OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pam rosak punca Kampung Pasir kerap banjir

JOHOR BAHRU – Kerosakan pam tali air didakwa menjadi antara punca Kampung Pasir Tampoi di sini kerap dilanda banjir setiap kali hujan lebat, termasuk kejadian hari ini yang menjejaskan lebih 200 rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, P. Pannir Selvam berkata, masalah berkenaan bukan perkara baharu apabila penduduk berulang kali mengadu mengenai pam yang gagal berfungsi ketika diperlukan.

Menurut beliau, keadaan menjadi lebih buruk apabila hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang.

“Ini bukan kali pertama banjir berlaku di Kampung Pasir Tampoi. Sudah banyak kali berlaku apabila hujan lebat, ditambah pula dengan keadaan air pasang.

“Kalau pam air berfungsi, banjir seperti ini tidak akan berlaku,” katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan penduduk terjejas hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu meningkatkan pemantauan serta melakukan pemeriksaan berkala terhadap sistem pam tali air di kawasan berisiko bagi memastikan kemudahan berkenaan sentiasa berada dalam keadaan baik.

Dalam kejadian hari ini, hujan lebat kira-kira dua jam menyebabkan Kampung Pasir Tampoi dinaiki air dengan paras banjir dianggarkan antara dua hingga tiga meter.

Selain Kampung Pasir Tampoi, beberapa kawasan lain di sekitar bandar raya ini turut terjejas termasuk Kampung Tuah Jaya, Taman Perling, Kampung Sri Serdang, Kampung Hajah Hasnah, Jalan Sungai Chat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maktab Sultan Abu Bakar dan kawasan Wisma Persekutuan Johor Bahru.-KOSMO! ONLINE

Gunung Semeru Indonesia meletus tujuh kali, hambur abu setinggi 1,000 meter

JAKARTA, 30 Sept: Gunung Semeru di Indonesia meletus tujuh kali dalam beberapa jam pada pagi Rabu, menghamburkan tiang abu setinggi 1,000 meter di atas puncak.

Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia, tiang abu tertinggi direkodkan semasa letusan pada 5.58 pagi dan 8.02 pagi waktu tempatan, kedua-duanya mencecah kira-kira 1,000 meter di atas puncak.

“Kedua-dua letusan menghasilkan tiang abu (berwarna) putih ke kelabu, dengan letusan pada 5.58 pagi bergerak ke utara dan letusan pada 8.02 pagi (bergerak) ke timur laut,” menurut data agensi itu yang diterbitkan pada laman webnya.

Semeru, dengan ketinggian 3,676 meter di atas paras laut dan merentasi Kabupaten Lumajang dan Malang di Jawa Timur, adalah antara gunung berapi paling aktif di Indonesia. -TVS

Peruntukan RM100 juta tebatan banjir belum cukup hadapi hujan luar biasa

JOHOR BAHRU – Sebanyak RM100 juta dibelanjakan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi kerja berkaitan saliran dan tebatan banjir sepanjang 2023 hingga 2026, namun infrastruktur sedia ada masih belum mampu menampung sepenuhnya beban aliran ketika hujan berintensiti tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, keadaan itu jelas apabila hujan yang turun hari ini mencecah 60 milimeter sejam, iaitu tiga kali ganda berbanding kadar rujukan 20 milimeter sejam, pada masa sama berlaku air pasang besar pada paras 3.5 meter.

“Berdasarkan maklumat awal, hujan yang berlaku dalam tempoh singkat menyebabkan peningkatan aliran air secara mendadak dan memberi tekanan besar kepada sistem saliran serta takungan sedia ada.

“Jumlah hujan terkumpul direkodkan sekitar 90 milimeter antara pukul 1 petang hingga 7 malam, dengan peningkatan hujan yang ketara berlaku antara pukul 1.30 petang hingga 5 petang.

“Air pasang besar turut meningkatkan paras air di hilir saluran keluar dan mengurangkan keupayaan pelepasan air secara graviti. Keadaan ini boleh menghasilkan kesan air balik atau backwater, sekali gus memperlahankan aliran saliran dan meningkatkan paras air di kawasan hulu,” katanya selepas turun padang meninjau kejadian banjir kilat di beberapa lokasi di bandar raya ini hari ini.

Beliau berkata, tinjauan dilakukan di enam lokasi iaitu Ayer Molek, kawasan Tabung Haji, Kampung Mohd Amin, rumah pam di hadapan dataran, Jalan Danga berdepan Tune Hotel dan kawasan sekitar dataran bagi menilai kapasiti takungan, keupayaan saliran membawa aliran puncak serta operasi pengepaman ke Selat Johor.

Mohd Jafni berkata, sebanyak RM46.8 juta diperuntukkan pada tahun depan bagi pengurusan banjir, dengan keutamaan diberikan berdasarkan penilaian teknikal terhadap kapasiti saliran, kolam takungan, sistem pengepaman serta risiko air pasang terhadap pelepasan ke Selat Johor.

Katanya, kolam tadahan di Kampung Mohd Amin akan didalamkan bagi meningkatkan kapasiti takungan, manakala kemudahan On-Site Detention (OSD) di Jalan Danga berdepan Tune Hotel akan dinaik taraf bagi menambah takungan sementara dan mengawal kadar pelepasan ke saliran utama.

“Sistem pengepaman juga diperkasa apabila bilangan pam ditambah daripada empat kepada lapan unit untuk mengepam air keluar dari Bandar Johor Bahru ke Selat Johor. Namun, prestasi sistem perlu dinilai berdasarkan kadar alir sebenar dan keadaan operasi, bukan hanya jumlah pam yang tersedia,”katanya.

Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Task Force Banjir Johor Bahru bersama PBT dan agensi teknikal berkaitan esok bagi meneliti data hujan, rekod pasang surut, aras dan tempoh genangan serta kapasiti saliran dan operasi pam.

Beliau berkata, kejadian tanah runtuh di Pangsapuri Saujana turut diberi perhatian dengan MBJB diarahkan memberikan bantuan segera selain menyelaras pemeriksaan teknikal dan tindakan keselamatan bagi memastikan keselamatan penghuni.-KOSMO! ONLINE

9 pekerja projek terperangkap banjir, operasi menyelamat giat dijalankan

CYBERJAYA: Seramai sembilan pekerja pembinaan dilaporkan terperangkap dalam kejadian banjir di kawasan projek pembesaran aliran sungai berhampiran Apartment Semarak, Jalan Putra Perdana 1A, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.26 petang itu, tujuh mangsa dilaporkan terkandas di daratan manakala dua lagi berada di atas sebuah jengkaut selepas laluan keluar dinaiki air.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 6.26 petang tadi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Seramai lapan anggota bersama sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) tiba di lokasi pada pukul 6.40 petang.

“Hasil maklumat awal mendapati terdapat sembilan pekerja pembinaan terperangkap akibat banjir di kawasan projek pembesaran aliran sungai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, laluan ke lokasi mangsa tidak dapat dilalui kerana arus air yang terlalu deras dan berbahaya.

“Operasi menyelamat sedang dijalankan oleh anggota bomba bagi membawa keluar semua mangsa ke tempat selamat,” katanya dan memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi masih diteruskan. – UTUSAN

Bomba redah banjir 2km selamatkan 7 sekeluarga terperangkap di Klang

SHAH ALAM: Anggota bomba terpaksa meredah banjir kilat sejauh dua kilometer demi menyelamatkan tujuh sekeluarga termasuk empat kanak-kanak yang terperangkap di Taman Rashna, dekat Klang.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Ashbar, berkata tindakan itu diambil berikutan paras air tinggi, manakala jentera bomba tidak dapat masuk ke lokasi.

Terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7 malam sebelum sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan bergegas ke lokasi.

"Komander operasi melaporkan kejadian banjir sedalam paras pinggang yang mana jentera bomba tidak dapat masuk ke lokasi kerana paras air tinggi.

"Anggota bomba perlu berjalan sejauh dua kilometer untuk ke lokasi kawasan perumahan yang terbabit banjir.

"Semua mangsa termasuk empat kanak-kanak ditemui dan dibawa ke lokasi selamat," katanya melalui kenyataan.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke pondok dataran tinggi yang selamat dan banjir kilat juga menunjukkan trend menurun.

Terdahulu, media melaporkan beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat kira-kira jam 4 petang tadi.

Berdasarkan perkongsian pengguna aplikasi Threads, banjir kilat dikesan berlaku di sekitar i-City, Seksyen 7; kawasan berdekatan pintu belakang Universiti Teknologi MARA (UiTM); di kawasan lampu isyarat Padang Jawa, Seksyen 16, Shah Alam dan persimpangan lampu isyarat Bukit Raja.

Perkongsian terbaharu di aplikasi berkenaan mendapati beberapa kawasan lain turut dinaiki banjir antaranya Taman Intan dan Taman Rashna, Klang; Sungai Rasau dan Seksyen U12.

Difahamkan, ketika ini keadaan jalan di sekitar kawasan masih sesak dengan kenderaan berikutan air belum surut sepenuhnya.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search