BANGKOK: Thailand memohon sokongan Jepun bagi melaksanakan empat projek pengurusan air berskala besar, dengan Tokyo menunjukkan minat khusus terhadap inisiatif tebatan banjir di lembangan Sungai Chao Phraya dan Hat Yai.
Timbalan Perdana Menteri, Songsak Thongsri, mendedahkan perkara itu selepas mengadakan rundingan bersama Duta Besar Jepun ke Thailand, Masato Otaka di Rumah Kerajaan, pada Rabu.
Beliau menegaskan isu pengurusan air dan pencegahan banjir menjadi agenda utama dalam perbincangan berkenaan.
Menurut Songsak, kerajaan Jepun serta Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) sudah lama memberi keutamaan kepada aspek pengurusan air dan sentiasa menjadi rakan rapat dalam membantu Thailand memperkukuh keupayaan tebatan banjir negara itu.
Jepun sebelum ini pernah menyediakan bantuan teknikal dan khidmat nasihat susulan bencana banjir besar yang melanda Thailand pada 2011, selain menyalurkan sokongan serupa selepas kejadian banjir di Hat Yai pada tahun lalu.
Kedua-dua pihak bersetuju mengenai keperluan pendekatan yang lebih sistematik bagi menangani cabaran berkaitan air. Sehubungan itu, Thailand mengemukakan empat projek kerjasama teknikal kepada JICA untuk dipertimbangkan.
Projek terbabit merangkumi sistem sokongan keputusan bagi sub-lembangan U-Tapao, pembangunan sistem zon air dan pengurusan dataran banjir untuk lembangan Chao Phraya, projek penggunaan teknologi canggih bagi menilai pengumpulan enapan di muara Sungai Chao Phraya, serta platform penyertaan awam bagi pengurusan air. - AGENSI
PONTIAN – Penduduk di kawasan pesisir pantai Pontian diminta meningkatkan tahap kewaspadaan susulan fenomena air pasang besar yang mula melanda daerah ini sejak malam tadi dan dijangka berterusan sehingga 17 Julai.
Fenomena air pasang setinggi antara 3.5 hingga 3.6 meter itu berpotensi menyebabkan kawasan rendah berhampiran pantai dinaiki air, terutama jika berlaku hujan lebat serentak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baharu, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mahadir Mamat berkata, bacaan air pasang direkodkan setinggi 3.5 meter pada 14 Julai, meningkat kepada 3.6 meter hari ini sebelum kembali kepada 3.5 meter pada 17 Julai.
“Apabila paras air melepasi 3.5 meter, kawasan yang mempunyai benteng atau penahan ombak berisiko dilimpahi air sebelum memasuki kawasan daratan.
“Antara lokasi yang dikenal pasti berisiko ialah Tanjung Piai, Kukup Laut, Pusat Perdagangan Pontian (PPP) serta bandar Benut,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di kawasan pesisir pantai PPP atau Tambak Pontian, tengah malam tadi.
Beliau berkata, seramai 12 anggota bomba terbabit dalam operasi pemantauan selain memberi nasihat kepada orang ramai yang memancing di kawasan berkenaan supaya sentiasa berwaspada sepanjang fenomena air pasang besar berlaku.
Katanya, orang ramai disaran segera meninggalkan kawasan pantai sekiranya paras air mula meningkat serta pihaknya turut mengenal pasti enam hingga lapan kawasan ‘hot spot’ yang berpotensi mengalami banjir sekiranya air pasang besar. – KOSMO! ONLINE
MELAKA – Jumlah hot spot banjir di Melaka berjaya dikurangkan daripada 124 kepada 102 lokasi hasil pelaksanaan pelbagai projek tebatan banjir, penyelenggaraan saliran serta tindakan segera kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pengurangan sebanyak 22 hotspot itu membuktikan usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri bersama agensi berkaitan mula membuahkan hasil.
Bagaimanapun, katanya, jumlah hot spot berkenaan boleh kembali meningkat sekiranya pembangunan tidak dikawal dengan baik, terutama projek yang gagal mengambil kira kapasiti sistem saliran sedia ada.
“Dulu kita ada 124 hot spot banjir, sekarang hanya tinggal 102 hotspot yang masih dikenal pasti.
“Ini menunjukkan segala usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri telah memberi kesan positif, namun hotspot boleh bertambah semula jika pembangunan tidak dirancang dengan baik,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri turut menyatakan akan mengkaji penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah banjir yang membelenggu beberapa kawasan di negeri ini sejak lebih 30 tahun lalu, susulan kejadian hujan luar biasa yang mengakibatkan banjir di tiga daerah baru-baru ini.
Rais berkata, antara faktor utama yang menyumbang kepada kejadian banjir ialah pembangunan di kawasan tanah tinggi yang menyebabkan aliran air menghala ke kawasan penempatan di bahagian bawah. – KOSMO! ONLINE
AYER KEROH: Semua keluarga yang dikenal pasti terjejas akibat banjir di Melaka, baru-baru ini, dikecualikan pembayaran bil air bagi penggunaan bulan ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri kepada mereka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata inisiatif menerusi Bantuan Khas Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) itu membabitkan kos kira-kira RM50,000.
Katanya, ia bakal memberi manfaat kepada 327 keluarga, namun jumlah penerima itu mungkin berubah mengikut laporan dan proses pendaftaran yang sedang dikemas kini.
Justeru, beliau mengarahkan pihak bertanggungjawab seperti jabatan berkaitan serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) supaya mempermudah serta mempercepatkan pelaksanaan bantuan itu tanpa membebankan mangsa dengan kerenah birokrasi.
Beliau berkata, keluarga yang sudah dikenal pasti sebagai mangsa banjir tidak sepatutnya melalui pelbagai proses bagi membuktikan kelayakan mereka menerima bantuan.
"Kerajaan negeri amat memahami kesukaran dihadapi keluarga yang terjejas akibat banjir.
"Sehubungan itu, saya mengumumkan pemberian bil air percuma bagi penggunaan Julai ini kepada mangsa banjir," katanya pada sidang media selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata, Kerajaan Melaka akan menghadiahkan kemasukan percuma ke beberapa lokasi produk pelancongan terpilih di negeri ini kepada orang ramai sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan saja akan dinikmati rakyat Melaka, malah turut terbuka kepada semua pelancong di negeri ini pada tarikh berkenaan.
"Ini sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada rakyat dan pelancong yang memilih Melaka sebagai destinasi kunjungan mereka.
"Bagaimanapun, senarai lokasi terbabit dalam program khas itu akan dimaklumkan sedikit masa lagi.
"Ia dijangka membabitkan beberapa tarikan utama seperti Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Zoo Melaka serta beberapa muzium terpilih," katanya.
BETONG,15 Julai: Operasi memadam kebakaran di kawasan ladang nanas di Kampung Pusa, di sini, memasuki hari kedua hari ini dengan pasukan bomba berjaya memadamkan sebahagian kawasan yang terbakar sebelum operasi ditangguhkan pada petang tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi dimulakan pada jam 9.45 pagi dengan meneruskan kerja-kerja pemadaman serta pemantauan di lokasi kejadian.
“Operasi diteruskan pada jam 11.30 pagi menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki bagi membolehkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mara lebih jauh ke kawasan kebakaran.
“Bekalan air diperoleh daripada sumber air terbuka menggunakan pam angkut Tohatsu yang dipinjam daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok,” kata kenyataan itu.
Sehingga jam 6 petang, operasi pemadaman ditangguhkan dan akan disambung semula esok berikutan kebakaran masih berlaku di kawasan tanah gambut yang menyukarkan usaha pemadaman serta memerlukan tempoh lebih lama.
Daripada keseluruhan kawasan seluas 1.01 hektar yang terbakar, pasukan bomba berjaya memadamkan kira-kira 0.61 hektar, manakala baki 0.40 hektar masih terbakar.
Pasukan bomba akan meneruskan pemantauan dan operasi pemadaman sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.-TVS
