ARAU: Pembinaan bangunan atau tapak sekolah baharu selepas ini perlu dilaksanakan di kawasan yang selamat dan tinggi bagi mengelakkan sebarang gangguan sekiranya berlaku bencana seperti banjir.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut adalah berikutan kawasan sekolah kebiasaan akan dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa-mangsa terjejas.
Katanya, perkara ini perlu diberikan perhatian penuh dengan pemilihan lokasi selamat bagi pembinaan bangunan dan tapak sekolah baharu tersebut.
“Selain itu, ke hadapan kelak, kita juga ambil pendekatan di mana soal penyelenggaraan juga mestilah disegerakan dan bantuan akibat bencana juga mesti disegerakan.
“Malah persiapan untuk masuk ke sekolah pasca banjir juga perlu diberikan perhatian sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas Program Ziarah Madani Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Zon Utara Tahun 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arau, di sini, hari ini.
Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan infrastruktur pendidikan susulan daripada perubahan iklim negara ketika ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan mengambil pendekatan untuk melihat perkara berkenaan dengan lebih jauh bagi memastikan setiap sekolah sentiasa terus berada dalam keadaan kondusif.
“Pasca banjir dan perubahan iklim memang beri kesan secara langsung. Bila banjir ia akan menyebabkan gangguan kepada sistem pendidikan berikutan bencana turut beri kesan pada guru serta murid-murid,” katanya.
Sementara itu, Fadhlina berkata. program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) yang diperkenalkan di 15 buah sekolah setakat ini, terus mendapat permintaan daripada ibu bapa dan komuniti selepas berjaya melahirkan ramai golongan huffaz selain sebagai usaha menegakkan syiar Islam di negara ini.
Setelah 10 tahun TMUA diperkenalkan, seramai 7,075 murid hafiz al-Quran direkodkan.
Beliau berkata, impak pelaksanaan TMUA dalam sistem pendidikan negara sangat besar khususnya dengan keupayaan sekolah menyediakan pengajian bagi program tersebut. – UTUSAN
RANTAU PANJANG: Banjir termenung yang masih menghantui penduduk di Kampung Tersang di sini, menyebabkan mereka berdepan bau basuk selain terdedah kepada penyakit bawaan air.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kawasan rumah penduduk masih digenangi air sedalam 0.3 meter dan memburukkan lagi keadaan air di kawasan berkenaan yang sebelum ini jernih bertukar keruh serta berwarna hitam.
Seorang penduduk, Zubaidah Awang Senik berkata, situasi itu menyebabkan mereka terpaksa memakai kasut getah bagi mengelakkan kegatalan pada kulit.
“Ketika ini kami terpaksa mengharungi air banjir yang busuk dan berwarna hitam untuk pulang ke rumah kerana laluan masih belum dapat dilalui oleh kenderaan ringan.
“Nak guna bot pun tidak boleh, kerana paras air yang terlalu cetek,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Zubaidah berkata, keadaan itu turut dikhuatiri membahayakan kesihatan penduduk dengan terdedah kepada risiko-risiko lain termasuk demam denggi.
Sementara itu, Mohd. Nordin Yusof, 53, berkata, penduduk terpaksa membina titi bagi memudahkan urusan selain mengelakkan daripada mengharungi air banjir termenung yang kotor.
Katanya, disebabkan arus yang perlahan, penduduk turut berdepan dengan ancaman lintah dan cacing. – UTUSAN
JERANTUT: Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dua minggu lalu, seorang Exco Kerajaan Negeri Pahang menjelaskan Jalan Jerantut-Kuala Tahan di Paya Garok, Padang Piol dan Sungai Retang di Jerantut akan dinaik taraf dalam Roling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan sudah diangkat kepada Kementerian Kerja Raya.
Pelan projek itu masih dalam penambahbaikan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dijangka bermula tahun depan. Ia sudah tentu memberi kelegaan khususnya penduduk apabila kemudahan yang dinantikan sejak lebih 40 tahun lalu bakal direalisasikan.
Namun tempoh lebih 40 tahun untuk melihat pembangunan menaik taraf jalan raya di Paya Garok melalui petempatan pesisir Sungai Pahang dan Sungai Tembeling, seolah-olah menanggung kesengsaraan dengan linangan air mata rakyat di pesisir Sungai Tembeling dan Sungai Pahang setiap kali berdepan banjir.
Perasaan kecewa dan bosan rakyat apabila setiap kali jalan Paya Garok ditenggelami banjir akibat limpahan air Sungai Pahang menyebabkan beberapa hari terputus hubungan dua hala, iaitu ke bandar Jerantut dan kawasan perkampungan Tembeling Tengah, Ulu Tembeling dan Felda.
Begitu juga timbul rungutan dan sengsara setiap kali berlaku banjir menyebabkan Jalan Jerantut-Kuala Tembeling-Lipis terputus hubungan sehingga pengusaha dan petani berdepan kesukaran untuk membawa hasil kampung ke bandar terdekat serta terkandas perhubungan kenderaan ke daerah lain.
Rakyat di situ juga masih menunggu pembinaan kemudahan awam lain seperti sekolah berasrama penuh, Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Pemeriksaan Kenderaan (Puspakom), naik taraf kemudahan pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan, Ulu Tembeling dan pembangunan bandar Jerantut sendiri.
Hakikatnya, Jerantut agak terkebelakang dari segi pembangunannya. Justeru, segala perancangan yang dibuat perlu dilaksanakan segera bagi memenuhi keselesaan dan kebajikan rakyat.
Penduduk khususnya generasi hari ini tidak mahu lagi melihat Jerantut ketinggalan pembangunan seperti tahun 70-an dan 80-an lalu sedangkan jiran atau daerah berdekatan sudah ke hadapan dengan pelbagai kemudahan pendidikan, ekonomi dan sosial.
Kita sama-sama tunggu projek menaik taraf Jalan Paya Garok dan tempat lain menjelma dalam masa terdekat supaya rakyat tidak lagi ‘sengsara’ khususnya apabila tengkujuh tiba. – UTUSAN
BANJIR yang melanda Pantai Timur dan beberapa negeri lain baru-baru ini kian pulih.
Namun tidak bermakna Monsun Timur Laut (MTL) telah tamat kerana Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan tempoh MTL yang bermula 5 November lalu akan berakhir pada Mac 2025.
Dijangka lima hingga tujuh episod hujan lebat lagi akan berlaku sepanjang tempoh itu.
Menerusi Laporan Khas Impak Banjir Di Malaysia memaklumkan negara mengalami kerugian RM755.4 juta akibat banjir pada tahun 2023.
Nilai kerugian tersebut meliputi kerosakan tempat kediaman RM168.3 juta; kenderaan (RM22.3 juta), premis perniagaan (RM53.2 juta); pembuatan (RM10.3 juta); industri pertanian (RM120.6 juta) serta aset awam dan infrastruktur (RM380.7 juta).
Kerajaan Kelantan pula 12 Disember lalu melaporkan negeri itu rugi lebih RM30 juta melibatkan semua infrastruktur termasuk jalan dan sekolah dengan jumlah itu masih lagi di peringkat awal.
Kerugian akibat banjir tidak boleh dielakkan, namun boleh dikurangkan dengan mangsa membuat persediaan awal menyelamatkan harta benda terlebih dahulu.
Sinar Harian pada Jumaat lepas melaporkan, Mek Mani Kadir, 64, dari Kampung Permaisuri, Setiu, Terengganu menggantung setiap katil pada alang rumah elak rosak terkena banjir.
Ternyata tindakan luar kotak warga emas itu berjaya menyelamatkan harta bendanya di saat dia dan keluarga berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
Bahkan, Mek Mani turut bersedia lebih awal dengan menyewa jengkaut membuat parit di sekeliling rumah untuk mengelak kejadian banjir termenung di sekitar rumahnya.
Tindakan membina rumah rakit yang telah banyak dibuat menyelamatkan barangan dan harta benda, langkah kreatif patut dicontohi.
Sebagai contoh, tahun lalu seorang mekanik di Kampung Padang Licin, Rantau Panjang, Kelantan membina rumah rakit menggunakan 15 tong air berjaya menyelamatkan peralatan bengkel kereta miliknya bernilai RM50,000 daripada musnah.
Rakit yang dialas dengan papan itu juga dapat menampung lebih 10 tan peralatan termasuk mesin kimpal bernilai RM4,000 daripada ditenggelami banjir.
Sementara itu, seorang penduduk Mohd Sulong, 73, dari Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu berjaya selamatkan ayam ternakannya mati selepas membina reban rakit.
Beliau berkata, pengalaman pahit rugi ribuan ringgit selepas ternakan dihanyutkan air banjir tahun sebelumnya memaksanya menyiapkan reban rakit dengan kos kira-kira RM500 menggunakan kayu terpakai, papan serta tong jerikin sebagai pelampung.
Baru-baru ini di aplikasi TikTok pula, seorang lelaki membuat video menunjukkan dia memasukkan keretanya ke dalam plastik besar sebelum mengikat kemas di garaj rumahnya selepas tidak sempat mengalihkan ke lokasi lain. Alhamdulillah keretanya selamat tidak dimasuki air selepas berbuat demikian.
Tahu sajalah jika kereta tenggelam banjir, kos baiki boleh cecah puluhan ribu ringgit dan tidak akan sempurna seperti asal jika kereta itu yang memiliki banyak peralatan elektronik.
Penggunaan plastik ini juga boleh digunakan menyimpan motosikal dan peralatan elektrik seperti televisyen, mesin basuh dan peti sejuk.
Langkah berikutnya, terpulanglah kepada individu terbabit untuk meletakkan dan menyusunnya di mana, asalkan plastik tidak bocor.
Bencana banjir juga sering kali menyebabkan dokumen rosak akibat basah. Apa kata, selain berusaha menyimpannya di tempat tinggi, dokumen ini boleh di simpan di dalam beg vacum atau siapkan awal dengan mengambil langkah laminate dokumen agar tidak terkena air.
Pengalaman penulis sendiri, berhadapan banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 2022 lalu, ialah semua komuniti perumahan apartmen sepakat menaikkan ruang penumpang lif ke paras tinggi bagi mengelak kerosakan lebih teruk kemudahan tersebut.
Hasilnya kerosakan lif dapat di minimumkan akibat bencana banjir.
Jadi, rakyat Malaysia yang berada di wilayah terdedah banjir, sentiasalah berwaspada dengan amaran banjir.
Lakukanlah apa yang difikirkan terbaik dengan membuat persediaan awal menyelamatkan harta benda dan juga nyawa anda.
KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan sedang merangka pelan tindakan pemulihan tebing Sungai Kelantan di Jalan Post Office Lama yang runtuh, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin, berkata JPS sudah mengadakan lawatan segera ke lokasi berkenaan bagi menilai situasi.
“JPS sudah mengadakan lawatan segera ke lokasi bagi menilai situasi dan kini sedang merangka pelan tindakan pemulihan tebing berkenaan.
“Selain itu, agensi-agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Galian Galian (PTG) juga akan terbabit dalam usaha tindakan susulan bagi memastikan langkah pemulihan dapat dijalankan dengan cekap dan berkesan.
“Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dan mengelakkan kawasan berkenaan buat sementara waktu sehingga kerja-kerja pemulihan selesai,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Semalam, dilaporkan satu runtuhan sepanjang hampir 50 meter dikesan di tebing Sungai Kelantan.
Runtuhan itu berlaku waktu tengah hari menyebabkan laluan pejalan kaki dan rekreasi turut runtuh pada ketinggian hampir 10 meter.
Susulan runtuhan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melakukan pemantauan berkala di lokasi runtuhan tebing berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kelantan, Mohd Wildan Azhari dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengarahkan pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu untuk membuat pemantauan kerana dikhuatiri berlaku pergerakan tanah susulan kejadian itu.