Indonesia dijangka berdepan musim kering lebih lama dan teruk tahun ini
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA: Indonesia dijangka mengalami musim kering lebih panjang lagi teruk tahun ini berbanding tahun lalu, sekali gus meningkatkan risiko kemarau.
Pegawai agensi meteorologi negara itu, Ardhasena Sopaheluwakan, berkata musim kering dijangka bermula pada April iaitu lebih awal berbanding tahun lalu di kebanyakan wilayah dan memuncak pada Ogos.
"Tahun lalu, musim hujan di Indonesia mencatat tempoh kemuncak lebih panjang daripada biasa, mengakibatkan hujan lebat melampau di kebanyakan kawasan serta menyebabkan banjir dan tanah runtuh di Sumatera yang meragut lebih 1,100 nyawa.
"Corak cuaca dikenali sebagai La Nina, yang lazimnya membawa lebih banyak hujan, sudah berakhir pada Februari," katanya, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kebanyakan wilayah di Pulau Jawa, Sumatera, Bali, Borneo dan Nusa Tenggara dijangka menghadapi musim panas lebih teruk tahun ini.
"Kita perlu memberi perhatian khususnya di kawasan yang menjadi pusat pengeluaran makanan seperti Pulau Jawa," katanya.
Beliau turut menasihatkan petani supaya menyesuaikan jadual penanaman dan memilih jenis tanaman yang mampu bertahan sepanjang musim kemarau serta mempunyai tempoh matang lebih singkat.
Pada masa sama, risiko kebakaran hutan ketika kemuncak musim kering dijangka meningkat, terutama di wilayah yang mudah terdedah seperti Riau dan Jambi. - REUTERS
