Sandakan: "Bukan saja rumah saya terbakar, malah hilang punca pendapatan kerana warung menjual bakso yang sudah lapan tahun saya usahakan juga musnah," kata Lim Nawali, 61.
Lim antara kira-kira 8,000 mangsa yang terbabit dalam kebakaran di penempatan atas air Kampung Bahagia, di sini, hari ini.
Menceritakan kejadian itu, Lim berkata, dia terjaga daripada tidur 1.30 pagi selepas terdengar bunyi bising dari rumah jirannya.
Katanya, dia bangun dan melihat api sudah mula marak di rumah jiran sebelum mengejutkan anak dan cucunya untuk menyelamatkan diri.
"Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang. Cuma bawa diri saja. Keadaan sungguh kelam kabut waktu itu. Saya cuma fikir keselamatan anak dan cucu yang masih kecil.
"Apa boleh buat, sudah takdir begini. Warung saya yang jauh dari rumah juga ikut terbakar," katanya.
Sementara itu, ibu satu anak, Alpaida Bundun, 38, berkata, dia tidak menyangka api boleh merebak sampai ke rumahnya kerana kedudukan yang jauh daripada rumah pertama terbakar.
Lebih menyedihkan, katanya, dia juga kehilangan punca pendapatan apabila kedai runcit kecil-kecilan yang diusahakan sejak lima tahun lalu musnah.
"Saya sudah mahu tidur, tapi saya dengar orang teriak cakap ada kebakaran. Saya terus keluar tengok keadaan, api sudah marak.
"Kami ambil yang penting saja, surat-surat (dokumen) semua dan terus keluar.
Rumah pertama yang terbakar jauh, tapi lama-lama tidak sedar, api makin dekat," katanya.
Alpaida berkata, rumahnya terbakar dalam 3 pagi selepas kebakaran rumah pertama yang dilaporkan pada 1.30 pagi.
KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan sedang menyelaras bersama Kerajaan Negeri Sabah untuk bantuan asas dan penempatan sementara dengan segera bagi penduduk di Kampung Bahagia, Sandakan yang terlibat dalam kebakaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan kini adalah keselamatan mangsa serta bantuan segera di lapangan.
“Terkesan tatkala menerima laporan kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan yang telah memusnahkan ratusan buah rumah penduduk kampung. Justeru, keutamaan kini adalah keselamatan mangsa serta bantuan segera di lapangan.
“Kerajaan Persekutuan sedang menyelaras bersama Kerajaan Negeri Sabah untuk bantuan asas dan penempatan sementara sesegera mungkin,’’ katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dalam kejadian pada awal pagi tadi, kira-kira 200 rumah musnah dalam kebakaran di perkampungan atas air Kampung Bahagia di Sandakan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 1.32 pagi dan sehingga kini kerja pemadaman masih dijalankan.
“Bomba menghadapi kesukaran ke lokasi kejadian berikutan keadaan jalan yang sempit sekali gus menghalang pergerakan jentera.
“Faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat selain laut surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber bekalan air terbuka,” katanya. – 19 April, 2026
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat akan menyelaras usaha bersama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah dari segi keperluan asas, penempatan sementara serta kebajikan mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keutamaan ketika ini ialah memastikan keselamatan mangsa dan penyaluran bantuan segera di lapangan.
"Saya berasa sedih melihat insiden kebakaran besar yang membabitkan ratusan rumah di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan. Saya menzahirkan simpati yang mendalam kepada semua yang terkesan.
"Kehilangan tempat berteduh dalam sekelip mata pastinya satu ujian yang amat berat buat mangsa dan keluarga," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, memaklumkan jentera parti berkenaan di Batu Sapi sudah digerakkan bagi membantu mangsa di lokasi.
Beliau berkata, bantuan itu merangkumi urusan pendaftaran di pusat pemindahan sementara (PPS) dan penyaluran bantuan awal bagi meringankan beban mereka yang terkesan.
"Sama-sama kita mendoakan agar semua mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Semoga segala urusan dipermudah," katanya.
Lebih 9,000 penduduk terjejas dalam insiden kebakaran pada awal pagi tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.30 pagi sebelum lokasi berkenaan diisytiharkan sebagai kawasan bencana padajam 4 pagi.
PETALING JAYA – Cuaca panas terus mencengkam hampir seluruh negara apabila kebanyakan stesen meteorologi utama merekodkan suhu maksimum melebihi 30 darjah Celsius pada hari ini.
“Itu diikuti pembentukan awan ribut petir pada sebelah petang yang menghasilkan hujan lebat bersifat setempat, selari dengan ciri fasa peralihan monsun.
“Suhu maksimum harian berada pada julat 30 darjah Celcius hingga 35 darjah Celcius di kebanyakan kawasan,” katanya di sini hari ini.
Melalui gambar rajah yang dilampirkan antara yang paling mencuri perhatian ialah di Chuping, Perlis dengan suhu mencecah 35.8 darjah Celsius, diikuti Kuala Krai, Kelantan (36.0 darjah Celsius) serta Mersing, Johor yang turut mencatat suhu tinggi sehingga 34.8 darjah Celsius.
Di negeri-negeri lain seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, suhu maksimum berada dalam lingkungan 31 darjah Celsius hingga 34 36.0 darjah Celsius.
Sementara itu, bagi kawasan bandar seperti Petaling Jaya dan Kuala Lumpur juga tidak terkecuali dengan suhu sekitar 33 darjah Celsius namun mencatatkan jumlah hujan yang agak tinggi berbanding negeri lain.
ALOR SETAR – Kedah menjadi negeri tertinggi merekodkan kes kebakaran belukar pada tahun ini termasuk semasa musim kemarau iaitu sebanyak 2,524 kes sehingga bulan lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ir. Ts. Ahmad Izram Osman berkata, ia diikuti Johor sebanyak 1,886 kes, Melaka (1,010), Kelantan (937) dan Perak (759).
Katanya, bagi kebakaran hutan pula, Selangor mencatatkan kes paling banyak iaitu 337 kes, diikuti Kelantan (123), Pulau Pinang (121), Sabah (113) dan Kedah (102).
“Kebakaran ladang pula dilaporkan banyak berlaku di Johor sebanyak 359 kes, diikuti Selangor (165), Perak (54), Kelantan (25) dan Melaka (23),” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Ahmad Izram berkata, kes kebakaran terbuka di Kedah meningkat seiring dengan keadaan cuaca panas sehingga mencecah 38 darjah Celsius sebelum ini.
“Lima balai yang mencatatkan kes tertinggi ialah Sungai Petani sebanyak 558 kes, Alor Setar (452), Amanjaya (317), Baling (316) dan Jitra (310),” jelasnya.
Katanya, antara cabaran anggota bomba dalam berdepan musim kemarau dan kes kebakaran terbuka termasuk keterbatasan sumber air untuk pembanjiran kawasan di lokasi, terutama membabitkan operasi berskala besar.
“Selain itu, kebakaran berulang di lokasi sama akibat pembakaran terbuka secara haram juga menjadi cabaran kepada kami. Pasukan Bomba Sukarela turut memainkan peranan yang amat penting sebagai sokongan kepada operasi jabatan dalam menangani pelbagai insiden kecemasan di lapangan,” katanya.
Walau bagaimanapun, menurutnya, kes kebakaran terbuka menurun pada bulan ini susulan peningkatan jumlah hujan iaitu hanya 180 kes sehingga Selasa lalu, berbanding 1,246 kes pada bulan lalu. – KOSMO! ONLINE
