KUALA LUMPUR: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihatkan menerima tawaran penempatan sementara di asrama lebih awal bagi mengelakkan persediaan menduduki peperiksaan terganggu akibat bencana itu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata langkah berkenaan penting bagi mengelakkan calon berdepan risiko terputus hubungan apabila laluan dinaiki air, selain membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengenal pasti kawasan lazim dilanda banjir serta laluan yang berisiko terputus hubungan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Katanya, beliau turut mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang mempunyai data berkaitan kawasan berisiko di negeri masing-masing supaya mengatur pergerakan calon lebih awal ke sekolah mempunyai kemudahan asrama dan berdekatan pusat peperiksaan.
"Saya nasihatkan calon ambil peluang ini duduk di asrama disediakan, kita tidak mahu apabila banjir berlaku, baru hendak mengambil tindakan.
"Kawasan kampung lazim dinaiki air atau jalan sering terputus hubungan ketika musim tengkujuh memang kita sudah kenal pasti.
"Jadi, kita akan ambil pelajar lebih awal dan tempatkan mereka di asrama sekolah mempunyai kemudahan berkenaan supaya lebih mudah serta tidak mengganggu persediaan mereka menduduki peperiksaan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Mohd Azam berkata, sebelum ini KPM turut mengadakan sesi libat urus dengan ibu bapa, penjaga dan calon bagi menerangkan keperluan serta pilihan penempatan sementara itu sebelum pemindahan dilaksanakan.
Beliau berkata, penempatan di asrama dibuat berdasarkan pilihan ibu bapa dan calon, manakala kos makanan sepanjang tempoh berkenaan ditanggung KPM.
Bagaimanapun, katanya, calon memilih untuk kekal di kediaman masing-masing turut diberikan alternatif menerusi kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi berkaitan melalui Operasi Payung.
"Agensi terbabit akan membantu pergerakan calon ke pusat peperiksaan sekiranya berlaku banjir.
Bagaimanapun, kaedah itu lebih mencabar berbanding menempatkan calon di asrama lebih awal kerana kita mahu mereka tidak terganggu dan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa, penjaga dan calon membuat keputusan bijak dengan mengambil peluang penempatan awal di asrama sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan banjir sepanjang tempoh peperiksaan SPM.
Seramai 420,879 calon mendaftar menduduki SPM 2026 dijadualkan berlangsung dari 26 Oktober hingga 17 Disember depan, membabitkan 3,334 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, MTL 2026/2027 dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan.
Antara negeri berisiko dilanda banjir sepanjang MTL ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
KUALA LUMPUR: Bekalan keperluan asas seperti makanan dan minuman dalam negara adalah mencukupi bagi tempoh enam bulan akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, situasi semasa belum sampai ke tahap darurat sehingga menyebabkan negara perlu mengambil langkah kontingensi.
Beliau berkata, pihak kerajaan sentiasa bersedia berdepan sebarang situasi kecemasan dan melakukan persediaan secukupnya.
“Kita tidak nampak adanya keperluan ke arah itu sebab daripada segi keterjaminan makanan dan tahap simpanan itu mencukupi.
“Kita tahu sekurang-kurangnya kita mempunyai kapasiti selama enam bulan, sekurang-kurangnya daripada segi keterjaminan makanan.
“Kerajaan telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan keperluan asas rakyat di Malaysia, termasuk daripada segi barangan keperluan ini mencukupi dan kita tidak berada dalam keadaan darurat. Insha Allah jauh daripada keadaan darurat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kerjasama Malaysia-China dalam Pelaburan, Perdagangan dan Pemerkasaan Ekonomi di Pavilion Hotel, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara mengulas laporan media antarabangsa mengenai 33 negara dikenal pasti mengeluarkan panduan menggalakkan rakyat menyimpan bekalan makanan, air minuman dan barangan keperluan asas bagi menghadapi kemungkinan kecemasan.
Langkah tersebut diambil ketika dunia berdepan pelbagai ancaman termasuk peperangan, cuaca ekstrem, gangguan bekalan elektrik dan serangan siber.
Antara negara yang memperkukuh kempen kesiapsiagaan ialah Perancis dan United Kingdom (UK) yang menyarankan penduduk menyediakan bekalan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 72 jam atau tiga hari. – UTUSAN
TOKYO: Kerajaan Jepun hari ini menubuhkan sebuah agensi baharu bagi menyelaraskan tindak balas bencana serta merangka langkah mengurangkan kerosakan akibat pelbagai ancaman di negara yang sering dilanda gempa bumi ini, lapor Kyodo News.
Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan yang beribu pejabat di Tokyo itu akan menubuhkan hab serantau bagi mempertingkatkan penyelarasan bersama kerajaan tempatan dalam menangani bencana, termasuk potensi gempa bumi mega.
Lokasi pusat serantau berkenaan akan ditentukan pada musim panas 2027 dan dijadualkan mula beroperasi menjelang Julai 2028.
Agensi itu diketuai Perdana Menteri, Sanae Takaichi, manakala Menteri Pembinaan Semula, Goshi Hosono akan turut memegang portfolio Menteri Pengurusan Bencana, menurut Ketua Setiausaha Kabinet, Minoru Kihara, pada sidang media hari ini.
Penubuhan agensi itu merupakan yang pertama bawah penyeliaan langsung Kabinet sejak Agensi Digital ditubuhkan pada September 2021.
Antara cabaran utama agensi baharu itu - yang turut bertanggungjawab menangani hujan lebat dan letusan gunung berapi - ialah memperluas bantuan kepada pihak berkuasa tempatan yang berdepan kekangan peruntukan serta akses terhad kepada pakar pengurusan bencana.
Menteri Pengurusan Bencana juga akan diberi kuasa mengemukakan syor kepada kementerian dan agensi lain, manakala pihak yang didapati tidak mengambil langkah mencukupi diwajibkan mengambil kira syor berkenaan.
Agensi itu juga akan bertanggungjawab terhadap usaha pemulihan dan pembinaan semula kawasan terjejas, bermula dengan Semenanjung Noto yang dilanda gempa bumi pada 2024, serta Wilayah Kumamoto yang mengalami gempa bumi berukuran 7.1 magnitud pada Julai lalu.
Selain itu, agensi berkenaan akan menjadikan kejadian banjir yang semakin serius di seluruh negara, sebagai isu keutamaan susulan hujan lebat di Wilayah Chiba pada Ogos lalu yang menyebabkan banjir di kawasan bandar.
MELAKA: Masalah banjir kilat dan kesesakan lalu lintas antara isu utama yang akan diberi perhatian calon Perikatan Nasional (PN), Rafie Ahmad, jika diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Rafie, 58, yang menetap di Krubong berkata, kedua-dua isu berkenaan sering dibangkitkan penduduk ketika beliau mengadakan tinjauan dan berkempen.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Masjid Al-Rahman, Tanah Merah Krubong dan penyelaras Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu berkata, antara kawasan yang dikenal pasti kerap berdepan masalah banjir kilat ialah persimpangan Cheng, khususnya di sekitar Taman Bukit Cheng dan Cheng Perdana.
Katanya, keadaan muka bumi di kawasan berkenaan yang menerima aliran air dari kedua-dua laluan menyebabkan air bertumpu di kawasan tengah sehingga membentuk kawasan seperti lembah.
"Walaupun kerja penambahbaikan sudah dilakukan, saya berpendapat usaha itu masih belum mencukupi dan sistem perparitan perlu dikaji semula bagi mengelakkan masalah banjir terus berulang.
"Selain itu, masalah kesesakan lalu lintas turut menjadi rungutan penduduk, terutama di laluan dari Paya Rumput Perdana hingga ke Cheng, termasuk kawasan berhampiran Pasar Borong," katanya.
Beliau berkata, kesesakan di sepanjang laluan berkenaan bukan sahaja menjejaskan pergerakan harian penduduk, malah menyebabkan tempoh perjalanan menjadi lebih panjang, terutama pada waktu puncak.
Katanya, isu kemudahan asas termasuk sistem perparitan dan infrastruktur jalan raya juga akan diteruskan bagi memastikan keselesaan serta keselamatan penduduk setempat.
Rafie yang memiliki kelulusan Sarjana Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Asia e University berkata, pengalamannya lebih empat tahun sebagai penyelaras Parlimen Tangga Batu banyak membantu beliau memahami keperluan serta masalah masyarakat.
Dalam pada itu, Rafie berkata, kerjasama jentera Barisan Nasional (BN) dan PN, termasuk UMNO, MCA serta MIC, dalam menyelaraskan gerak kerja kempen setakat ini berjalan dengan baik.
Malah, beliau turut menyifatkan maklum balas yang diterima ketika mengadakan program ziarah dan tinjauan mesra termasuk di kawasan perniagaan serta gerai makanan masyarakat Cina di Chang Avenue, sebagai positif.
Mengulas mengenai pencalonannya, Rafie berkata, beliau pada asalnya lebih selesa bekerja di belakang tabir tetapi keputusan parti memberikan amanah untuk bertanding diterima dengan hati terbuka.
Kerusi DUN Paya Rumput menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada PRN Melaka Ke-16, membabitkan Rafie yang mewakili PN, Datuk Azman Abidin daripada Pakatan Harapan (PH-PKR) dan Abdul Rashid Abu Bakar daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).
ALOR SETAR: Mangsa banjir di Kedah meningkat apabila satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Pendang, petang semalam.
PPS di Dewan Pejabat Penghulu Mukim Bukit Raya itu dibuka 6 petang dengan menempatkan 26 mangsa daripada sembilan keluarga dari Kampung Pulai dan Kampung Senggora di Mukim Bukit Raya.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataannya memaklumkan, ia menjadikan jumlah terkini mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 153 mangsa daripada 66 keluarga di dua daerah iaitu Yan dan Pendang, setakat ini.
"Di daerah Yan, mangsa dipindahkan ke PPS adalah 127 orang. Kesemua mangsa di daerah Yan ditempatkan di tiga PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi
"Seramai 74 mangsa daripada 35 keluarga; SJK (C) Pei Eng, seramai 34 orang daripada 15 keluarga dan di Dewan Lestari Guar Chempedak (19 mangsa daripada 7 keluarga.
"Semua mangsa terbabit dari tiga kampung iaitu Kampung Teroi, Kampung Titi Teras dan Kampung Sedaka Tengah di Mukim Yan dan Sungai Daun," menurut kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Pendang kini melepasi paras amaran 2.882 meter (m) berbanding paras normal 2.7m.
