KUALA TERENGGANU: Tiga daerah di negeri ini dilanda banjir gelombang ketiga menyebabkan seramai 651 daripada 177 keluarga dipindahkan setakat jam 8 pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kemaman menjadikan keseluruhan 17 di tiga daerah termasuk Besut dan Hulu Terengganu.
Sebanyak 11 PPS di Hulu Terengganu menempatkan 111 keluarga membabitkan mangsa 412 orang.
"Di Besut, lima PPS menempatkan 228 orang daripada 61 keluarga manakala di Kemaman satu PPS dibuka menempatkan 11 mangsa daripada satu keluarga.
Sementara itu, laman web public InfoBanjir banjir menunjukkan Sungai Telemong di Kampung Kuala Ping (F1), Hulu Terengganu melepasi paras bahaya iaitu 20.92 meter berbanding 19.70 meter.
Kuala Berang: Hujan berterusan sejak kelmarin mengakibatkan banjir sedalam 1.5 hingga dua meter (m) di perkarangan Madrasah Addinniah Azzakiah (MAA) Kampung Lubuk Periuk, dekat sini.
Pengasasnya, Zaki Masur, 48, berkata, air mula memenuhi perkarangan madrasah itu kira-kira 10 pagi, sebelum semua pelajar melakukan persiapan untuk berpindah.
Zaki berkata, berikutan kejadian itu, 50 pelajar berusia antara 13 hingga 70 tahun dipindahkan ke sebuah bangunan tinggi di madrasah berkenaan.
Menurutnya, hujan lebat sejak kelmarin mengakibatkan berlakunya limpahan air Sungai Peneh, yang hampir memasuki 50 pondok dihuni pelajar dan tenaga pengajar madrasah.
"Alhamdulillah, semua pelajar akan diarahkan berpindah sekiranya berlaku banjir dan mereka ditempatkan di tingkat atas bangunan dewan makan.
"Apabila mereka berlindung di dewan makan, ia memudahkan pihak pengurusan untuk menyediakan hidangan kepada semua pelajar kerana kesemua peralatan dan bahan memasak sudah tersedia," katanya.
Menurutnya, sejak lima tahun kebelakangan ini, banjir semakin kerap berikutan Sungai Peneh yang terletak hanya dua m daripada madrasah, semakin cetek.
Katanya, berikutan sering dilanda banjir, pihaknya sentiasa membuat persiapan awal bagi menghadapi bencana itu terutamanya dalam aspek keselamatan pelajar.
Tambahnya, langkah berpindah awal sekiranya banjir akan menjimatkan masa serta tenaga berbanding berpindah selepas paras air meningkat tinggi.
"Apabila berlaku banjir, biasanya kayu-kayu yang digunakan untuk pembinaan pondok-pondok tambahan akan hanyut dan itu yang menjadi sedikit kerugian buat kami.
"Bagaimanapun, bukan semua yang dihanyutkan air kerana sebahagian kayu sudah dialihkan ke tempat yang lebih tinggi dan selamat bagi mengelak kerugian yang lebih besar," katanya.
SUNGAI BULOH: Dinding sebuah kolam tadahan berhampiran Taman Seri Alam, Saujana Alam pecah pada Ahad, menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan tersebut.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Beliau berkata, Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Saujana Utama menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 5.15 petang.
Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 882 mangsa pagi ini berbanding 651 orang, malam tadi.
Kesemua mangsa membabitkan 267 keluarga itu ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara (PPS).
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga pagi ini, tiga daerah dilanda banjir iaitu Machang, Kuala Krai dan Tanah Merah.
Tanah Merah merekodkan mangsa paling ramai iaitu 633 mangsa membabitkan 208 keluarga yang berada di 13 PPS.
KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Kelantan dan Terengganu semakin buruk dengan peningkatan jumlah mangsa yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi.
Di Kelantan, berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak 19 PPS diaktifkan di Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai.
Pemindahan ke PPS itu melibatkan 882 mangsa daripada 267 keluarga.
Sementara itu, di Terengganu jumlah mangsa terjejas meningkat dengan ketara kepada 659 mangsa daripada 178 keluarga berbanding 112 orang daripada 37 keluarga malam tadi.
17 PPS dibuka melibatkan tiga daerah, Besut, Hulu Terengganu, dan Kemaman. Selain itu, satu PPS dibuka di Semporna, Sabah menempatkan 71 mangsa daripada 12 keluarga.