PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan ribut petir membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah hingga pukul 9 malam ni.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah seluruh Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh),” lapor MetMalaysia.
Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong) dan Bintulu (Tatau).
Bagi Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE
GEORGE TOWN : Jabatan Perikanan (DOF) Pulau Pinang hari ini melaksanakan persampelan semula bagi tujuan pemantauan terhadap parameter kritikal termasuk biotoksin, logam berat dan status kualiti air di Sungai Juru.
Tindakan segera itu diambil susulan laporan berita mengenai pencemaran serta gangguan kualiti air di kawasan sungai berkenaan yang dikatakan berpotensi menjejaskan sektor perikanan serta akuakultur marin di kawasan berkenaan.
Pada masa yang sama, tindakan tersebut juga bertujuan memastikan keselamatan terhadap hasil perikanan serta menyokong pelaksanaan analisis trend pencemaran yang lebih menyeluruh dan berasaskan data.
Menurut Pengarah DOF Pulau Pinang, Azimah Jumatli, kawasan Sungai Kuala Juru merupakan antara zon pengeluaran hasil laut penting di Pulau Pinang dengan kawasan ternakan kerang seluas 567 hektar yang melibatkan 27 lot ternakan aktif.
Sehubungan itu, pihaknya prihatin terhadap kebajikan komuniti perikanan setempat yang melibatkan 209 nelayan marin serta pengusaha akuakultur yang terkesan akibat gangguan terhadap aktiviti dan hasil pengeluaran.
“Ketika ini, pemantauan turut dijalankan terhadap tujuh pengusaha ternakan ikan siakap dan udang putih dengan keluasan keseluruhan 72.69 hektar di situ.
“Pada masa yang sama, penilaian terperinci sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti implikasi ekonomi serta anggaran kerugian yang dialami oleh pengusaha terlibat bagi tujuan dokumentasi dan tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia memetik kenyataan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader sebagai berkata, tahap pencemaran di Sungai Juru ketika ini semakin serius dan jika gagal ditangani segera, ia boleh menjejaskan mata pencarian komuniti penternak kerang serta nelayan di kawasan terbabit.
Dalam pada itu, Azimah berkata, DOF Pulau Pinang memahami kebimbangan yang dihadapi oleh komuniti terbabit dan berusaha memastikan agar persekitaran perairan kembali berada pada tahap yang selamat serta kondusif agar aktiviti perikanan dan akuakultur marin dapat diteruskan secara mampan.
Katanya, bagi tujuan itu, beberapa analisis sedang dijalankan termasuk analisis makmal yang dibuat secara menyeluruh bersama Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung serta Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan kualiti air tersebut.
“Pihak jabatan turut memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi berkaitan serta pihak berkuasa negeri dalam mempertingkat pemantauan, penguatkuasaan dan pelaksanaan langkah mitigasi bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
“Langkah susulan akan diteruskan secara berfokus bagi melindungi kebajikan komuniti perikanan dan akuakultur di Kuala Juru melalui pendekatan bersepadu bagi memastikan kelestarian sumber perikanan, keterjaminan makanan negara serta kesejahteraan komuniti nelayan dan penternak dalam jangka panjang,” katanya.-UTUSAN
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sembilan negeri hingga jam 9 pagi ini.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini, memaklumkan amaran cuaca itu membabitkan Kedah (Langkawi, Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), seluruh Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak).
Amaran itu turut membabitkan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu) dan Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang).
Keadaan sama juga diramal melanda Negeri Sembilan (Port Dickson dan Rembau), seluruh Melaka, Johor (Batu Pahat) dan Sabah (Tawau) dan Kudat (Kudat).
MetMalaysia memaklumkan, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi tempoh satu jam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.
Negara masuki fasa monsun barat daya esok, orang ramai dinasihat peka – Ahmad Zahid
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR, 13 Mei: Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perkembangan cuaca semasa susulan negara dijangka memasuki fasa Monsun Barat Daya bermula esok hingga September ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata fasa monsun itu lazimnya membawa taburan hujan lebih rendah selain cuaca lebih panas dan kering di kebanyakan kawasan.
“Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan perkembangan cuaca semasa, menggunakan air secara berhemat serta mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu dan pencemaran alam sekitar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata hujan lebat, angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di beberapa kawasan tertentu dalam tempoh berkenaan.
Fenomena garis badai itu berpotensi berlaku di pantai barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat Sabah terutama pada awal pagi dan boleh berlarutan hingga beberapa jam.
Justeru, beliau meminta orang ramai agar sentiasa berwaspada dan merujuk maklumat cuaca terkini yang sahih melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Semoga kita semua sentiasa dilindungi dan dipermudahkan segala urusan, insya-Allah,” katanya. -TVS
PADANG BESAR: Nelayan darat di kawasan Empangan Timah Tasoh di sini lega apabila hasil tangkapan kembali stabil, susulan paras air mula meningkat berikutan hujan lebat sepanjang minggu lalu.
Sebelum ini, kebanyakan nelayan darat berdepan kesukaran apabila hasil tangkapan merosot teruk sehingga menjejaskan pendapatan harian mereka.
Zakaria Yusuf, 68, berkata, situasi kemarau tahun ini disifatkan terburuk sepanjang 40 tahun dia bergiat aktif sebagai nelayan di kawasan berkenaan.
“Jika diikutkan, anggaran kasar pendapatan setiap kali turun menangkap ikan boleh mencecah RM1,000 hingga RM2,000. Tetapi pada bulan lepas situasi agak teruk di mana saya hanya dapat jual hasil sekitar RM700 malah tangkapan juga sekitar 10 atau 13 kilogram (kg) sahaja.
“Buat masa ini, kami hanya pasarkan untuk memenuhi keperluan penduduk sekitar dan negeri ini sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sebelum ini, cuaca panas melampau di Perlis memberi kesan serius apabila Empangan Timah Tasoh yang menjadi sumber utama bekalan air domestik, pengairan pertanian dan tebatan banjir mengalami penyusutan paras air yang ketara.
Suhu panas mencecah 38 hingga 40 darjah Celsius itu menyaksikan empangan berada pada paras amaran iaitu 26.76 meter, hampir melepasi paras kritikal iaitu 26 meter.
Sementara itu, seorang lagi nelayan darat, Sabri Muhammad, 38, turut mengakui hasil tangkapannya meningkat sekitar 60 peratus selepas Perlis kembali hujan.
Katanya, cuaca panas sebelum ini menyebabkan ikan sukar untuk ditangkap di kawasan tebing, biarpun menahan pukat.
“Selepas hujan, barulah keadaan kembali pulih dan sekarang saya boleh dapat dalam 20 ke 30kg hasil tangkapan berbanding hanya 10kg pada bulan lalu,” katanya. – UTUSAN
