OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Emosi penduduk Putra Heights terjejas

PETALING JAYA: Penantian berlarutan terhadap pembenta­ngan laporan akhir siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights tahun lalu bukan sahaja menguji kesabaran penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, malah meninggalkan kesan emosi mendalam.

Setiausaha Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Su­ngai Baru, Mohd. Badly Nordin berkata, tempoh menunggu terlalu lama menyebabkan penduduk kini hanya mampu pasrah dan reda.

Menurutnya, penduduk juga risau isu keselamatan.

“Penantian yang terlalu lama ini menyebabkan kami sudah tidak tahu apa lagi yang mahu diharapkan, malah majoriti penduduk kini hanya mampu pasrah dan reda dengan kea­daan semasa.

“Harapan kami sekarang ha­nya mahu melihat kerajaan le­bih jujur dan telus mempercepat pembentangan laporan ini.

“Tolong jangan biarkan nasib kami terus tergantung tanpa kesudahan kerana ini melibatkan soal keselamatan dan ketenteraman jangka panjang komuniti kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Katanya, laporan siasatan yang dikendalikan oleh jawatankuasa bebas itu telah siap sepenuhnya sejak Januari lalu kemudiannya dibentangkan kepada Petronas sebelum dikemukakan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pada April.

Bagaimanapun, selepas la­poran itu bertukar-tukar ta­ngan selama berbulan-bulan, penantian penduduk kembali tergantung apabila laporan itu didakwa terpaksa dihantar semula kepada agensi Kerajaan Persekutuan untuk semakan lanjut.

Mengulas mengenai kenya­taan Menteri Besar Selangor sebelum ini yang menyatakan pendedahan laporan belum dapat dimuktamadkan akibat tuntutan penduduk, dia me­negaskan isu itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk melengahkan masa.

“Sebahagian besar penduduk kampung mengambil keputusan untuk menolak tawaran pampasan awal daripada Petronas disebabkan wujudnya syarat ketat yang menyekat hak mereka untuk mengambil tindakan undang-undang pada masa hadapan.

“Oleh itu, menerusi Pertubuhan Kebajikan Penduduk, kami kini dalam fasa akhir menyiapkan dokumentasi bersama peguam untuk menuntut ganti rugi penuh yang sepadan dengan jumlah nilai kerugian harta benda yang kami alami,” kata­nya.-UTUSAN

Sibu rujuk Amsterdam tangani cabaran pengurusan air dan banjir

SIBU, 11 Julai: Kerajaan Sarawak mendapatkan pandangan pakar antarabangsa dengan menjadikan Amsterdam, sebagai rujukan dalam merangka pembangunan semula Sibu, terutama dalam menangani isu pengurusan air dan banjir.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Amsterdam dipilih sebagai rujukan kerana mempunyai cabaran geografi berkaitan air yang hampir sama dengan Sibu, walaupun kedua-duanya berdepan persekitaran berbeza iaitu laut dan sungai.

Beliau berkata, pengalaman Belanda dalam mengurus sistem air dan perancangan bandar akan dikaji bagi membantu Sarawak membangunkan Sibu secara lebih mampan serta bersedia menghadapi kesan perubahan iklim.

“Jika dibandingkan antara Amsterdam dan Sibu, walaupun kedua-duanya mempunyai perbezaan dari segi kedudukan geografi iaitu Amsterdam berhadapan dengan laut manakala Sibu berkembang berasaskan sistem sungai, kedua-dua kawasan mempunyai persamaan dari segi keperluan pengurusan air dan risiko banjir.

Oleh itu, pendekatan pembangunan semula Sibu perlu mengambil kira penyelesaian bersepadu, termasuk sistem saliran, pengurusan sungai serta pembinaan saluran air yang lebih sistematik. Sebagai contoh, kawasan seperti Bukit Assek kini menghadapi cabaran kepadatan pembangunan yang tinggi serta isu keselesaan penduduk, selain masalah air bertakung dan kejadian banjir yang perlu ditangani secara menyeluruh,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang Bahagian Sibu, di sini hari ini.

Tambah Abang Johari, pelan pembangunan semula Sibu itu dijangka mengambil masa antara 15 hingga 20 tahun, merangkumi penambahbaikan sistem saliran serta penyelesaian isu air bertakung, khususnya di kawasan padat seperti Bukit Assek.

Beliau berkata, pendekatan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memastikan Sibu berkembang sebagai bandar yang lebih berdaya tahan, selari dengan perubahan ekonomi dan cabaran iklim semasa.-TVS

Yayasan Harik santuni mangsa ribut Kampung Datuk Keramat

KUALA LUMPUR: Seramai 21 keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut di Kampung Datuk Keramat baru-baru ini menerima bantuan keperluan asas menerusi inisiatif Yayasan Harik.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Harik, Harik Fauzi berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban keluarga terjejas melalui sumbangan bakul rezeki serta barangan keperluan harian.

Beliau berkata, program yang diadakan semalam itu dilaksanakan susulan permohonan daripada Pengerusi Masjid Al-Akram Datuk Keramat, Mejar Jeneral (B) Datuk Ahmad Hadiatullah Mohd Ridzuan, yang memaklumkan keadaan mangsa serta keperluan bantuan segera.

“Saya percaya bantuan seperti ini perlu disampaikan dengan pantas, penuh rasa tanggungjawab dan semangat kebersamaan,” katanya.

Pada 26 Jun lalu, kejadian ribut yang melanda Kampung Datuk Keramat mengakibatkan 21 kediaman mengalami kerosakan, sekali gus menjejaskan kehidupan penduduk terlibat.

Harik berkata, kerjasama antara badan kebajikan, institusi masjid, sektor korporat dan individu penyumbang mampu memperkukuh jaringan bantuan kepada masyarakat, khususnya ketika berdepan situasi bencana.

Katanya, Yayasan Harik akan terus memperkasakan agenda kebajikan masyarakat menerusi pendekatan “Rakyat Untuk Rakyat” dengan memberi tumpuan kepada bantuan keperluan asas serta memperkukuh sokongan komuniti.  
 

Banjir: Tiga PPS dibuka di Alor Gajah, Melaka Tengah

MELAKA: Hujan lebat berterusan sejak pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar Masjid Tanah dilanda banjir, sekali gus memaksa pembukaan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah sehingga pukul 5.00 petang ini.

Di daerah Alor Gajah, PPS PERKIM Masjid Tanah dibuka pada pukul 2 petang bagi menempatkan lima keluarga dan 15 mangsa yang terjejas akibat limpahan air banjir.

Sementara itu, di daerah Melaka Tengah, dua lagi PPS turut dibuka iaitu di SJK (C) Bertam Ulu pada pukul 3.10 petang dan JAPERUN Pantai Kundur pada pukul 3.27 petang.

Bagaimanapun, kedua-dua PPS tersebut masih dalam proses pendaftaran mangsa setakat pukul 5.00 petang.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah merangkap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Alor Gajah, Kapten (PA) Sharulnizam Mad Shah berkata, hujan lebat yang bermula sekitar pukul 6 pagi telah menyebabkan paras air sungai dan parit meningkat sebelum melimpah ke kawasan penempatan penduduk di kawasan rendah.

“Setakat pukul 5 petang, seramai 15 mangsa daripada lima keluarga telah dipindahkan ke PPS PERKIM Masjid Tanah. Mangsa yang terlibat adalah dari Taman Ria Masjid Tanah, Jalan Bandar Baru Masjid Tanah dan Kampung Pulau Semut, Masjid Tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN

22 kawasan di dua daerah di Melaka terjejas akibat banjir

MELAKA: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat banjir dari 22 kawasan di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah di sini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata PPS pertama yang dibuka ialah di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Masjid Tanah pada 2 petang bagi menempatkan mangsa banjir dari tiga kawasan, iaitu Taman Masjid Tanah Ria, Jalan Bandar Baru Masjid Tanah dan Kampung Pulau Semut.

"Setakat ini, 15 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di PPS ERKIM Masjid Tanah bagi daerah Alor Gajah.

"Bagi daerah Melaka Tengah pula, dua PPS telah dibuka, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bertam Ulu pada 3.10 petang manakala Japerun Pantai Kundor dibuka pada 3.27 petang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kamarulsyah berkata setakat 4 petang tadi, mangsa banjir di kedua-dua PPS itu masih dalam proses pemindahan.

Beliau berkata 19 kawasan direkodkan terjejas akibat banjir di daerah Melaka Tengah, iaitu Kampung Bandar Kaba, Taman Wan Show Bukit Cina, Kampung Bukit Beruang, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Melawis, Taman Seri Jati, Kampung Kandang, Kampung Balai Panjang, Kampung Batu Berendam dan Kampung Padang Pokok Mangga.

Turut terjejas ialah Kampung Bakar Batu, Kampung Batu Hampar, Kampung Pulau Kelapa, Kampung Musa, Kampung Solok Bukit Palah, Kampung Bachang, Kampung Sarang Helang, Kampung Peringgit dan Bertam Ulu.

– BERNAMA

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search