Jambatan bailey Sungai Baleh siap lima bulan lebih awal
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 4 Mac: Projek pemasangan jambatan bailey baharu merentas Sungai Baleh di Baram siap lima bulan lebih awal daripada tarikh jangkaan siap, sekali gus membolehkan kemudahan perhubungan di kawasan itu dipulihkan dengan lebih cepat bagi manfaat penduduk setempat.
Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, pengarahnya Datu Dr Cassidy Morris hari ini meninjau projek berkenaan ketika meneruskan siri Lawatan Pemerkasaan Projek di kawasan Baram.
“Jambatan itu dibekalkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui inisiatif sokongan logistik bagi mempercepat penyediaan laluan alternatif di kawasan yang memerlukan penyelesaian segera, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” kata JKR Sarawak dalam kenyataan.
Dari segi skop pelaksanaan, projek berkenaan melibatkan pembinaan jambatan bailey jenis Triple Double Reinforced menggunakan Sistem Bailey Bridge dengan 17 panel yang direka bagi memastikan kekuatan struktur serta keupayaan menampung beban trafik dengan lebih selamat.
Menurut JKR Sarawak, pelaksanaan projek itu mencerminkan kerjasama strategik antara NADMA dan JKR Sarawak dalam memastikan penyediaan infrastruktur sementara yang cekap dan berkesan bagi menyokong mobiliti serta kesejahteraan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak.
Dalam siri lawatan yang sama, Cassidy turut meninjau kemajuan projek pembaikan Jambatan Sungai Peluan di kawasan Long Banga.
JKR Sarawak memaklumkan jambatan itu yang merupakan sebahagian daripada projek baik pulih beberapa jambatan di kawasan Baram kini telah siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang awam.
Projek berkenaan turut melibatkan pembaikan jambatan di Sungai Merawa, Sungai Balong serta laluan Long Banga–Bario bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kebolehgunaan rangkaian jalan di kawasan pedalaman.
“Skop pelaksanaan projek itu termasuk penggantian jambatan lama yang uzur kepada jambatan besi baharu bagi memastikan kemudahan perhubungan yang lebih selamat, cekap dan berdaya tahan kepada pengguna jalan raya,” jelas JKR.
