PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Mangsa banjir Dengkil terima RM95,355 bantuan Agihan Rahmah

Mangsa banjir Dengkil terima RM95,355 bantuan Agihan Rahmah

DENGKIL: Seramai 432 mangsa banjir yang berlindung di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini menerima sumbangan keseluruhan bernilai RM95,355 menerusi Program Agihan Rahmah.

Program Agihan Rahmah itu diselaraskan beberapa agensi dan jabatan di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata, sumbangan berbentuk wang tunai, makanan kering, lampin bayi, keperluan wanita dan barangan keperluan harian itu diagihkan di tiga PPS masing-masing di Dewan SMK Dengkil, Dewan Orang Ramai Jenderam Hilir dan Dewan Dato’ Ahmad Razali.

Beliau berkata, antara agensi menyumbang termasuk Yayasan Taqwa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPeim) dan Tabung Haji.

“Petang ini saya hadir menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir dari tiga buah kampung di Dengkil terutama dari Kampung Sri Tanjung dan Kampung Chemperai.

“Kita akan memastikan agensi dan jabatan agama menjadi pendahulu dan sentiasa prihatin dengan musibah dihadapi rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Program Agihan Rahmah di PPS Dewan SMK Dengkil, di sini petang tadi.

Katanya, beliau sempat menyantuni mangsa banjir di sini selain memberikan kata-kata semangat kepada mereka supaya kekal tabah menghadapi ujian.

Mohd Na’im berkata, beliau difahamkan, PPS Dewan SMK Dengkil ini didiami pelbagai latar belakang agama dan bangsa dan mereka dilihat saling membantu antara satu sama lain.

Selain itu, katanya, beliau juga dimaklumkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyumbang bantuan bernilai RM40,000 kepada mangsa banjir di tiga PPS berkenaan.

Tinjauan di PPS Dewan SMK Dengkil mendapati, mangsa banjir ditempatkan di PPS itu sejak Ahad lalu susulan banjir melanda daerah ini. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search