diperlukan termasuk komuniti dan pengusaha pusat kitar semula supaya menghormati serta memuliakan naskhah al-Quran," katanya.

- Bernama

 
 

Kakitangan Parlimen Malaysia bantu mangsa banjir di Jeniang, Kedah

KUALA LUMPUR: Enam buah kenderaan pacuan empat roda membawa lebih 15 sukarelawan terdiri daripada warga kerja Parlimen Malaysia memulakan konvoi ke Jeniang, Kedah hari ini bagi menyampaikan misi bantuan pasca banjir di sekitar kawasan berkenaan.
 
Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan misi bantuan yang digerakkan oleh Kelab Kebajikan dan Sukan Parlimen Malaysia (KESPA) itu akan menyampaikan barangan keperluan harian serta membantu membersihkan kediaman mangsa yang terjejas akibat banjir.
 
"Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Datuk Johari Abdul akan turun padang bersama-sama dengan Skuad Sukarelawan Parlimen Malaysia yang diketuai Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman.
 
"Pelaksanaan misi bantuan ini selaras dengan hasrat Parlimen Malaysia untuk "Merakyatkan Parlimen" melalui pendekatan turun padang serta menyantuni masyarakat melalui program dan aktiviti libat urus," kata kenyataan itu.
 
Terdahulu, perlepasan konvoi berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian (Pengurusan) Parlimen Malaysia Riduan Rahmat di perkarangan lobi Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran.
-- BERNAMA
 

Penduduk mohon percepatkan projek tebatan banjir Sungai Temin dan Sungai Bata

CHANGLUN, 23 Disember-Penduduk daerah Kubang Pasu menggesa agar Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Temin dan Sungai Bata di daerah berkenaan disiapkan segera.

Menurutnya, RTB tersebut merupakan keperluan yang mendesak berikutan setiap kali berlaku hujan lebat berterusan, beberapa kawasan seperti Changlun, Napoh, Kampung Bata dan Jitra dilanda banjir.

Salah seorang suri rumah, Robiah Ahmad menyifatkan barangan dan alatan perabot rosak akibat banjir yang memenuhi rumah penduduk.

"Banjir hari itu teruk daripada kebiasaan sehingga memasuki rumah. "Banyak barangan dan alatan perabot rosak", jelasnya.

Sementara itu, Ketua UMNO bahagian kubang Pasu, Datuk Aminuddin Omar memohon agar Projek Rancangan Tebatan Banjir dapat disiapkan segera agar kesan susulan akibat banjir dapat diminimumkan.

"Masalah dapat diselesaikan atau sekurang-kurangnya meminimumkan mangsa banjir.

"Kita berharap agar projek tebatan banjir ini dapat disiapkan segera". katanya demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Pasca Banjir daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada 100 penduduk yang terlibat di sini.

Daerah Kubang Pasu antara daerah  yang terjejas teruk dalam kejadian banjir baru baru ini selain Kota Setar, Pokok Sena dan Padang Terap.

JPS mulakan kerja pulih tebing Sungai Kelantan

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memulakan kerja darurat di tebing Sungai Kelantan yang runtuh berhampiran sebuah kondominium dan hotel di Jalan Post Office Lama, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim, berkata beliau sudah menghubungi Pengarah JPS Kelantan, Dr Siti Fairus Zakaria memaklumkan kebimbangan orang ramai, terutama penghuni kondominium Pelangi Mall berhubung insiden itu.

“Lokasi kejadian amat hampir dengan bangunan Pelangi Mall yang menggusarkan penduduk dan mereka tertanya-tanya apa langkah seterusnya.

“Saya sudah bercakap dengan Pengarah JPS pagi ini (semalam) dan beliau sahkan satu kerja pelaksanaan kerja darurat untuk memperbaiki atau menahan tebing runtuhan menjadi lebih teruk akan dilaksanakan hari ini mengikut tatakelola.

“Diharapkan kerja darurat itu akan siap secepat mungkin bagi mengurangkan kebimbangan orang ramai, terutama 1,600

penghuni di kondominium Pelangi Mall yang setiap hari hidup dalam kebimbangan sejak hari pertama kejadian runtuhan tebing itu,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, di sini semalam.

Media baru-baru ini melaporkan satu runtuhan sepanjang hampir 50 meter dikesan di tebing Sungai Kelantan yang menyebabkan laluan pejalan kaki dan rekreasi turut runtuh pada ketinggian hampir 10 meter.

Sementara itu, Penolong Pengarah Landskap Majlis Perbandaran Kota Bharu, Muhammad Faizuddin Muhammad Fadzin, berkata pihaknya akan mengeluarkan notis mengosongkan premis perniagaan di sekitar kawasan terbabit dalam masa terdekat.

Beliau berkata, notis pengosongan premis perniagaan akan diserahkan kepada kira-kira 40 peniaga berhampiran lokasi itu bagi tujuan keselamatan.

Selain itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pelangi Mall, Foo Chek Yee, berharap kerja pembaikan tebing runtuh itu dapat dilakukan segera kerana hampir 1,600 penghuni kondominium terbabit bimbang kejadian yang berlaku sebelum ini.

“Kondominium ini sudah beroperasi sejak 15 tahun lalu dan ini kali pertama kejadian runtuhan tebing berlaku, sedikit sebanyak merisaukan kami,” katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search