Jumlah mangsa banjir di Perak pagi ini kekal
- Admin UKK
- Berita
TELUK INTAN: Mangsa banjir di Perak pagi ini kekal 470 orang daripada 145 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah.
Jumlah terbabit tidak berubah berbanding yang direkodkan jam 12 tengah malam tadi.
Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak setakat jam 8 pagi, menunjukkan Hilir Perak paling teruk terjejas dengan 316 mangsa (102 keluarga) ditempatkan di tiga PPS, diikuti daerah Kerian yang merekodkan 154 mangsa (43 keluarga) dipindahkan ke dua PPS.
Di Hilir Perak, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak (dibuka 23 Oktober lalu), PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap (dibuka 1 November lalu), dan PPS Dewan Serbaguna Chikus (dibuka semalam) masih aktif.
Di Kerian, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak (dibuka 24 Oktober lalu) dan PPS SK Alor Pongsu (dibuka 30 Oktober lalu) juga berstatus aktif.
"PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 163 orang (51 keluarga), PPS Dewan MPTI Langkap 140 orang (45 keluarga), manakala PPS Dewan Serbaguna Chikus mencatatkan sejumlah 13 mangsa (enam keluarga).
"PPS SK Changkat Lobak pula dihuni 97 mangsa (24 keluarga), sementara baki 57 mangsa (19 keluarga) ditempatkan di PPS SK Alor Pongsu," katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong dekat sini mencecah 4.30 meter (m), melepasi paras bahaya 3.50m.
Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula berada pada paras berjaga-jaga apabila merekodkan bacaan 13.36m (paras berjaga-jaga bagi Sungai Kinta, 13m).
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut melaporkan penutupan jalan persekutuan di beberapa daerah berikutan situasi banjir semasa.
Di Kerian, FT147 Jalan Selama ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan kenaikan paras air di jalan terbabit, pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.
Di Hilir Perak, A129 Jalan Langkap-Air Hitam dipasang papan amaran sementara, penggunaan diminta menggunakan jalan alternatif FT058.
Di Batang Padang, JKR Perak sedang menyegerakan kerja-kerja pembaikan bahu jalan di FT1152 FELDA Trolak Selatan yang runtuh memandangkan ia adalah jalan utama. Jalan dibuka satu lorong untuk kenderaan ringan sahaja.
Di Selama, JKR Perak sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di A021 Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan dan jalan dibuka untuk semua kenderaan. Bagi mengelakkan kesesakan, pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.
Di Batang Padang, pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) sudah dibuat oleh JKR Perak FT001 Jalan Ipoh-Tanjung Malim dengan jalan dibuka satu lorong kepada semua kenderaan. - BERITA HARIAN