JKM Pahang sedia 856 PPS hadapi Monsun Timur Laut
- Admin UKK
- Berita
KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menyediakan 856 pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula Sabtu ini hingga Mac tahun depan.
Pengarahnya, Siti Nor Hasma Mat Isa, berkata PPS yang disediakan mampu menempatkan lebih 166,295 mangsa banjir yang dilengkapi pelbagai kemudahan bagi keselesaan mereka.
Beliau berkata, selain dewan serbaguna dan sekolah, turut dijadikan PPS ialah balai raya dan surau dengan setiap PPS mampu menempatkan antara 200 hingga 2,000 mangsa pada satu-satu masa.
Katanya, daerah ini mencatat jumlah PPS terbanyak dengan 125 PPS, diikuti Jerantut (107), Pekan (102), Raub (97), Temerloh (95), Lipis (86), Maran (76), Bentong (48), Bera (41), Rompin (39) dan Cameron Highlands, 37 PPS.
"Setiap mangsa banjir dibekalkan barangan makanan dan keperluan lain seperti selimut, kain, tuala, tikar, makanan sedia, lampin pakai buang dan sabun.
"Saya berharap mereka yang tinggal di kawasan rendah dan mudah berlaku banjir segera berpindah jika diarahkan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian buruk. Mereka yang terbabit perlu berpindah pada waktu siang bagi memudahkan pihak berkuasa menyediakan kemudahan diperlukan seperti bot dan kenderaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiring Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan melawat Depoh Simpanan Keperluan Bencana JKM Pahang, di sini, semalam.
Siti Nor Hasma berkata, sebanyak 455 sekolah dijadikan PPS, dewan (317), masjid dan surau (56), pusat aktiviti awam (10), bangunan awam (sembilan) dan institut pengajian tinggi (lapan).
Katanya, seramai 368 pegawai dan kakitangan JKM daerah dan negeri akan bertugas 24 jam jika banjir berlaku, dengan dibantu lebih 1,017 sukarelawan ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Seramai 14 kaunselor dan pegawai psikologi turut menjalankan tugas sepanjang musim tengkujuh.-BERITA HARIAN